backup og meta

Wabak Ebola di Congo

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 28/11/2019

    Wabak Ebola di Congo

    Republik Demokratik Kongo (DRC) mengalami wabak ebola buat kali ke-10 dalam tempoh 40 tahun. Wabak kali ini bermula pada 1 Ogos 2018 di sebuah bandar bernama Mangina yang terletak di Timur Laut wilayah Kivu Utara.

    Sehingga hari ini, sebanyak 267 kes dilaporkan dengan 232 kes telah disahkan diagnosis, manakala kematian sudah mencecah 135 orang.

    Selepas lebih 10 minggu, bilangan kes semakian bertambah dan mula melibatkan bandar yang lebih besar iaitu Beni. Kementerian Kesihatan Republik Demokratik Kongo (DRC) dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang berusaha mengawal penularan virus Ebola.

    Virus Ebola menyebabkan 50 peratus risiko kematian

    Ebola merupakan virus yang sangat berisiko tinggi sehingga menyebabkan kematian dalam 50 peratus daripada mereka yang dijangkiti secara purata.

    Simptom penyakit ini termasuk:

  • Demam secara tiba-tiba.
  • Badan lemah.
  • Sakit otot.
  • Sakit kepala dan tekak.
  • Muntah-muntah dan cirit-birit.
  • Ruam pada kulit.
  • Kerosakan organ (buah pinggang, hati).
  • Pendarahan dalaman dan luaran.
  • Virus ini tersebar daripada binatang yang dijangkiti Ebola. Penularan dalam kalangan manusia boleh berlaku melalui sentuhan langsung (luka pada kulit atau membran mukus) dengan darah, cecair badan, atau organ mereka yang dijangkiti Ebola. Binatang yang mengandungi virus ini termasuk kelawar buah, cimpanzi, gorila, dan monyet.

    Penyebaran virus juga didakwa boleh berlaku melalui hubungan seksual.

    Tiada rawatan khusus bagi Ebola

    Rawatan yang diberikan berbentuk air untuk mengelakkan dehidrasi serta rawatan sokongan bagi mengawal simptom yang dialami oleh pesakit. Sehingga kini, tiada ubat-ubatan khusus bagi rawatan Ebola. Walau bagaimanapun, beberapa rawatan seperti terapi imun dan ubat-ubatan sedang dalam proses percubaan.

    Vaksin juga masih dalam proses percubaan dan menunjukkan hasil yang membanggakan. Percubaan yang dijalankan oleh WHO itu dengan kerjasama beberapa badan antarabangsa memberikan harapan dalam menangani virus ini dengan lebih efektif.

    Sementara itu, langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang dilakukan termasuk:

  • Mengawal penularan virus daripada haiwan kepada manusia dengan mengurangkan interaksi dengan haiwan yang terbabit.
  • Mengawal penyebaran virus dalam kalangan manusia melalui langkah keselamatan seperti memakai sarung tangan, membasuh tangan, serta menguruskan darah dan jarum dengan selamat.
  • Mengurangkan risiko penyebaran virus melalui hubungan seksual.
  • Pengurusan kes Ebola dengan selamat termasuk proses pengebumian mayat dan mengenal pasti kes baru dengan awal.
  • Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Hello Doktor Medical Panel


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 28/11/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan