9 Fakta UNIK Tentang Anak Kedua, Jom Bongkar!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Selalunya kita akan bercakap mengenai anak pertama atau anak bongsu. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang bergelar anak kedua? Apakah fakta yang menarik dan mungkin pelik tentang anak kedua?

Ada keunikan tersendiri

Tanpa kita sedar, sebagai ibu bapa yang mempunyai lebih daripada seorang anak, kita sering membuat perbandingan antara anak-anak. Adakalanya si anak tunggal pun menjadi mangsa perbandingan dengan anak individu lain. 

Antara contoh ayat perbandingan yang sering diungkapkan adalah seperti, “Kenapalah kamu ni berbeza sangat dengan Along?” atau “Tak boleh ke kamu jadi seperti abang kamu yang tak banyak kerenah?”

Namun hakikatnya, setiap anak itu mempunyai keunikan, keistimewaan dan kekuatan yang tersendiri. Sebagai ibu bapa, anda seharusnya berbangga dengan setiap perbezaan yang dimiliki si anak. 

Dalam masa yang sama, ia pastinya satu perkara terbaik jika anda dapat memahami keistimewaan personaliti setiap anak-anak, bukan? Jadi, pada perkongsian artikel kali ini, Hello Doktor akan cuba membantu anda memahami karakter si anak kedua atau lebih mesra dengan panggilan Angah.

Fakta anak kedua

Menjadi yang kedua selalu dianggap sebagai kurang bernasib baik. Ini kerana ibu bapa akan melebihkan anak yang pertama. Adakah anda bersetuju para ibu bapa sekali? 

Tetapi sebenarnya, anak yang kedua lebih beruntung. Kenapa? Ini kerana apabila lahirnya mereka, ibu bapa akan menjadi individu yang lebih bertenang berbanding ketika kelahiran bayi pertama. 

Apakah fakta menarik atau mungkin pelik mengenai si Angah ini?

  1. Suka bersaing

Fakta anak kedua yang menarik ialah mereka mempunyai sikap yang gemarkan persaingan. Ia sama ada melibatkan adik-beradiknya sendiri ataupun dengan individu luar. 

Sikap suka bersaing wujud kerana sejak kecil, mereka terpaksa bersaing dengan adik-beradik yang lain, khususnya anak pertama dalam mendapatkan perhatian kedua ibu bapa.

Tiada salahnya untuk bersaing, tetapi anda sebagai ibu bapa harus memastikan sikap suka bersaing yang dimiliki anak yang kedua terkawal. Jika tidak, ia mungkin akan menjadi keterlaluan dan sukar untuk dibendung.

9-fakta-anak-kedua-yang-unik

  1. Sensitif

Uniknya si anak kedua kerana mereka dikatakan mempunyai sifat sensitif. Keadaan ini wujud kerana mereka sering dibandingkan. Tiada individu yang suka dirinya dibanding-bandingkan dengan individu lain. 

Akibat sering dibandingkan, anak yang kedua akan melakukan perkara yang berlawanan dengan apa yang ibu bapa minta atau harapkan. Lebih kurang seperti memberontak. Mungkin itu adalah cara mereka meluahkan apa yang terpendam.

  1. Melebihkan sahabat

Fakta anak kedua yang seterusnya adalah lebih rapat dengan sahabat. Ini kerana rasa sensitif kerana sering dibandingkan sekali gus menyebabkan anak yang kedua berasa terasing atau tersisih.

Biasanya ini berlaku kerana mereka menganggap ibu bapa memberikan perhatian lebih kepada anak sulung. Begitu juga dengan anak bongsu, yang dianggap sebagai anak paling dimanjakan oleh ibu bapa

Situasi ini mengakibatkan anak tengah akan mencari perhatian individu. Sebab itu mereka mempunyai sahabat baik atau best-friend-forever (BFF). Malahan mereka cenderung melebihkan BFF berbanding keluarga sendiri apabila sudah terlalu rapat.

