Teruskan Berharap. Percayalah, Ia Membantu Anda Ke Arah Yang Lebih Baik

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Gangguan keresahan atau kebimbangan melampau adalah sesuatu isu yang benar-benar terjadi. Ia mungkin tidak terzahir daripada segi fizikal atau luaran individu, tetapi ia seakan ‘hantu’ yang tidak henti memberikan kegelisahan kepada seseorang individu.

Sepertimana penyakit-penyakit berkaitan kesejahteraan mental yang lain, keresahan juga memerlukan satu kaedah yang boleh memperbaiki kehidupan individu yang terkesan ke arah yang lebih baik. Terdapat satu penemuan baharu yang akan menambahbaikkan lagi kaedah terapi sedia ada. Apakah ia?

Pentingnya harapan

Seorang profesor madya dalam bidang psikologi klinikal di Universiti Houston, Mr. Gallagher, mempunyai pendapat tambahan berkenaan kepentingan harapan. Harapan? Ya, tepat sekali. Menurut beliau, pengharapan adalah satu sifat yang boleh meramal daya tahan dan pemulihan seseorang individu yang mempunyai gangguan keresahan.

Berdasarkan laporan beliau, psikoterapi boleh menyebabkan peningkatan positif yang jelas dalam pengharapan. Perubahan yang berlaku dalam pengharapan tersebut turut mempengaruhi perubahan dalam simptom keresahan ke arah yang lebih baik. Anda boleh memahaminya seperti ini:

Psikoterapi > Harapan yang lebih baik > Simptom keresahan yang lebih baik

Elemen harapan yang paling menonjol

Kajian beliau telah mengenal pasti peranan pengharapan dalam meramalkan pemulihan dalam percubaan klinikal yang melibatkan seramai 223 individu. Kajian yang dilaksanakan menggunakan terapi tingkah laku kognitif atau CBT untuk mengkaji empat jenis gangguan keresahan yang paling biasa; gangguan keresahan sosial, gangguan panik, gangguan keresahan umum dan gangguan obsesif kompulsif. 

Menurut Mr. Gallagher, semasa beliau mengkaji mengenai pemulihan ketika menjalankan terapi tingkah laku kognitif (CBT), pengharapan adalah satu elemen yang paling kerap dilihat selain berfungsi sebagai satu peramal yang kuat dalam pemulihan. Beliau mendapati, terdapat peningkatan yang berkadar sederhana hingga besar dalam harapan dan perubahan dalam pengharapan. Kesemua peningkatan tersebut juga konsisten dalam kelima-lima protokol rawatan CBT yang berbeza. 

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan harapan?

Dalam terma psikoterapi, harapan mewakili keupayaan pesakit untuk mengenal pasti strategi atau jalan ke arah mencapai matlamat selain motivasi untuk meneruskan perjalanan yang dilalui dengan berkesan. 

Melalui hasil kajian yang telah dinyatakan sebelum ini, ia telah menunjukkan bahawa elemen pengharapan ini meningkat secara beransur-ansur sepanjang terapi CBT tersebut dijalankan. Hasil kajian ini juga boleh membantu untuk memahami bagaimana individu yang mempunyai gangguan keresahan ini pulih. 

Martin Luther pernah menyatakan, “Everything that is done in this world is done by hope”. Ini menunjukkan betapa besarnya kuasa yang diberikan oleh pengharapan kepada perubahan manusia, sehingga mengubah persekitarannya. Bagi anda yang kadangkala berasa putus asa di pertengahan jalan dalam melaksanakan sesuatu, berehat sebentar dan mula semula dengan harapan yang baharu. Sedikit pengharapan yang menyala pasti merintis pembukaan jalan baharu, apatah lagi jika nyalaan harapan itu membara dalam diri anda. Anda pasti boleh!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Oktober 17, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 3, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut