Delima: Zaman Keemasan Penggunaannya yang Berterusan

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Pohon delima berasal dari Iran hinggalah ke kawasan Himalaya di utara India dan telah ditanam sejak zaman purba di rantau Mediterranean Asia, Afrika dan Eropah. Buah ini telah digunakan dalam pelbagai cara sepertimana sekarang dan telah ditonjolkan dalam mitologi dan seni Mesir purba, diangkat dan dipuji dalam Perjanjian Lama Bible dan dalam kitab Talmud orang-orang Babylon. Ia turut dibawa oleh karavan padang pasir oleh kerana jusnya yang digunakan untuk menghilangkan dahaga. Buah ini telahpun mengembara ke kawasan India tengah dan selatan dari Iran kira-kira pada abad pertama selepas Masihi dan ia dilaporkan ditanam di Indonesia pada tahun 1416. Ia telah ditanam secara meluas di seluruh India dan wilayah yang kering di kawasan Asia Tenggara, Malaya, Hindia Timur dan Afrika tropika. Kawasan penanaman yang paling penting ialah Mesir, China, Afghanistan, Pakistan, Bangladesh, Iran, Iraq, India, Burma dan Arab Saudi.

Delima agak biasa ditanam dan telah menjadi semula jadi di bahagian Bermuda di mana ia mula-mula direkodkan pada tahun 1621, namun kehadirannya kelihatan sedikit di kawasan Bahamas, Hindia Barat dan kawasan panas Amerika Selatan dan Tengah. Ramai individu menanamnya di kawasan tinggi di kawasan pedalaman Honduras. Di Mexico, ia sering ditanam, dan kadangkala terdapat di taman-taman di Hawaii. 

Pohon buah ini pula diperkenalkan di California oleh peneroka Sepanyol pada tahun 1769. Ia ditanam untuk buahnya yang kebanyakannya ditanam di zon kering negara itu dan Arizona. Di California, penanaman delima komersil tertumpu di daerah Tulare, Fresno dan Kern, selain ladang-ladang kecil di daerah Imperial dan Riverside. Pengeluaran buah ini merosot disebabkan oleh kekurangan permintaan pada tahun 1930, tetapi ladang baharu diwujudkan apabila permintaan terhadap buah ini kembali meningkat pada tahun 1960-an.

Nama buah delima

delima

“Pome” dalam perkataan pomegranate berasal daripada perkataan Latin untuk epal dan “granat” pula berasal daripada perkataan untuk benih. Tetapi “granat” juga mungkin berasal dari perkataan Perancis Lama untuk “grenat”, yang menggambarkan warna merah dalam buahnya. Istilah untuk senjata letupan yang menakutkan iaitu “grenade” juga berasal daripada perkataan Perancis untuk buah delima.

Garis masa sejarah buah delima

  • 3500 – 2000 tahun sebelum Masihi

Berdasarkan ekskavasi Zaman Gangsa Awal, dipercayai bahawa buah delima merupakan buah pertama yang ditanam secara perladangan. Kebanyakan cendekiawan menyokong kepercayaan bahawa buah delima berasal dari Iran dan Himalaya di India Utara, kemudian ditanam secara perladangan di seluruh kawasan Mediterranean di Asia, Afrika dan Eropah, berkembang sejauh negara-negara timur seperti China di mana ia telah ditanam sejak zaman pra-Kristian .

  • 1600 tahun sebelum Masihi

Delima dibawa ke Mesir dari Syria semasa pemerintahan Hyksos, pemerintah dinasti ke 15 dan 16 semasa era Mesir purba. Delima dinilai di Mesir sebagai sumber makanan dan merupakan sebahagian daripada bekalan buah-buahan yang diperlukan di dalam kediaman firaun. Orang Mesir purba menggunakan buah ini dalam pelbagai cara. Jusnya (dipanggil Schedou) dipercayai untuk melawan cacing usus, manakala bunga delima telah dihancurkan untuk membuat pewarna merah dan kulitnya digunakan untuk mewarnakan produk berasaskan kulit. Delima sangat dihormati sehingga perlambangan delima ditemui di lukisan dinding makam-makan di Mesir, melambangkan kehidupan selepas kematian. Berpandukan fakta, Raja Tut turut membawal pasu buah delima ke dalam makamnya untuk tujuan kehidupan selepas kematian.

  • 700 tahun sebelum Masihi

Delima telah diperkenalkan ke Rom melalui Carthage, negara jiran dibahagian selatannya. Rom menamakan buah tersebut dengan nama Punicum malum, yang diterjemahkan sebagai “epal Phoenician.” Di Rom Purba, buah delima tumbuh di kawasan rendang halaman kediaman dan dinikmati sebagai buah musim panas. Buah tersebut turut digambarkan atau diterapkan dalam jubin Rom, terutamanya di House of the Fruit Orchard, yang terletak di Pompeii. Wanita yang telah berkahwin di Rom memakai tudung kepala yang diperbuat daripada ranting delima untuk menandakan status perkahwinan mereka.

  • 600 – 700 tahun sebelum Masihi

Zoroastrianisme menjadi agama utama Parsi purba dengan prinsip asas bahawa terdapat pertempuran berterusan antara baik dan jahat. Buah delima dikaitkan dengan kesuburan dan dilihat sebagai wakil dunia sayuran, yang menyediakan makanan kepada manusia. Pohon delima telah ditanam di halaman kuil-kuil Zoroastrian disebabkan oleh daunnya yang kekal bewarna hijau sepanjang tahun, dianggap sebagai simbol kehidupan yang abadi.

  • 563 – 483 tahun sebelum Masihi

Dipercayai bahawa semasa Buddha sedang berkhemah di kerajaan Bindusara, ramai muridnya yang kaya mempersembahkannya dengan hadiah yang mewah. Seorang lagi muridnya, seorang wanita tua dan miskin yang telah datang dari jauh untuk berjumpa dengannya, mempersembahkannya dengan sebiji buah delima kecil. Buddha membunyikan “the bell of honour” atas namanya, kerana beliau menganggap buah ini sebagai hadiah terbesar. Dalam agama Buddha, delima adalah salah satu daripada tiga buah buah yang diberkati dan mewakili intipati pengaruh yang menguntungkan dalam seni Buddha.

  • 485 –  465 tahun sebelum Masihi

Memandangkan buah delima adalah simbol kekuatan dalam budaya Parsi, tentera Persia Xerxes membawa tombak dengan buah ini dan bukannya pancang pada hujungnya ketika mereka menyerang Yunani pada tahun 480 SM.

  • 138 – 125 tahun sebelum Masihi

Buah ini pertama kali datang ke China dari Timur Tengah melalui Jalan Sutera yang merupakan laluan perdagangan yang terkenal.

  • 609 – 632 tahun selepas Masihi

Nabi Muhammad menganggap buah delima sebagai buah berharga yang dipenuhi dengan nutrisi, membawa kedamaian emosi dan fizikal. Terdapat hadis yang mengatakan bahawa setiap satu buah delima mengandungi satu aril yang berasal dari syurga.

  • 1238 – 1358 tahun selepas Masihi

Semasa Dinasti Nasrid Islam, orang-orang Moors membina Alhambra di Granada, Sepanyol, yang merupakan sebuah istana dan kubu besar yang juga mengandungi masjid, bilik mandi, kediaman diraja dan bilik persidangan. Di sepanjang struktur yang besar dan indah, buah delima digambarkan dalam reka bentuk gerbang dan jubin yang rumit.

Manfaat kesihatan buah delima

delima

  • Mengandungi banyak nutrien penting

Delima, atau Punica granatum, adalah sejenis tumbuhan rimbun yang menghasilkan buah berwarna merah. Dikelaskan sebagai beri, buah delima mempunyai diameter kira-kira 5-12 cm (2-5 inci). Ia berwarna merah, bulat dan kelihatan seperti epal merah dengan batang berbentuk bunga. Kulit buah ini tebal dan tidak boleh dimakan, tetapi terdapat beratus-ratus benih yang boleh dimakan yang disebut aril di dalamnya. Aril adalah biji yang sering dimakan oleh manusia – sama ada secara mentah atau diproses menjadi jus delima.

Delima mempunyai profil nutrien yang mengagumkan – satu cawan aril (174 gram) mengandungi:

  • Serat: 7 gram
  • Protein: 3 gram
  • Vitamin C: 30% daripada RDI
  • Vitamin K: 36% daripada RDI
  • Folat: 16% daripada RDI
  • Potasium: 12% daripada RDI

Aril delima (benih) juga sangat manis, dengan setiap satu cawan aril mengandungi sebanyak 24 gram gula dan 144 kalori. Walau bagaimanapun, buah delima benar-benar menonjol disebabkan oleh kekayaan sebatian tumbuhan mereka yang hebat, sesetengah sebatian mempunyai sifat perubatan yang kuat.

  • Mengandungi dua sebatian tumbuhan dengan sifat perubatan yang kuat

Buah ini kaya dengan dua bahan unik yang bertanggungjawab untuk kebanyakan manfaat kesihatan mereka.

  • Punicalagins: Punicalagins adalah antioksida yang sangat kuat yang terdapat dalam jus dan kulit buah ini. Antioksida ini begitu kuat sehinggakan didapati jus delima mengandungi tiga kali aktiviti antioksida berbanding wine merah dan teh hijau. Ekstrak dan serbuk buah ini biasanya dibuat daripada kulit, disebabkan oleh kandungan antioksidan dan punicalagin yang tinggi.
  • Asid Punicic: Asid Punicic, yang terdapat dalam minyak biji buah ini, adalah asid lemak utama dalam aril. Ia adalah sejenis asid linoleik konjugasi dengan kesan biologi yang kuat.
  • Mempunyai kesan anti keradangan yang mengagumkan

Keradangan kronik adalah salah satu pemacu utama penyakit yang serius. Ini termasuklah penyakit jantung, kanser, diabetes jenis 2, penyakit Alzheimer dan juga obesiti. Delima mempunyai ciri anti-radang yang kuat, yang sebahagian besarnya diantarkan oleh sifat-sifat antioksida daripada punicalagin. Kajian-ujian tiub telah menunjukkan bahawa ia boleh mengurangkan aktiviti keradangan di saluran pencernaan, serta dalam kanser payudara dan sel-sel kanser kolon.

Kajian selama 12 minggu terhadap individu yang menghidap diabetes mendapati bahawa 1.1 cawan (250 ml) jus buah ini setiap hari menurunkan penanda keradangan CRP dan interleukin-6 masing-masing sebanyak 32% dan 30%. Jika anda berminat untuk mengurangkan keradangan di dalam badan anda, buah delima adalah diet tambahan yang luar biasa untuk diet anda.

  • Membantu melawan kanser prostat

delima

Kanser prostat adalah sejenis kanser yang biasa terjadi dalam kalangan lelaki. Kajian makmal menunjukkan bahawa ekstrak delima boleh memperlambat pembiakan sel kanser dan menyebabkan apoptosis, atau kematian sel, dalam sel-sel kanser. Antigen khusus prostat (PSA) adalah penanda darah untuk kanser prostat.

Lelaki yang tahap PSAnya berganda dalam tempoh yang singkat berada pada risiko yang meningkat untuk mendapat kematian akibat kanser prostat. Menariknya, kajian terhadap manusia mendapati bahawa dengan meminum 8 auns (237 ml) jus buah ini setiap hari boleh meningkatkan masa penggandaan PSA dari 15 bulan hingga 54 bulan – iaitu satu peningkatan monumental. Kajian susulan mendapati terdapat penambahbaikan yang serupa menggunakan jenis ekstrak delima yang dipanggil POMx.

  • Boleh mengurangkan tekanan darah

Tekanan darah tinggi (hipertensi) adalah salah satu pemacu utama serangan jantung dan strok. Dalam satu kajian, individu yang mengalami tekanan darah tinggi mempunyai pengurangan tekanan darah yang ketara selepas mengambil jus buah ini sebanyak lima auns (150 ml) setiap hari selama dua minggu. Kajian-kajian lain telah menemui kesan yang sama, terutamanya untuk tekanan darah sistolik, yang merupakan angka yang lebih tinggi dalam pembacaan tekanan darah.

  • Boleh membantu melawan arthritis dan sakit sendi

Arthritis adalah masalah biasa di negara-negara Barat. Terdapat banyak jenis yang berbeza, tetapi kebanyakannya melibatkan beberapa bentuk keradangan pada sendi. Memandangkan sebatian tumbuhan pada buah delima mempunyai kesan anti-radang, ianya berkemungkinan boleh membantu merawat arthritis.

Menariknya, kajian makmal menunjukkan bahawa ekstrak buah ini boleh menghalang enzim yang diketahui merosakkan sendi pada individu yang meghidap osteoarthritis. Ekstrak ini juga telah ditunjukkan untuk meredakan arthritis pada tikus, tetapi bukti daripada penyelidikan berasaskan manusia sangat terhad pada ketika ini.

  • Jusnya boleh mengurangkan risiko penyakit jantung

Penyakit jantung kini merupakan punca utama kematian dunia. Ia adalah penyakit rumit, didorong oleh pelbagai faktor. Asid Punicic, asid lemak utama dalam buah ini, boleh membantu melindungi terhadap beberapa langkah dalam proses penyakit jantung.

Kajian selama 4 minggu terhadap 51 individu dengan tahap trigliserida yang tinggi menunjukkan bahawa minyak biji delima 800 mg setiap hari menurunkan trigliserida secara signifikan dan meningkatkan nisbah trigliserida-HDL. Satu lagi kajian melihat kesan jus delima terhadap individu yang mempunyaid diabetes jenis 2 dan kolesterol tinggi. Mereka mendapati terdapat pengurangan ketara dalam kolesterol LDL “buruk”, serta penambahbaikan yang lain. Jus delima juga telah ditunjukkan – dalam kajian terhadap haiwan dan manusia berfungsi melindungi zarah kolesterol LDL daripada pengoksidaan, salah satu langkah utama dalam laluan ke penyakit jantung. Akhir sekali, satu analisis penyelidikan menyimpulkan bahawa jus delima mengurangkan tekanan darah tinggi, yang merupakan faktor risiko utama bagi penyakit jantung.

  • Membantu melawan jangkitan bakteria dan kulat

Sebatian tumbuhan yang terdapat pada buah delima boleh membantu memerangi mikroorganisma berbahaya. Sebagai contoh, ia telah ditunjukkan untuk memerangi beberapa jenis bakteria serta yis Candida albicans. Kesan anti-bakteria dan anti-kulat juga boleh melindungi daripada jangkitan dan keradangan di mulut anda. Ini termasuklah keadaan seperti gingivitis, periodontitis dan stomatitis.

  • Membantu memperbaiki memori manusia

delima

Terdapat beberapa bukti bahawa buah ini boleh meningkatkan ingatan. Satu kajian yang dilakukan terhadap pesakit pembedahan mendapati bahawa dengan2 gram ekstrak buah delima boleh menghalang defisit dalam ingatan selepas pembedahan.

Satu lagi kajian dalam kalangan 28 individu dewasa yang lebih tua dengan masalah memori mendapati bahawa 8 auns (237 ml) jus buah delima setiap hari memperbaiki tanda-tanda memori lisan dan visual secara signifikan. Kajian pada tikus juga menunjukkan bahawa buah ini boleh membantu memerangi penyakit Alzheimer.

  • Boleh membantu meningkatkan prestasi senaman

Buah ini kaya dengan nitrat pemakanan, yang telah ditunjukkan untuk meningkatkan prestasi senaman.

Satu kajian yang dijalankan terhadap 19 atlet yang berjalan di atas treadmill menunjukkan bahawa dengan pengambilan sebanyak satu gram ekstrak buah ini 30 minit sebelum bersenam akan meningkatkan aliran darah dengan ketara, melambatkan permulaan keletihan dan meningkatkan kecekapan senaman. Lebih banyak kajian diperlukan, tetapi nampaknya potensi buah ini mungkin bermanfaat untuk prestasi fizikal.

  • Baik untuk pencernaan

Jus buah ini boleh mengurangkan keradangan dalam usus dan memperbaiki pencernaan. Ia mungkin memberi manfaat kepada individu yang mempunyai penyakit Crohn, kolitis ulseratif, dan penyakit usus radang lain.

Walaupun terdapat pendapat dan penyelidikan yang saling bertentangan tentang adakah jus buah ini membantu atau memperburuk cirit-birit, kebanyakan doktor mengesyorkan untuk anda mengelakkannya sehingga anda merasa lebih baik dan gejala anda telah reda.

Bagaimana untuk menyimpan delima

delima

Buah yang belum dikupas: Simpan keseluruhan buah delima pada suhu bilik selama beberapa hari, atau letakkannya dalam beg plastik di dalam peti sejuk selama beberapa minggu.

Biji delima yang sudah dikupas: Aril buah ini disimpan dalam bekas kedap udara di dalam peti sejuk selama beberapa hari, atau ia boleh dibekukan dalam satu lapisan kemudian disimpan di dalam bekas di bahagian sejuk beku peti sejuk. Ia mungkin kehilangan bentuknya apabila dicairkan.

Delima adalah salah satu makanan yang paling sihat di atas muka bumi ini, dibekalkan dengan pelbagai nutrien selain sebatian tumbuhan yang kuat. Buah ini mempunyai pelbagai manfaat dan boleh membantu mengurangkan risiko pelbagai penyakit serius, termasuk penyakit jantung, kanser, artritis dan keadaan keradangan yang lain. Selain itu, ia dapat meningkatkan memori dan prestasi senaman anda. Jika anda ingin mendapatkan banyak manfaat kesihatan yang ditawarkan delima, ambil buah delima dan makan secara langsung atau jadikan ia sebagai jus minuman.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut