Tahukah Anda Bagaimana Nyamuk Menghidu Kehadiran Manusia Melalui Peluh?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Nyamuk betina diketahui bergantung kepada pelbagai maklumat deria untuk mencari individu untuk digigit, berpandukan kepada kehadiran karbon dioksida, bau badan, haba, kelembapan, dan isyarat visual. Kini, para penyelidik telah menemui bagaimana nyamuk tertarik kepada volatil berasid didalam peluh yang dikeluarkan oleh manusia. Kuncinya ialah coreceptor penciuman yang dikenali sebagai Ir8a. Penyelidik mendapati, nyamuk yang kekurangan versi gen Ir8a yang berfungsi, akan kurang tertarik kepada manusia. Penemuan ini berpotensi untuk mencadangkan pendekatan-pendekatan baharu untuk mereka bentuk penghalau nyamuk yang baharu dan ditambah baik.

Salah seorang penulis kajian, Matthew DeGennaro yang juga penyelidik neurobiologi nyamuk di Florida International University di Miami berkata, membuang fungsi Ir8a boleh menghilangkan kira-kira 50 peratus aktiviti mencari hos oleh nyamuk. Menurut beliau lagi, bau yang menutup laluan IR8a didapati boleh meningkatkan keberkesanan penghalau nyamuk semasa seperti DEET atau Picaridin. Dengan cara ini, penyelidikan tersebut dapat membantu manusia untuk tidak menjadi tumpuan sebagai hos yang berpotensi untuk nyamuk. Di sisi yang lain, laluan Ir8a juga boleh digunakan untuk merekabentuk penarik nyamuk yang baharu. Penarik nyamuk tersebut boleh mengalihkan perhatian nyamuk daripada manusia kearah perangkap. Kajian tersebut bertajuk ‘Aedes aegypti Mosquitoes Detect Acidic Volatiles Found in Human Odor Using the IR8a Pathway’ telah diterbitkan pada 28 Mac 2019 dalam jurnal Current Biology.

Inspirasi untuk melakukan kajian terhadap Ir8a lahir daripada kajian terdahulu DeGennaro sebagai pelajar pascasiswazah di The Rockefellar University selepas pasukan penyelidik ini mengganggu satu lagi coreceptor penciuman, yang dipanggil Orco, dan memerhatikan bagaimana ia mengubah kelakuan nyamuk. Mereka mendapati bahawa nyamuk-nyamuk tersebut mempunyai lebih banyak masalah untuk membezakan antara manusia dan haiwan lain. Nyamuk juga kehilangan minat mereka terhadap nektar dan kebencian mereka kepada DEET. Tetapi, mereka masih tertarik kepada haiwan vertebrata termasuklah manusia. Ini bermakna terdapat lebih banyak reseptor yang masih perlu dicari.

Dalam kajian berikutnya, DeGennaro dan rakan penyelidikannya membuat penilitian terhadap kumpulan reseptor lain yang lebih luas yang dikenali sebagai reseptor ionotropik dan secara khususnya Ir8a, yang berada dalam antena nyamuk. Mereka menggunakan sistem pengedit gen CRISPR / Cas9 untuk mengganggu Ir8a dalam nyamuk Aedes aegypti. Kemudian, mereka menguji peranan relatif coreceptor dalam pengesanan bau manusia dan interaksi genetiknya dengan laluan reseptor penciuman lain yang telah dikaitkan sebelumnya dalam kelakuan nyamuk Aedes aegypti ketika mencari hos.

Kajian menunjukkan bahawa nyamuk yang mempunyai Ir8a versi mutan atau yang telah diubah, tidak tertarik kepada asid laktik dan tidak dapat mengesan komponen berasid lain dalam bau manusia. Berbanding dengan kawalan nyamuk jenis liar dalam ujian membran darah, Ir8a versi mutan menunjukkan penurunan tindak balas kepada bau manusia, tetapi tidak dengan tindak balas terhadap haba atau CO2. Ir8a versi mutan juga kurang responsif terhadap bau manusia dan manusia berbanding daripada nyamuk jenis liar dalam satu lagi eksperimen.

Hasil penyelidikan mereka ini mencadangkan bahawa interaksi genetik di antara pelbagai reseptor adalah penting. Mereka juga menekankan pentingnya mengesan volatil berasid manusia dalam keupayaan serangga untuk memburu dan mengambil manfaat keatas manusia. DeGennaro turut menyatakan bahawa matlamat mereka yang paling utama adalah untuk menghasilkan pewangi yang boleh menyelamatkan nyawa manusia daripada gigitan nyamuk, dan hasil kajian ini adalah satu langkah penting kearah merealisasikan matlamat tersebut.

DeGennaro turut memberikan pendapat bahawa, untuk mencari penyelesaian baharu bagi mencegah gigitan nyamuk memerlukan kita untuk memahami asas molekul kelakuan nyamuk dan secara perlahan-lahan mampu menghalang penyebaran penyakit berkaitan nyamuk seperti denggi, demam kuning, zika dan malaria.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Mac 29, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 3, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut