3 Perbezaan Novel Coronavirus Dan SARS Coronavirus Yang Anda Perlu Tahu!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Wabak pneumonia yang kecoh berlaku di Wuhan, China baru-baru ini telah disahkan puncanya. Ia disebabkan oleh sejenis virus baharu yang digelar sebagai novel coronavirus atau 2019 n-Cov. 

Pada peringkat awal, pakar menganggap coronavirus jenis baharu ini memiliki ciri yang hampir sama dengan sindrom pernafasan akut teruk atau SARS coronavirus. 

Walau bagaimanapun, setelah diteliti dengan lebih lanjut, kedua-dua virus ini sebenarnya memiliki beberapa perbezaan! Ingin ketahui apakah perbezaannya? Baca dengan lebih lanjut di bawah.

#1. Lokasi asal kemunculan virus

Novel coronavirus (2019 n-Cov) mula menyerang ratusan penduduk yang menetap di Wuhan, China pada akhir tahun 2019.

Simptom-simptom yang muncul seakan sama, dan menyerupai simptom pneumonia, iaitu kesesakan nafas, demam dan juga batuk.

Menurut laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sehingga 28 Januari 2020, terdapat lebih daripada 4,000 kes individu yang dijangkiti dengan virus ini. Ia dikesan di beberapa negara, seperti:

  • China
  • Jepun
  • Korea Selatan
  • Thailand
  • Singapura
  • Amerika Syarikat
  • Malaysia

Daripada angka tersebut, 106 orang individu yang dijangkiti telah meninggal dunia. Kesemua korban yang meninggal dunia akibat virus ini berasal dari China.

Manakala bagi SARS, ia pertama kali berlaku pada penghujung tahun 2002 di wilayah Guangdong, China.

Hampir sama dengan kes 2019 n-CoV ini, dunia bertindak agak lambat setelah berlakunya penyebaran SARS coronavirus.

Kerajaan China lambat bertindak memaklumkan informasi berkenaan virus ini sebelum akhirnya melaporkan wabak SARS kepada WHO, dengan jumlah hampir 305 individu yang telah dijangkiti dan 5 daripadanya telah meninggal dunia!

Pada tahun 2004, wabak SARS coronavirus mulai berkurang dan menghilang secara perlahan-lahan.

Kerajaan dari negara-negara yang telah dijangkiti dengan wabak ini saling bertukar informasi perubatan bagi mengendali dan membanteras penularannya dengan lebih berkesan. 

#2. Penyebaran virus

SARS coronavirus

Kedua-dua novel coronavirus dan SARS coronavirus mempunyai ciri yang sama iaitu ia berasal daripada haiwan.

Novel coronavirus merebak dipercayai daripada ular, manakala SARS coronavirus pula merebak dari sejenis musang di bahagian selatan China. Namun persamaannya, kedua-duanya tersebar di kalangan manusia!

Setakat ini, novel coronavirus dilaporkan sudah mampu berjangkit antara manusia dengan lebih cepat.

Buktinya, lebih 4,000 individu telah dijangkiti dengan virus ini, walaupun mereka tidak bersentuhan secara langsung dengan haiwan atau ikan di bandar Wuhan, China.

Akan tetapi, Center for Disease Control atau CDC menyatakan , mereka masih tidak pasti berkenaan proses penularannya, sama ada ia sama dengan SARS ataupun tidak. 

Untuk SARS coronavirus, proses penyebarannya telah dipastikan melalui air liur yang terkeluar ketika penghidap batuk atau bersin.

SARS coronavirus juga dapat merebak melalui permukaan atau benda yang telah disentuh oleh penghidap SARS atau yang telah dicemari dengan air liur mereka.

#3. Peningkatan risiko

Simptom novel coronavirus adalah lebih ringan berbanding daripada SARS. Menurut Bahagian Kesihatan Australia, simptom-simptom bagi novel coronavirus ini hampir menyerupai masalah pernafasan, seperti:

  • Demam
  • Batuk
  • Sesak nafas
  • Kadar pernafasan yang lebih cepat
  • Sakit tekak
  • Selesema atau hidung berhingus

Selain itu, risiko kematian akibat novel coronavirus juga masih dianggap rendah berbanding SARS coronavirus.

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh sekali-kali meremehkan serangan virus ini. Langkah berwaspada perlulah sentiasa dipertingkatkan. 

Untuk SARS pula, simptom-simptom yang berlaku adalah hampir serupa. Untuk simptom pada peringkat awal, penghidap SARS biasanya akan mengalami demam dengan suhu badan lebih daripada 38 darjah Celsius.

Kemudiannya, beberapa simptom lain akan muncul. contohnya:

  • Batuk
  • Kesejukan sehingga menggigil
  • Flu
  • Sesak nafas
  • Sakit kepala
  • Cirit-birit

Usah pandang enteng

Walaupun SARS dianggap lebih bahaya jika dibandingkan dengan 2019 n-Cov kerana wabak SARS telah mengakibatkan lebih banyak kematian, namun, informasi mengenai novel coronavirus adalah masih sedikit. Maka, ia masih tidak boleh dipandang remeh.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Januari 29, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Februari 20, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut