backup og meta

4 Manfaat Puasa Bagi Kesihatan Jantung Anda

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 23/11/2021

    4 Manfaat Puasa Bagi Kesihatan Jantung Anda

    Sepanjang bulan Ramadan, terdapat perubahan pada pola makan dan kualiti makanan individu. Hal ini boleh disebabkan oleh pengambilan makanan dari hidangan utama pada dua waktu, iaitu ketika sahur dan berbuka. Perubahan ini boleh menyebabkan perubahan metabolik di dalam badan, dan boleh memberi kesan terhadap kesihatan seseorang.

    Penyakit jantung dan pembuluh darah merupakan penyebab kematian nombor satu di dunia. Puasa Ramadan boleh menyebabkan perubahan drastik gaya hidup selama 1 bulan dan boleh mempengaruhi faktor risiko penyakit jantung dan pembuluh darah seperti penyakit jantung koronari dan strok.

    Fakor risiko yang paling banyak dikaitkan dengan kejadian penyakit jantung koronari dan strok adalah kadar lemak di dalam darah, faktor pembekuan dan pembekuan darah, tekanan darah tinggi, dan tabiat merokok. Kadar lemak darah dipengaruhi oleh perubahan pola makan dan jenis makanan, pengambilan gula yang diproses, dan aktiviti fizikal. Kajian menunjukkan bahawa puasa di bulan Ramadan boleh mempengaruhi pelbagai faktor risiko di atas.

    Kadar lemak darah

    Lemak merupakan salah satu faktor utama penyebab penyakit jantung dan pembuluh darah. Lemak dapat menyusup ke dalam lapisan saluran darah yang rosak dan menyebabkan aterosklerosis, iaitu penyempitan dan penyumbatan pembuluh darah. Kajian yang dilakukan oleh Mohsen Nematy (2012) menyimpulkan bahawa terdapat perubahan pada profil lemak dan perbandingan lemak baik dan lemak jahat selama puasa di bulan Ramadan. Kadar kolesterol darah menurun dari 193,4 ± 51 mg / dl menjadi 184,3 ± 42 mg / dl selepas Ramadan. Begitu juga dengan kadar trigliserida yang menurun daripada 4.5 ± 1 mg / dl menjadi 3.9 ± 1 mg / dl dan lemak jahat, iaitu LDL. Selain, itu didapati juga peningkatan lemak baik iaitu HDL selepas puasa Ramadan.

    Tekanan darah tinggi

    Bagi pesakit  tekanan darah tinggi, jantung mereka perlu bekerja lebih keras dalam mengepam darah berbanding dengan orang normal. Hal ini boleh menyebabkan jantung keletihan, dan boleh menyebabkan pembesaran dan penebalan otot jantung, sehingga membawa kepada kegagalan jantung. Tekanan darah tinggi juga boleh menyebabkan pembuluh darah otak pecah sehingga terjadi strok hemoragik. Sepanjang bulan Ramadan, terdapat penurunan pada tekanan darah orang yang berpuasa, iaitu penurunan tekanan darah sistolik daripada 132.9 ± 16 mmHg menjadi 129.9 ± 17 mmHg, manakala tekanan darah diastolik, tidak mengalami penurunan yang signifikan.

    Insulin dan homosistein

    Kajian yang dilakukan oleh Shariatpanah menunjukkan bahawa perubahan pola makan menjadi dua kali sehari selama bulan Ramadan dapat memperbaiki keadaan rintangan insulin pada pesakit diabetes. Homosistein merupakan salah satu asid amino yang terdapat di dalam tubuh, dan peningkatan homosistein darah merupakan salah satu faktor risiko seseorang terkena penyakit jantung dan pembuluh darah. Walaupun tidak ketara, namun terdapat penurunan kadar homosistein darah ketika seseorang berpuasa.

    Parameter antropometri

    Obesiti merupakan salah satu faktor risiko bagi banyak penyakit metabolik. Penurunan berat badan dan indeks jisim badan boleh berlaku atau tidak berlaku semasa berpuasa. Hal ini boleh disebabkan oleh pengambilan kalori yang tidak menurun secara signifikan semasa puasa.

    Puasa yang selamat bagi pesakit jantung

    Puasa di bulan Ramadan adalah selamat dilakukan bagi orang pesakit jantung, asalkan penyakitnya terkawal dan tidak dalam keadaan akut. Makan hanya secukupnya dan tidak melakukan “balas dendam” sewaktu berbuka akan membantu meringankan faktor risiko penyakit jantung dan pembuluh darah. Jumlah temu janji doktor yang disebabkan oleh penyakit jantung cenderung untuk kekal dan tidak bertambah sepanjang bulan puasa. Namun pelbagai kajian menunjukkan bahawa puasa Ramadan dapat menurunkan risiko serangan penyakit jantung selama 10 tahun seterusnya. Dapat disimpulkan bahawa puasa memberi kesan positif terhadap kesihatan jantung.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 23/11/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan