backup og meta

Cendawan: Makanan Terbaik Untuk Kurangkan Risiko Gangguan Kognitif

Fakta Disemak oleh Dr. Shelby


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 09/07/2020

    Cendawan: Makanan Terbaik Untuk Kurangkan Risiko Gangguan Kognitif

    Cendawan adalah sejenis kulat yang biasa dijadikan sebahagian daripada diet manusia dan ianya amat terkenal dalam amalan pemakanan masyarakat Cina. Kajian terbaharu yang berlangsung selama enam tahun yang diketuai oleh Dr. Lei Feng daripada National University of Singapore (NUS) menemui bahawa warga emas yang memakan lebih daripada 300 gram cendawan yang telah dimasak setiap minggu mempunyai potensi dalam mengurangkan separuh daripada gangguan kognitif ringan.

    Sekumpulan penyelidik daripada Jabatan Perubatan Psikologi dan Jabatan Biokimia, Yong Loo Lin School of Medicine, National University of Singapore (NUS) menyatakan kesan kebaikan tersebut sekiranya warga emas memakan cendawan lebih daripada dua bahagian dalam seminggu. Satu bahagian hidangan cendawan bersamaan dengan tiga suku cawan cendawan yang telah dimasak dengan purata berat sebanyak 150 gram. Bagi dua bahagian hidangan cendawan yang telah dimasak, ianya bersamaan sekitar hampir setengah pinggan.

    Kajian tersebut telah dijalankan selama enam tahun, bermula daripada tahun 2011 sehingga tahun 2017. Data kajian telah dikumpul daripada 600 orang warga emas berbangsa Cina yang berumur melebihi 60 tahun yang menetap di Singapura. Kajian terbabit disokong oleh Life Sciences Institute dan Mind Science Centre yang juga sebahagian daripada National University of Singapore selain sokongan daripada Singapore Ministry of Health’s National Medical Research Council. Kajian tersebut baru sahaja diterbitkan pada 12 Mac 2019 dalam Journal of Alzheimer’s Disease.

    Terdapat enam jenis cendawan yang menjadi kebiasaan dalam pemakanan masyarakat Singapura, digunakan dalam kajian ini. Cendawan terbabit adalah cendawan emas, cendawan tiram, cendawan shiitake, cendawan butang putih, cendawan kering dan cendawan yang ditinkan. Walaubagaimanapun, pengkaji turut menyatakan bahawa cendawan lain yang tidak dijadikan bahan kajian turut mempunyai kesan yang bermanfaat. Para pengkaji percaya bahawa, faktor yang mengurangkan kekerapan gangguan kognitif ringan ini adalah disebabkan oleh satu komposisi khusus yang dijumpai dalam kesemua jenis cendawan; ergothioneine (ET). Menurut Dr. Irwin Cheah, Felo Kajian Senior di Jabatan Biokimia, NUS, ET adalah bahan antioksida dan anti keradangan yang tidak mampu dihasilkan sendiri oleh manusia, tetapi boleh diperoleh melalui sumber pemakanan termasuklah daripada sumber cendawan.

    Terdapat kajian terdahulu yang mempunyai penerangan berkenaan pengurangan ET dalam kalangan penghidap gangguan kognitif rendah. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Biochemical and Biophysical Research Communications pada tahun 2016 menyatakan bahawa tahap plasma ET dalam penghidap gangguan kognitif rendah ini adalah rendah dengan sangat ketara berbanding individu sihat yang berpadanan dengan umur mereka.

    Para pengkaji percaya bahawa, pengurangan tahap ET menjadi faktor risiko bagi neurodegeneration dan meningkatkan tahap ET melalui pemakanan cendawan boleh merangsang kesihatan kognitif. Komposisi lain yang terdapat dalam cendawan turut bermanfaat dalam mengurangkan risiko gangguan kognitif. Hericenones, erinacines, scabronines dan dictyophorines boleh merangsang sintesis faktor-faktor pertumbuhan saraf. Komposisi bioaktif dalam cendawan turut melindungi otak daripada neurodegeneration dengan merencatkan pengeluaran beta-amyloid dan phosphorylated tau, dan asetilkolinesterase.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Dr. Shelby


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 09/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan