backup og meta

Mengapa Budak Kampung Jarang Menghidap Penyakit Asma?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 05/07/2023

    Mengapa Budak Kampung Jarang Menghidap Penyakit Asma?

    Penyakit asma dianggarkan dialami oleh lebih kurang 235 juta individu di seluruh dunia, dan lebih banyak berlaku di negara maju. Contohnya, dalam data yang dilaporkan Global Initivative for Asthma (GINA), peratusan kanak-kanak berusia 13-14 tahun di Amerika Syarikat yang menghidap asma adalah seramai 11.1% berbanding 4.5% di Malaysia dan hanya 2.6% di Indonesia.

    Taburan penyakit asma berdasarkan kawasan, GINA 2004

    Penyakit asma kebiasaannya bermula pada awal usia kanak-kanak. Dalam kalangan pesakit asma, 95% menghadapi episod pertama pernafasan berdehit (wheezing) sebelum usia 6 tahun. Walaupun punca asma tidak diketahui, terdapat beberapa faktor yang didapati mengurangkan risiko menghidap penyakit asma iaitu:

  • mempunyai adik-beradik yang lebih ramai
  • diletakkan di nurseri sewaktu masih kecil
  • kurang penggunaan antibiotik
  • mempunyai haiwan peliharaan daripada awal kelahiran hingga 3 bulan
  • pernah mengalami jangkitan tertentu
  • membesar di kawasan kampung/ladang
  • Menariknya, ini membawa kita kepada persoalan mengapa kanak-kanak yang membesar di kawasan kampung, yang mungkin kelihatan lebih comot, lasak bermain tanah dan haiwan kurang berisiko menghidap asma berbanding kanak-kanak di bandar yang lebih rapi penjagaan kebersihan oleh ibu bapa mereka. Antara hipotesis yang dikemukakan terhadap dapatan ini dalam penyakit asma adalah hygiene hypothesis.

    Apakah itu Hygiene Hypothesis?

    Hygiene Hypothesis yang bermaksud Hipotesis Kebersihan mencadangkan bahawa pendedahan kanak-kanak kepada kuman dan jangkitan tertentu membantu sistem imun berkembang. Ini mengajar tubuh untuk membezakan bahan-bahan yang tidak berbahaya daripada bahan-bahan berbahaya yang mencetuskan asma. Secara teori, pendedahan kepada kuman tertentu mengajar sistem imun untuk tidak bertindak balas secara berlebihan. Tindak balas imun yang berlebihan terkait dengan perkembangan penyakit asma, alahan dan autoimun.

    Sebelum kelahiran, sistem imun janin tidak diaktifkan untuk mencegahnya daripada menolak tisu ibu, termasuklah antibodi yang dibekalkan ibunya. Tetapi dalam tempoh sejurus selepas kelahiran sistem imun bayi perlu mengambil alih dan belajar bagaimana untuk menjaga diri sendiri. Persekitaran yang sangat bersih dikatakan tidak memberikan pendedahan yang diperlukan kepada kuman yang ‘mendidik’ sistem imun tubuh.

    Oleh itu, berdasarkan teori ini, peningkatan kebersihan dan saiz keluarga yang lebih kecil telah mengurangkan pendedahan kepada kuman berguna, meningkatkan risiko penyakit alahan dan asma.

    Sains di sebalik Hygiene Hypothesis

    Teori ini disokong dengan dapatan bahawa penyakit alahan dan asma lebih berkemungkinan berlaku apabila tahap endotoksin LPS di rumah rendah. LPS adalah molekul bakteria yang merangsang dan mendidik sistem imun dengan mencetuskan isyarat melalui “suis” molekular yang dipanggil TLR4, yang terdapat pada sel tertentu sistem imun.

    Sementara dalam bayi yang tidak cukup terdedah kepada LPS ini dengan mencukupi, pendedahan kepada jangkitan virus dan alergen pencetus asma boleh menjadi perkara pertama yang mereka hadapi, lantas mencetuskan tindak balas berlebihan.

    Contohnya, antara faktor risiko penyakit asma adalah RSV yang menyebabkan selesema. Virus ini kebiasaannya menjadi virus pertama yang dihadapi oleh bayi. RSV boleh mengaktifkan suis sistem imun (TLR4) sama seperti endotoksin LPS.  Tetapi sebaliknya pula yang berlaku. Apabila kurang ‘didikan’, tindak balas oleh beberapa sel penting dalam sistem imun terhadap RSV mungkin tidak sengaja menyebabkan asma dan bukannya melindungi bayi dan menyingkirkan jangkitan. Bagaimana perkara ini berlaku adalah misteri yang masih dikaji.

    Tetapi mencegah asma tidak semudah mengelakkan sabun antibakteria, beranak ramai  atau hidup di kampung. Penyakit asma adalah kesan urbanisasi yang tidak dapat dielakkan. Masih banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami dengan tepat bagaimana pendedahan kuman kepada kanak-kanak dapat membantu mencegah asma. Ini juga tidak bermakna ibu bapa patut mengabaikan kebersihan anak mereka. Kita tidak dapat mengawal kuman apa yang akan dihadapi bayi terlebih dahulu. Oleh itu, kanak-kanak yang telah didiagnosis dengan penyakit asma perlu dijauhkan daripada sebarang alergen atau punca alahan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 05/07/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan