backup og meta

Kenapa Tiba-tiba Rasa Badan Jadi Lebih Kecil?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 15/06/2020

    Kenapa Tiba-tiba Rasa Badan Jadi Lebih Kecil?

    Pernahkah anda menonton filem Alice in Wonderland? Bilamana Alice keliru melihat dirinya menjadi lebih kecil daripada sepatutnya, dan melihat objek yang bersaiz kecil menjadi lebih besar. Agak-agak, adakah anda berasa teruja jika berada di dalam dunia Alice tersebut ataupun sebaliknya? Inilah yang disebut sebagai sindrom AWS.

    Sindrom AWS

    sindrom AWS

    Ada satu kondisi kesihatan yang dinamakan sempena nama Alice tersebut. Boleh teka apakah ia? Kondisi tersebut ialah sindrom Alice in Wonderland atau singkatannya AWS. Sepertimana nama yang diberikan kepada jenis sindrom ini, ia adalah satu keadaan dimana seseorang individu mengalami persepsi yang menyimpang dan disorientasi.

    Kata mudahnya, seseorang itu mengalami kekeliruan atau bingung dengan keadaan yang berlaku di sekelilingnya. Ia adalah satu keadaan penyakit yang jarang berlaku dan ia hanya bersifat sementara. 

    Adakah sindrom AWS ia dianggap sebagai halusinasi?

    Tidak. Episod seperti ini yang dialami oleh seseorang individu bukanlah disebabkan oleh halusinasi atau masalah pada mata. Sindrom AWS adalah disebabkan oleh perubahan mengenai bagaimana otak anda merasakan persekitaran di sekeliling anda dan bagaimana anda melihat sesuatu.

    Jika anda mengalami AWS ini, ia boleh menjejaskan beberapa deria anda seperti penglihatan, sentuhan dan pendengaran. Anda juga tidak boleh mengagak masa yang sedang dilalui kerana masa mungkin bergerak lebih pantas atau perlahan pada pandangan anda berbanding sebaliknya.

    Dikenalpasti mirip dengan karakter Alice

    sindrom

    AWS juga dikenali sebagai sindrom Todd berdasarkan nama seorang individu yang mula mengenalpasti sindrom ini. Ia mula dikenalpasti oleh seorang pakar psikiatri British yang bernama Dr. John Todd pada tahun 1950 an. Beliau telah mengenalpasti simptom bagi sindrom ini dan mendapati sindrom ini sangat mirip dengan karakter Alice dalam novel tulisan Lewis Carroll, “Alice’s Adventures in Wonderland.”

    Bagaimana sindrom AWS terjadi?

    Apa yang sedang berlaku pada seseorang individu mungkin tidak sama dengan individu lain. Ia boleh berlaku dalam tempoh beberapa minit dan boleh juga berlaku sehingga setengah jam. Semasa dalam tempoh tersebut, anda mungkin akan mengalami beberapa simptom seperti:

    #1. Migrain

    Mereka yang mengalami AWS akan cenderung untuk mengalami migrain. Sesetengah penyelidik berpendapat bahawa AWS adalah sejenis aura. Ada yang berpendapat bahawa AWS adalah subjenis migrain yang jarang berlaku.

    #2. Salah tafsir saiz

    Mikropsia adalah satu sensasi yang dirasakan bahawa tubuh atau objek di sekeliling anda menjadi mengecil. Makropsia pula adalah sensasi yang merasakan bahawa tubuh dan objek di sekeliling menjadi lebih besar. Kedua-dua sensasi ini adalah sesuatu yang biasa dialami ketika sindrom AWS. 

    #3. Salah tafsir persepsi

    Sekiranya anda merasakan objek di sekitar anda berada lebih hampir dengan anda berbanding keadaan sebenar objek tersebut, ini bermakna anda sedang mengalami pelopsia. Keadaan yang berlawanan bagi situasi ini pula dipanggil sebagai teleopsia. 

    #4. Salah tafsir masa

    Mereka yang sedang mengalami sindrom AWS akan hilang rasa anggaran terhadap masa. Mereka mungkin merasakan bahawa masa sedang bergerak lebih pantas atau lebih perlahan daripada sepatutnya. 

    #5. Salah tafsir bunyi

    Ketika mengalami AWS, setiap bunyi yang terjadi walaupun ia sebenarnya agak senyap, akan kedengaran sangat kuat dan mengganggu.

    #6. Hilang kawalan terhadap anggota badan atau hilang koordinasi

    Simptom ini berlaku apabila otot-otot dirasakan seperti bergerak secara sendiri. Anda berasa seperti anda tidak mengawal pergerakan anggota tubuh badan anda. 

    Apakah penyebab kepada terjadinya sindrom AWS?

    sindrom AWS

    Tidak terdapat penyebab jelas yang menyebabkan kejadian sindrom AWS ini. Walau bagaimanapun, para penyelidik percaya bahawa aktiviti elektrik luar biasa yang berlaku di dalam otak telah menyebabkan aliran darah yang tidak normal ke bahagian otak yang memproses persepsi persekitaran dan visual anda. Aktiviti elektrik luar biasa ini dipercayai telah menyebabkan simptom-simptom AWS. 

    Walaupun masih banyak kajian diperlukan bagi mengkaji penyebab sebenar AWS, migrain telah dianggap sebagai penyebab utama bagi AWS dalam kalangan individu dewasa. Jangkitan pula adalah penyebab utama sindrom AWS dalam kalangan kanak-kanak. Terdapat juga penyebab-penyebab sindrom AWS yang lain seperti stres, ubat batuk, sawan, strok dan tumor pada otak.

    Sekiranya anda mendapati bahawa anda sedang mengalami simptom-simptom seperti di atas, jangan risau kerana AWS hanya bersifat sementara. Cuba berehat sebentar atau tidur bagi menenangkan tubuh badan anda. Kini anda sudah tahu bahawa apa yang pernah alami dahulu merupakan sindrom AWS. Sekurang-kurangnya dapat juga merasai apa yang Alice alami, cuma bukan di Wonderland sahaja. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 15/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan