Mengapa Orang Jepun Sangat Sihat Walaupun Mengambil Makanan Tinggi Karbohidrat?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Sushi, Udon dan Ramen adalah antara pilihan menu yang tersedia di banyak kedai-kedai makanan Jepun seperti Sushi King. Adakah anda tahu, disebalik jenis-jenis makanan yang tinggi karbohidrat ini, tersimpan rahsia mengapa orang-orang Jepun hidup lebih lama dan memiliki hidup yang lebih sihat? Ingin tahu dengan lebih lanjut mengapa mereka kekal sihat walaupun sering memakan nasi? Ikutinya melalui artikel ini. 

Jangka hayat kedua tertinggi di dunia

Untuk pengetahuan anda, penduduk Jepun memiliki jangka hayat kedua tertinggi di dunia selepas penduduk di Negara Monaco. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh National Center for Global Health and Medicine di Tokyo, mereka yang mematuhi garis panduan pemakanan yang dicadangkan oleh kerajaan Jepun mempunyai 15% lebih sedikit untuk mengalami kematian atas pelbagai sebab. Ini adalah perbandingan yang dijalankan dengan mereka yang tidak mengikuti pelan pemakanan yang dicadangkan dengan betul. Garis panduan pemakanan Jepun tersebut mencerminkan diet tradisional penduduk negara itu yang tinggi dengan pengambilan bijirin, ikan dan produk-produk berasaskan kacang soya, tetapi rendah kandungan lemak. 

Mengapa penduduk Jepun boleh makan banyak nasi tetapi tidak gemuk?

Melalui kajian tersebut, seramai 80,000 peserta telah menjawab soal selidik mengenai pemakanan dan gaya hidup yang menentukan sejauh mana mereka mengikuti garis panduan tersebut. Para penyelidik kemudiannya menjejaki kesihatan mereka selama 15 tahun. Mereka mendapati, mereka yang benar-benar mengikuti garis panduan tersebut mempunyai risiko yang berkurangan bagi kematian yang disebabkan oleh pelbagai faktor. 

Saintis dalam bidang kardiovaskular, James DiNicolantonio menyatakan, penduduk Jepun mempunyai kombinasi unik yang menggabungkan makronutrien yang membuatkan mereka terselamat daripada mendapat obesiti dan penyakit metabolik. Menurut DiNicolantonio, penduduk Jepun cenderung untuk memakan makanan yang tinggi karbohidrat seperti nasi dan sayur-sayuran, tetapi mengambil lemak dengan kandungan yang rendah. Selain itu menurut beliau lagi, orang-orang Jepun gemar memakan makanan laut yang tinggi dengan kandungan asid lemak omega-3 dan kurang mengambil makanan yang telah diproses.

Selain pemakanan, orang-orang Jepun juga lebih aktif berbanding penduduk Amerika Syarikat. Secara puratanya, setiap penduduk Jepun akan berjalan sebanyak 7,000 langkah setiap hari. Disebabkan faktor-faktor seperti pemakanan rendah lemak, kurang pengambilan makanan diproses dan gaya hidup yang aktif, maka rakyat Jepun kekal sihat dan tidak gemuk walaupun mengambil makanan yang tinggi karbohidrat. 

Beras perang lebih baik berbanding beras putih

Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun telah membuat satu penambahbaikan terhadap garis panduan tersebut pada tahun 2010. Memandangkan rakyat Jepun lebih banyak memakan beras putih sebagai makanan ruji mereka, kementerian telah mencadangkan agar setiap individu hanya mengambil 50 ke 65 peratus karbohidrat sahaja setiap hari dan cuba mempelbagaikan hidangan nasi dengan penggunaan bijirin penuh seperti beras perang. Beras atau nasi putih telah dikaitkan dengan risiko untuk mendapat penyakit-penyakit kronik.

Bagi mereka yang mungkin dalam usaha untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan, cuba makan berpandukan garis panduan pemakanan orang-orang Jepun yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun. Tidak perlu pergi ke Sushi King setiap hari hanya semata-mata untuk kekal sihat selain untuk mengelakkan poket rabak. Anda boleh belajar untuk menyediakan hidangan Jepun di rumah anda yang ternyata lebih sihat, bersih dan jimat. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut