backup og meta

Cara Merawat Jerawat Sistik

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 13/09/2019

    Cara Merawat Jerawat Sistik

    Kadangkala liang roma anda boleh tersumbat oleh kotoran, sel-sel mati dan sebum berlebihan. Apabila bakteria masuk ke dalam liang yang tersumbat, jerawat bengkak akan muncul. Apabila jangkitan itu berkembang, ia mewujudkan penyumbatan penuh dengan nanah dalam kulit, yang boleh menjadi gatal dan bahkan menyakitkan. Ini dipanggil jerawat sistik.

    Jerawat sistik berlaku disebabkan ketidakseimbangan hormon. Peningkatan hormon yang dipanggil androgen mendorong kelenjar minyak kulit menghasilkan lebih banyak sebum. Apabila jumlah sebum yang dihasilkan menjadi terlalu banyak, kelenjar minyak tidak boleh mengendalikannya dan akhirnya pecah di bawah kulit. Hasilnya adalah sista bengkak. Kebanyakan pesakit jerawat sistik mengalaminya sewaktu akil baligh. Pada wanita, jerawat sistik cenderung muncul semasa kitaran haid, kehamilan dan menopaus. Keadaan perubatan yang dipanggil sindrom ovari polisistik juga boleh menyebabkan jerawat sistik.

    Oleh kerana sista terletak di bawah kulit, rawatan sapuan biasa untuk jerawat biasanya tidak berkesan. Anda perlu menemui ahli dermatologi untuk mendapatkan diagnosis yang paling tepat. Rawatan yang akan dilakukan termasuklah:

    • Antibiotik oral untuk meredakan keradangan dan mencegah jangkitan daripada merebak.
    • Rawatan hormon.
    • Retinoid topikal yang kuat untuk membersihkan liang roma.
    • Isotretinoin untuk mengawal kelenjar minyak, menghentikannya daripada menghasilkan minyak. Walaupun isotretinoin datang dengan kesan sampingan yang serius seperti kulit kering, keguguran rambut, pendarahan hidung, masalah fungsi hati, dan sakit kepala, ia masih menjadi penyelesaian paling berkesan untuk merawat jerawat sistik.

    Untuk membantu kesan rawatan, anda harus mengubah suai rutin penjagaan kulit anda menjadi semudah mungkin supaya kulit anda tidak akan diliputi terlalu banyak produk. Cuci muka anda dua kali sehari dengan pencuci muka lembut. Selain itu, gunakan pelembap ringan dan bebas minyak.

    Jerawat sistik boleh sangat menyakitkan, baik dari segi fizikal dan psikologi. Walau bagaimanapun, anda perlu bertenang kerana tekanan hanya akan merosakkan tahap hormon anda dan menjadikan keadaan lebih teruk. Dengan ubat-ubatan yang betul, jerawat sistik boleh dikawal.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 13/09/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan