Tidak Cukup Tidur Dan Terlebih Tidur Gandakan Risiko Kematian Anda?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pengkaji daripada University of Warwick dan juga University College London, mereka telah mendapati tidak mendapatkan waktu tidur yang mencukupi dikaitkan dengan peningkatan risiko lebih dua kali ganda untuk kematian akibat daripada penyakit-penyakit kardiovaskular. Apa yang lebih menarik adalah mereka turut menemui peningkatan risiko yang sama dalam kalangan mereka yang terlebih tidur tetapi bukan daripada penyakit-penyakit kardiovaskular. 

Pengorbanan waktu tidur mengorbankan anda

Kajian yang diberi nama ‘Whitehall II study’ itu melihat bagaimana perbezaan dalam corak tidur mempengaruhi kadar kematian 10,308 orang anggota kerajaan. Kajian ini juga turut mengambil pemalar-pemalar yang lain seperti jantina, umur, tahap perkahwinan, taraf pekerjaan, status merokok, aktiviti fizikal, pengambilan minuman beralkohol, bacaan tekanan darah, kandungan kolesterol, dan juga indeks jisim badan. Selepas mengambil kira pemalar-pemalar ini, mereka berupaya untuk mengasingkan kesan corak tidur yang berbeza selama 5 tahun ke atas kadar kematian untuk tempoh 11 hingga 17 tahun selepas itu. Mereka yang memotong waktu tidur mereka daripada 7 jam kepada 5 jam, terdedah kepada risiko sebanyak 1.7 kali ganda untuk kematian daripada punca-punca lain yang pelbagai, dan 2 kali ganda risiko untuk kematian akibat daripada masalah kardiovaskular.

Masalah tidur yang tidak cukup dan juga gangguan ketika tidur adalah masalah yang cukup lazim dalam masyarakat zaman sekarang (industrialised societies). Perubahan yang disebabkan oleh pengaruh kerja dan masa lapang untuk aktiviti peribadi ini mendorong kepada peningkatan dalam kes letih lesu dan mengantuk waktu pagi yang lebih tinggi berbanding dekad-dekad yang lalu. Terdapat juga beberapa perkara lain yang mempengaruhi waktu tidur dan juga durasi tidur seseorang. Antaranya adalah ubat dan bahan psikotropik yang mereka ambil, tabiat ‘burung hantu’, dan juga keadaan tempat tinggal atau persekitaran seseorang itu.

Terlebih yang perlu dikurangkan

Apa yang telah menarik perhatian para pengkaji adalah corak tidur yang melebihi tempoh 8 jam untuk setiap malam juga turut dikaitkan dengan peningkatan dalam kadar kematian. Walau bagaimanapun, perbezaan utama berbanding mereka yang tidak cukup tidur adalah peningkatan kematian dalam kumpulan yang terlebih tidur tidak didominasi oleh punca-punca kardiovaskular.

Tidur yang singkat dikaitkan dengan peningkatan berat badan, tekanan darah tinggi dan juga kencing manis jenis 2. Tidak ada kaitan untuk waktu tidur malam yang panjang dengan mekanisma penyakit-penyakit yang disebut tadi. Sebaliknya, mereka yang terlebih tidur (tempoh tidur malam yang lebih panjang) dikaitkan dengan simptom kepada penyakit-penyakit seperti kemurungan, status sosioekonomi yang rendah dan juga keletihan akibat penyakit kanser.

Kepentingan tidur

Tidur memainkan peranan yang penting untuk pemulihan badan dan juga pemprosesan memori. Ketika tidur, berlakunya penjanaan hormon-hormon tumbesaran dan juga pemulihan sel-sel badan. Untuk itu, kanak-kanak yang sedang membesar disarankan untuk mendapatkan tidur yang mencukupi bagi memperoleh tumbesaran yang optimum. Selain itu, penghapusan sisa metabolik daripada penghasilan tenaga juga turut berlaku ketika tidur, membantu untuk seseorang itu rasa lebih segar dan bertenaga. Sistem imun juga dipengaruhi oleh tidur, dengan tidur yang mencukupi dapat memastikan sistem imun berada pada tahap yang optimum. Dari sudut memori pula, kajian mendapati ketika tidur, otak kita berfungsi untuk menukarkan memori jangka pendek kepada memori jangka panjang. 

Bagi tujuan pencegahan, penemuan kajian ‘Whitehall II study’ ini menyarankan waktu tidur 7 jam setiap malam secara konsisten sebagai jumlah waktu tidur malam yang terbaik untuk kesihatan yang optimum selain dikaitkan dengan pengurangan risiko untuk menghidap penyakit. Seperti kebanyakan perkara lain, terkurang atau terlebih adalah tidak sihat dan nilai optimum menjadi sasaran. Perlu diingatkan kajian ini menggambarkan hubungan kaitan secara kaitan dan bukannya sebagai punca yang definitif. Untuk itu, waktu tidur yang mencukupi perlu disertakan dengan gaya hidup yang sihat.

Hello Health Group tidak memberi nasihat perubatan ataupun rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut