backup og meta

Golongan LGBT Lebih Berisiko Mengalami Penyakit Jantung

Fakta Disemak oleh Dr. Shelby


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 09/07/2020

    Golongan LGBT Lebih Berisiko Mengalami Penyakit Jantung

    Golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transeksual) berisiko tinggi mengalami penyakit jantung dan masalah jantung yang lain berbanding dengan golongan heteroseksual, demikian dapatan penyelidikan baru yang dibentangkan pada pertemuan American Heart Association tahun lalu.

    Kajian tersebut juga menyeru para doktor untuk membantu menangani ketidaksamaan kesihatan terhadap golongan minoriti seksual tersebut selain pakar mengatakan terdapat terlalu sedikit kajian yang ditumpukan untuk menangani ketidaksamaan kesihatan dalam kumpulan minoriti ini.

    Golongan LGBT dan faktor risiko penyakit jantung

    Penyelidik di Baptist Health South Florida Clinic di Miami memberi tumpuan kepada tujuh faktor risiko kesihatan jantung yang boleh dikawal dan mendapati kumpulan minoriti ini berkemungkinan besar merokok dan mempunyai kandungan gula dalam darah yang tidak terkawal.

    Dalam kajian yang diketuai Dr Anshul Saxena, seorang biostatistik, data melibatkan 2,445 orang dewasa, serta kaji selidik dan ujian perubatan dilakukan terhadap peserta kajian tersebut untuk mengenal pasti kesihatan jantung.

    1 dalam 20 (5 peratus) daripada peserta kajian merupakan lesbian, gay dan biseksual. Disebabkan peserta tidak ditanya sama ada mereka transeksual atau tidak, ini bererti risiko sebenar mungkin lebih besar daripada yang disangkakan.

    Mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit jantung dan umur adalah faktor risiko yang tidak boleh dikawal dalam menentukan kesihatan jantung. Manakala tekanan darah, kolesterol, aktiviti fizikal, berat badan dan diet merupakan faktor yang boleh dikawal, di samping kandungan gula dan merokok.

    golongan lgbt

    Kajian tersebut mendapati berdasarkan semua tujuh faktor yang boleh dikawal tersebut, mereka yang dikenal pasti sebagai lesbian, gay dan biseksual mempunyai risiko 36 peratus lebih tinggi untuk mempunyai tahap kesihatan jantung yang tidak ideal.

    Kesedaran risiko lebih tinggi perlu disedari golongan LGBT dan pakar kesihatan

    Kajian terdahulu juga mendapati tahap penyalahgunaan alkohol dan tekanan yang lebih tinggi dalam kalangan golongan LGBT yang memerlukan campur tangan pakar kesihatan.

    Ketidakpercayaan golongan minoriti ini kepada pakar kesihatan dan diskriminasi yang mungkin dihadapi daripada masyarakat juga mungkin menyumbang kepada masalah merokok, diet tidak sihat dan kurang aktiviti fizikal.

    Golongan minoriti seksual ini juga cenderung menghadapi kesan penyakit jantung yang lebih negatif berbanding individu heteroseksual, menurut Profesor Wayne Rosamond, pengerusi American Heart Association’s Epidemiology and Prevention panel. 

    Kesedaran mengenai risiko penyakit jantung ini perlu ditekankan agar golongan LGBT lebih mengambil berat tentang kesihatan mereka dan mendapatkan rawatan perubatan yang mereka perlukan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Dr. Shelby


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 09/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan