Zakar Patah Dua Kali Dalam Masa 5 Bulan Akibat Penyakit Hipermobiliti

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Itulah yang dialami oleh seorang lelaki warga UK berusia 41 tahun baru-baru ini. Hanya beberapa bulan selepas menjalani pembedahan untuk insiden zakar patah yang pertama, lelaki tersebut kembali berjumpa dengan doktor akibat masalah yang sama. Lelaki tersebut yang hadir dengan simptom sakit dan juga bengkak pada zakarnya disahkan menghidap ‘penile fracture’ oleh doktor urologi yang merawatnya.

Bagaimana zakar boleh patah?

Masalah zakar patah mungkin berbunyi sedikit pelik kerana organ seksual tersebut tidak mempunyai sebarang tulang sungguhpun ia mampu menjadi keras ketika ereksi. Kepatahan zakar di sini merujuk kepada pendedahan zakar kepada trauma tumpul yang kuat sehingga terjadinya kecederaan tisu dalaman. Trauma tumpul yang kuat boleh berlaku ketika hubungan seks yang ganas dan juga ketika onani. Sejak tahun 1924, 1600 kes telah direkodkan di seluruh dunia, dengan anggaran purata 16 kes setahun. Berdasarkan laporan, bunyi patah yang ngeri boleh didengari dalam 50% daripada kes yang berlaku. Mereka yang pernah mengalami kecederaan ini juga berisiko untuk menghidap disfungsi ereksi dan seks yang menyakitkan untuk sepanjang hayat mereka.

Penyakit hipermobiliti dan risiko zakar patah

Berdasarkan laporan berita, lelaki tersebut menghidap sejenis penyakit hipermobiliti iaitu sindrom Ehler-Danlos (EDS). Penyakit genetik ini menyebabkan tisu-tisu penghubung dalam badan menjadi lebih elastik atau anjal berbanding orang biasa. Seseorang yang menghidap EDS boleh mencubit dan menarik kulit mereka lebih jauh dan berupaya untuk melipat sendi-sendi di jari mereka pada sudut yang sangat menyakitkan untuk orang biasa. Akibat daripada keanjalan tisu-tisu badan yang luar biasa ini, penghidap EDS terdedah kepada pelbagai komplikasi kesihatan seperti scoliosis, osteoathritis pada usia muda dan juga penyakit struktur jantung. 

Saranan doktor untuk penghidap sindrom Ehler-Danlos 

Kesemua tisu-tisu badan akan terjejas akibat daripada penyakit EDS, termasuklah tisu-tisu span di dalam zakar. Namun yang demikian, doktor daripada Johns Hopkins University School of Medicine yang merawat lelaki tersebut melaporkan kes ini sebagai sesuatu yang luar biasa kerana kecederaan zakar bukanlah sesuatu yang pernah dikenal pasti dalam pesakit EDS. Doktor juga tidak pasti sama ada kepatahan kali kedua ini disebabkan oleh kelemahan tisu dalaman zakar hasil daripada kecederaan kali pertama atau tidak. Walau bagaimanapun, doktor telah mengesyorkan agar pesakit EDS mengurangkan keamatan (intensiti) aktiviti seks mereka dan mengelakkan seks ganas. Mereka juga dinasihatkan agar menggunakan cecair pelincir sebanyak mungkin. 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut