Ketahui Cara Menjadi Individu Lebih Gembira Tahun 2020

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Pastinya anda inginkan tahun 2020 menjadi tahun yang memberikan kegembiraan kepada anda bukan? Tetapi adakah anda tahu bagaimana caranya untuk menjadi individu yang lebih gembira?

Resolusi menyeluruh

Azam tahun baru sepatutnya bukan sekadar ingin menurunkan berat badan, mahu bersenam atau meninggalkan tabiat buruk. Tetapi ia sepatutnya melibatkan aspek kehidupan anda secara keseluruhan.

Sama ada kehidupan peribadi, perhubungan, kesihatan mahupun pekerjaan anda, segalanya harus memainkan peranan untuk menjadikan anda sebagai individu yang lebih gembira pada tahun 2020.

Terasa membebankan? Mungkin. Tetapi menurut beberapa pakar terapi, setiap perubahan walaupun kecil yang dilakukan dalam kehidupan anda sudah tentu akan memberikan impak yang tersendiri dan dapat membantu anda untuk lebih kuat dan gembira dalam menempuhi tahun baru. 

Jadi adakah anda sudah bersedia untuk melakukan perubahan?

Tip menjadi individu lebih gembira

Untuk menjadi seorang individu yang lebih gembira, ia bukan satu perkara semudah ABC. Terdapat beberapa perkara yang perlu anda lakukan atau singkirkan dalam kehidupan anda. Berikut dikongsikan beberapa cara yang boleh anda cuba lakukan, antaranya:

1. Kegelisahan

Wujudkan penanda aras sebagai motivasi untuk anda melawan ketakutan terbesar dalam diri. 

Tentukan apakah kegelisahan mahupun ketakutan yang mengawal diri anda dan kuatkan diri untuk menghapuskan rasa tersebut. 

Selalunya rasa takut itu menyebabkan anda tidak melihat kegembiraan yang tersembunyi. Seorang psikologi klinikal, Forrest Talley, mencadangkan agar anda mengatasi keadaan ini dengan menetapkan satu matlamat untuk melawan kegelisahan mahupun ketakutan dan berikan sebarang ganjaran kepada diri anda setelah anda berjaya mencapainya.

2. Cukup tidur

Anda mungkin rasa anda mendapat tidur yang mencukupi, tetapi lihat jadual tugasan harian anda. Adakah anda benar-benar memperolehi waktu tidur yang optimum? Tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap malam?

Menurut pakar psikologi dan pengasas Health Psychology Clinic, Joanna Konstantopoulou, kekurangan tidur yang kronik merupakan satu isu besar, khususnya bagi individu yang bekerja sehingga lewat malam atau terlalu sibuk. Tidak cukup tidur bukan hanya bermakna anda tidak tidur secara berterusan sehingga 36 jam. Tetapi kehilangan satu atau dua jam waktu tidur setiap hari juga boleh memberikan kesan kepada kesihatan psikologi anda.

3. 10 minit sehari

Jika anda seorang individu yang selalu ‘terperuk’ di dalam ofis ketika waktu pejabat, apa kata sempena tahun 2020 ini anda lakukan perubahan sedikit. Ambil masa 10 minit untuk keluar daripada ofis ketika waktu rehat, sama ada untuk minum coklat di kafe kegemaran anda atau sekadar berjalan-jalan. 

Pakar psikiatri, Michael Brodsky berkata, “Penyelidikan mendapati menghabiskan sedikit masa dalam persekitaran hijau dapat menaikkan mood dan melegakan kegelisahan yang dialami.” Jadi mungkin anda boleh cuba pada waktu rehat nanti, okay?

4. Tenangkan minda

Menurut pengarah klinikal di Turning Point Psychological Services. Anna Prudovski, kebanyakan individu akan lebih memikirkan tentang masa depan atau merungut tentang masa lalu. Keadaan ini sekali gus menyebabkan mereka gagal melihat apa yang berlaku pada masa sekarang.

Jadi mulakan hari anda dengan meluangkan masa lima minit setiap hari untuk menghayati persekitaran seperti nyatakan lima benda yang anda lihat atau tiga bunyi yang anda dengar. Kemudian luahkan mengenai perasaan yang anda rasai ketika itu. Kaedah ini dipercayai dapat membantu mengatasi masalah kegelisahan (anxiety).

5. Lebih positif

Seorang pakar pediatrik kesihatan dan pakar psikologi, Roseann Capanna-Hodge mencadangkan supaya melakukan pelarasan perbendaharaan kata setiap hari, sama ada dalam fikiran atau secara lisan.

“Perubahan menggunakan bahasa positif ini mungkin dianggap remeh, tetapi ia membantu mengubah minda anda menjadi setengah gelas penuh dan bukannya separuh kosong,” jelas Roseann.

6. Hindari tabiat tidak sihat

Biasanya perkara yang tidak mendatangkan kebaikan kepada kita, akan menyebabkan tekanan. Menurut seorang psikologi kognitif, Sarah C. McEwen, sebagai individu anda boleh mengubahnya dengan mengurangkan atau menghindari terus sebarang tabiat yang tidak sihat.

Antara tabiat tidak sihat tersebut adalah seperti merokok, penggunaan alkohol yang terlalu tinggi mahupun pengambilan kafein secara berlebihan. Apabila tabiat seperti ini dapat dikawal atau dihindari, ia secara tidak langsung dapat membantu mengawal tahap tekanan dalam diri.

7. Aktiviti fizikal

Bersenam memainkan peranan penting terhadap kesihatan mental. Lakukan sekurang-kurangnya 30 minit sehari, jika boleh. Tempoh masa ini dipercayai dapat membantu menghasilkan manfaat yang baik terhadap mood dan mengurangkan stres.

Paling penting, lakukan sesuatu yang anda gemari. Sama ada seni mempertahankan diri, berjoging, menari atau apa sahaja yang memberikan keseronokan kepada anda. Ia sudah tentu akan dapat menjadikan anda lebih gembira.

8. Perhubungan berkualiti

Menurut seorang ahli psikologi klinikal, Kevin Gilliland, jika anda mahukan kesihatan mental dan fizikal yang baik untuk tempoh yang panjang, anda perlu melihat sama ada anda mempunyai perhubungan yang bermakna dan penuh kasih sayang atau tidak. 

Kajian mendapati hubungan yang bermakna adalah bagus untuk kesihatan mental dan fizikal, jadi mungkin tahun ini anda boleh mencari seorang individu untuk dijadikan teman rapat dan luangkan masa berkualiti bersama. Siapa tahu anda mungkin bukan sahaja lebih gembira malahan akan lebih bahagia. 

9. Hadkan penggunaan media sosial

Apabila selalu melihat mengenai paparan kehidupan individu lain di media sosial, ia boleh menyebabkan wujudnya rasa tidak puas hati dengan kehidupan kita sendiri. Keadaan ini sekali gus mempunyai kaitan dengan tahap kesihatan mental anda. 

Jadi mulai tahun ini, kurangkan pendedahan kepada media sosial. Hadkan masa anda untuk melihat, sebaliknya lebihkan masa anda untuk bersama insan yang anda sayang dalam kehidupan realiti anda. 

10. Ingin bersedih? Teruskan

Segala rasa yang kita alami itu berlaku atas sebab tertentu dan ia adalah demi kesejahteraan diri kita juga. Malahan terdapat penyelidikan yang mengatakan menangis boleh dianggap sebagai satu terapeutik. 

Berhenti untuk terlalu mengejar kebahagiaan, berikan ruang emosi dan perasaan dalaman anda untuk lebih tenang dan damai. Bersedih dan menangislah jika perlu, ia akan menjadikan anda lebih gembira dan dapat memperbaiki emosi anda.

11. Telefon pintar? Letakkan di tepi

Banyak kajian dilakukan membuktikan bahawa terlalu banyak masa kepada teknologi atau pendedahan kepada skrin boleh mendatangkan impak negatif kepada kesihatan mental. Jadi jika anda ingin lebih gembira pada tahun 2020, cuba kurangkan masa dengan telefon pintar atau sebarang gajet. 

Pilihlah sebarang aktiviti yang tidak melibatkan skrin mahupun peranti terutamanya pada waktu malam. Ia dapat membantu memutuskan hubungan sosial dan tekanan yang tidak perlu. 

Akhir kata

Jika anda meneliti tip yang disenaraikan sebagai cara untuk menjadi individu lebih gembira, sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Cuma apa yang menjadi halangan adalah apabila anda sudah terbiasa melakukan perkara-perkara tersebut seperti memikirkan perkara negatif, membuang masa yang banyak dengan media sosial serta menahan diri daripada berasa sedih.

Jadi pada tahun 2020 ini, apa kata anda lakukan sedikit perubahan. Ia mungkin hanyalah perkara kecil tetapi anda mungkin tidak akan menyedari impak positif yang akan berlaku. Mulai saat ini, semoga anda akan berasa lebih gembira!

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Januari 9, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Januari 16, 2020