  1. Terlalu bergantung

Mempunyai BFF atau teman baik, tidak salah. Namun, apabila terlalu rapat, ia akan menyebabkan individu bergelar anak yang kedua ini menjadi terlalu bergantung kepada teman baik mereka, terutamanya dalam membuat keputusan. 

Ini kerana mereka bimbang keputusan yang dilakukan mungkin menyusahkan atau membebankan individu lain, khususnya individu yang rapat dengannya. 

Di sebalik sisi negatif ini, individu yang menjadikan anak yang kedua sebagai pasangan, boleh dianggap bertuah. Ia disebabkan anak tengah dikatakan sebagai pasangan yang terbaik untuk dimiliki. Haaa, mana si Angah? Angkat tangan cepat!

  1. Berdikari

Ada kajian menyatakan anak yang kedua merupakan individu yang lebih pandai berdikari berbanding adik-beradiknya lain. Ia berlaku kerana ibu bapa lebih menumpukan kepada anak sulung dan anak bongsu. 

Situasi ini memerlukan mereka untuk mengajar diri sendiri supaya berdikari khususnya melibatkan aspek kemandirian. Sikap berdikari ini menjadikan anak yang kedua sebagai seorang yang berjiwa kental dan tabah. Hebat!

  1. Si pencari perhatian

Fakta yang seterusnya ini agak unik. Di sebalik sikap berdikari itu, anak kedua cenderung mempunyai sifat sukar mencari perhatian. Ia berlaku kerana sejak lahir, mereka perlu berusaha untuk menarik perhatian ibu bapa. 

Faktor mendorong wujudnya sifat gemarkan perhatian adalah kerana mereka berasakan tidak mendapat kasih sayang, perhatian dan layanan sepatutnya. Parents, please take note, okay?

Fakta Anak Kedua Yang Unik

  1. Banyak kerenah

Berdasarkan kajian bertajuk Birth Order and Deliquency yang dilakukan pada tahun 2017, penyelidik mendapati anak tengah mempunyai banyak kerenah dan suka membuat kacau, terutamanya jika anak itu lelaki. 

Namun, berbalik kepada fakta no. 6, bukankah anak tengah dianggap sebagai si pencari perhatian atau lebih glamor dengan panggilan attention seeker? Maka itu mungkin salah satu cara mereka untuk mencari perhatian. Jadi, banyakkan bersabar ya, ibu bapa sekalian!

  1. Hiperaktif

Betul ke anak yang kedua hiperaktif dan lebih ligat berbanding anak yang lain? Ini adalah fakta anak kedua berdasarkan penyelidikan. Kajian mengatakan anak yang kerap dipanggil Angah, menjadi hiperaktif kerana cara pemikiran semula jadi mereka yang gemarkan persaingan.

Sekiranya anak anda yang kedua lebih ligat, jangan risau, ia adalah perkara normal. Cuma anda perlu sentiasa memantau agar tingkah laku mereka tidak menimbulkan masalah lain seperti pergaduhan sesama adik-beradik.

  1. Jiwa bebas

Keistimewaan anak yang dilahirkan sebagai nombor 2 adalah mempunyai jiwa yang bebas dan gemar berimaginasi. Oleh sebab itu, kebanyakan individu bergelar anak yang kedua bekerja dalam bidang berkaitan seni. 

Akhir kata

Jadi anda yang bergelar anak nombor 2, adakah benar fakta anak kedua yang dikongsikan? Atau anda mempunyai sikap yang langsung tidak sama seperti di atas? 

Apa pun, seperti yang dikatakan pada awal tadi, setiap anak mempunyai keistimewaan tersendiri, tidak kira sama ada yang pertama, kedua, ketiga mahupun yang seterusnya. Sayangilah mereka seadanya dan berikan perhatian yang sama banyak pada setiap anak-anak anda. Jangan pilih kasih!

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Februari 10, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Februari 19, 2020