backup og meta

Mengapa Saya Boleh Ada Tanda Lahir?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 15/06/2020

    Mengapa Saya Boleh Ada Tanda Lahir?

    Di tangan kiri penulis, terdapat satu tanda yang berwarna sedikit gelap daripada warna kulit. Semasa kecil, penulis sering membuat contengan di sekitar tanda lahir bayi ini dengan membayangkan bahawa tanda lahir ini adalah sebuah pulau.

    Penulis akan melukis sempadan ‘pulau’ ini dengan tambahan kapal-kapal yang berlayar mengelilingi ‘pulau’ penulis ini. Betapa indahnya imaginasi penulis walau sekadar terhadap tanda lahir bayi. 

    Mungkin ramai yang pernah terfikir, bagaimanakah tanda lahir bayi ini boleh terbentuk. Apakah yang menyebabkan ia terbentuk dan adakah ia akan kekal sehingga kita melewati usia emas? Ketahuinya dengan lebih lanjut melalui apa yang penulis tuliskan di bawah.

    Pelbagai faktor kewujudan

    tanda lahir bayi

    Anda mungkin pernah mendengar pelbagai dakwaan atau mitos mengenai penyebab kepada wujudnya tanda lahir bayi ini. Perlu diingat, tanda lahir bukan disebabkan oleh sebarang perkara yang dilakukan oleh ibu ketika hamil.

    Para pengkaji tidak begitu mengetahui dengan jelas mengapa sebahagian bayi mempunyai kewujudan tanda lahir manakala sebahagian lagi tidak mempunyainya.

    Namun, terdapat beberapa pendapat mengenai penyebab kepada terbentuknya tanda lahir ini.

  • Pembentukan sel-sel yang berlaku di sepanjang saluran-saluran darah bayi menyebabkan tanda lahir ini wujud
  • Sesetengah doktor berpendapat bahawa cebisan kecil plasenta melekat pada embrio yang sedang berkembang pada awal kehamilan
  • Sebahagian penyelidik percaya bahawa sesetengah protein yang dihasilkan oleh plasenta semasa kehamilan juga berpotensi menyebabkan kewujudan tanda lahir
  • Terdapat segelintir kecil bayi yang mendapat tanda lahir bayi disebabkan oleh mutasi gen
  • Jenis-jenis tanda lahir yang boleh berlaku

    tanda lahir bayi

    Untuk pengetahuan semua, kebanyakan tanda lahir yang wujud boleh dikategorikan kepada dua kategori:

    #1. Tanda lahir vaskular (saluran darah)

    Ia terjadi sekiranya saluran darah di kawasan tertentu kulit tidak terbentuk dengan baik sepertimana sepatutnya.

    Contohnya, kemungkinan terdapat salur darah yang terlalu banyak yang berkumpul pada satu-satu kawasan atau salur darah yang lebih lebar berbanding saiz yang sepatutnya.

    Antara jenis tanda lahir vaskular ialah salmon patches, hemangiomas dan port-wine stains. 

    #2. Tanda lahir berpigmen

    Ia terjadi apabila terdapat sel pigmen yang terlalu banyak pada sesetengah kawasan kulit.

    Sel pigmen adalah sel yang bertanggungjawab menjadikan warna semula jadi pada kulit kita.

    Contoh jenis tanda lahir berpigmen ialah moles atau tahi lalat, cafe au lait spots dan Mongolian blue spots

    Bolehkah sekiranya saya mahu membuang tanda lahir tersebut?

    tanda lahir bayi

    Sebenarnya, kewujudan tanda lahir adalah tidak membahayakan tubuh anda dan tidak memerlukan pembuangannya.

    Bagi sesetengah jenis tanda lahir seperti moles dan hemangiomas, terdapat hanya sedikit kemungkinan risiko untuk mendapat masalah kesihatan lain seperti kanser kulit. Ia perlu diperhatikan oleh ahli dermatologi dan mungkin memerlukan pembuangannya.

    Antara teknik yang digunakan untuk membuang tanda lahir ialah terapi laser, beta-blocker (ubat makan), corticosteroids (ubat makan atau suntikan), dan pembedahan. 

    Kesimpulan mengenai tanda lahir bayi

    Memiliki tanda lahir adalah satu ciri yang unik pada tubuh anda. Masing-masing mempunyai bentuk dan corak tanda lahir yang berbeza-beza pada tubuh badan masing-masing. 

    Kewujudan tanda lahir juga bukan sahaja sebagai satu keunikan, tetapi juga mungkin adalah satu hikmah untuk anda. Sepertimana penulis yang kerap mengalami kesukaran untuk membezakan kiri dan kanan, tanda lahir pada tangan kiri ini amat membantu.

    Lihat sahaja pada tangan, jika ada tanda, ia bermaksud tangan kiri. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 15/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan