backup og meta

Stigma Terhadap Pesakit Psoriasis

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 10/05/2023

    Stigma Terhadap Pesakit Psoriasis

    Psoriasis adalah sejenis penyakit radang kulit kronik. Ia mungkin bukan sejenis penyakit yang popular di Malaysia. Sekitar 12 ribu rakyat Malaysia menghidap psoriasis.

    Berbeza dengan ekzema, ia bukanlah sejenis alahan. Ekzema lebih kerap berlaku dan lebih mudah dirawat berbanding psoriasis. Seperti banyak masalah kulit, pesakit psoriasis sering dilihat dengan pandangan yang kurang mesra.

    Bukan sekadar sakit di luar

    Apa yang menjadi cabaran pesakit psoriasis adalah bukan sekadar penyakit kulit, tetapi perasaan malu dan kurang keyakinan diri yang harus dihadapi. Apabila bersama-sama dengan mereka yang mempunyai kulit yang cantik, perasaan rendah diri pasti akan timbul dan ia sangat menyiksa emosi dari dalam.

    Seorang jurugambar, Raja Mokhzairi, seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA, berkata bahawa penyakit psoriasis yang dialaminya sedikit-sebanyak menjejaskan pekerjaannya yang memerlukannya untuk berjumpa dengan orang selalu.

    Walau bagaimanpun Mokhzairi berkata, “Saya sudah boleh menerima keadaan saya ini sekarang. Saya sudah tidak kisah apa orang kata atau jika orang pandang saya.”

    Pengaruh media

    Pengaruh media telah membuatkan semua orang mahu mendapatkan kecantikan yang sempurna. Dengan promosi dan iklan di surat khabar, radio mahupun televisyen, ia sentiasa membuatkan orang rasa dirinya tidak cantik dan memerlukan produk untuk menambahkan kecantikan mereka.

    Sedangkan, itu hanyalah helah daripada penjual untuk memasarkan produk mereka. Kesannya, masyarakat akan kurang menghargai apa yang ada pada dirinya sehingga merasakan dirinya sentiasa memerlukan penambahan yang hakikatnya tidak perlu.

    Mereka yang ‘kurang’ cantik akan dipandang sinis kerana masyarakat telah menjadikan ciri-ciri yang dibuat oleh penjual produk sebagai kayu ukur. Pesakit psoriasis tentunya menjadi mangsa label masyarakat. Sedangkan, ia adalah sejenis penyakit, bukannya semata-mata disebabkan oleh gaya hidup kotor atau pemakanan tidak sihat.

    Bukan penyakit berjangkit

    Antara salah faham utama penyakit ini adalah menyangka bahawa psoriasis adalah penyakit berjangkit. Ia sebaliknya tidak berjangkit, tetapi merupakan radang kronik pada kulit. Puncanya adalah tidak diketahui tetapi berkait dengan genetik, persekitaran, gaya hidup dan pemakanan.

    Psoriasis tidak berjangkit

    Jangan takut untuk duduk dan makan bersama pesakit psoriasis. Bahkan, mereka sangat memerlukan sokongan dan teman. Apabila melihat segelintir individu yang menghidap masalah kulit dengan tompokan seperti psoriasis, pasti ada mata yang memandang dengan perasaan kurang senang gara-gara takut menerima jangkitan sehingga menjauhkan diri.

    Elakkan menghukum hanya kerana kulit mereka kelihatan ‘bersisik’ dan kemerah-merahan.

    Menurut Pakar Perunding Dermatologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Azura Mohd Affandi, “Psoriasis sejenis penyakit keradangan kulit kronik yang menyebabkan kulit menjadi tebal dalam tempoh yang singkat, kemerahan, dan menggelupas namun penyakit ini sebenarnya tidak berjangkit seperti yang dianggap oleh sebilangan besar penduduk. Bagi segelintir pesakit, mereka juga mengalami sakit pada bahagian sendi.”

    Diskriminasi

    Menurut kajian global yang dijalankan oleh Novartis International AG bertajuk ‘Clear About Psoriasis’ melibatkan 8300 pesakit psoriasis dari 31 negara, 80 peratus responden melaporkan mengalami diskriminasi dan menanggung malu akibat keadaan mereka.

    Ia terutamanya berlaku dalam kegiatan seperti mengurut, gunting rambut atau berenang.

    Video ihsan youtube Astro Awani.

    Masyarakat perlu sedar

    Kesedaran dan pendidikan tentang psoriasis hendaklah dilakukan dengan lebih pesat di semua peringkat. Hak yang sama harus diberikan kepada pesakit psoriasis sepertimana orang biasa. Penyakit ini bukanlah pilihan mereka dan ia juga tidak memudaratkan orang di sekeliling.

    Dengan penerimaan dan sokongan daripada masyarakat, pesakit psoriasis boleh berfungsi dan bersama-sama bergerak di dalam masyarakat seperti orang biasa.

    Pesakit psoriasis harus kuatkan semangat

    Kini, pelbagai pilihan rawatan tersedia buat pesakit psoriasis. Ia termasuk terapi topikal (krim dan salap), fototerapi (terapi cahaya), terapi sistemik (ubat makan) dan terapi biologi (suntikan).

    Apa yang penting adalah untuk tidak berputusa asa. Dapatkan nasihat daripada pakar dermatologi berkenaan keadaan anda dan cara terbaik untuk mengatasinya. Selain ubat-ubatan, ada juga cara semula jadi untuk merawat psoriasis.

    Cari kumpulan sokongan seperti Persatuan Psoriasis Malaysia untuk mendapatkan motivasi dan perkongsian mengenai psoriasis.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 10/05/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan