backup og meta

Alamak! Terperangkap Dalam Kereta Ketika Banjir Kilat

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 23/06/2020

    Alamak! Terperangkap Dalam Kereta Ketika Banjir Kilat

    Kebelakangan ini, hujan lebat turun hampir setiap hari di ibu kota sehinggakan berlakunya banjir kilat di beberapa jalan utama. Bagi pengguna jalan raya, anda bukan sahaja berisiko untuk tersangkut dalam kesesakan trafik dan mengalami kerosakan kenderaan, terdapat juga kemungkinan untuk berlakunya kematian akibat lemas. Oleh itu, ketahui langkah-langkah penting untuk mengharungi banjir kilat jika anda berada dalam kenderaan.

    Kalau kail panjang sejengkal, banjir kilat jangan hendak diduga

    Salah satu kesilapan besar orang ramai ketika di atas jalan raya adalah meyangkakan bahawa :

  • i) Kenderaan anda mampu untuk mengharungi air banjir
  • ii) Anda akan sempat melalui jalan tersebut sebelum banjir kerana airnya masih rendah
  • Nama pun banjir kilat, bermakna air akan naik dengan begitu cepat tanpa diduga. Tanpa disedari, anda mungkin telahpun terperangkap dalam air yang semakin naik. Jangan terlalu berharap dengan kebolehan kenderaan anda untuk mengharungi banjir. Air setinggi 6 inci sahaja sudah mencukupi untuk sampai ke bahagian bawah tempat duduk. Memandu dalam air setinggi ini dengan mudahnya akan menyebabkan anda hilang kawalan. Air setinggi satu kaki pula sudah cukup untuk mengapungkan kebanyakan kenderaan. Apabila mencapai dua kaki ketinggian, ia boleh menghanyutkan hampir semua jenis kenderaan termasuk kenderaan pacuan empat roda. 

    Oleh itu, ikuti langkah-langkah berikut bagi menyediakan diri anda untuk banjir di ibu kota:

    Sebelum banjir

    1. Sentiasa cakna dengan pengumuman trafik dan juga ramalan cuaca. Jika anda maklum tentang penutupan jalan atau banjir di suatu kawasan, elak daripada menggunakan jalan tersebut dan teruskan pemanduan menggunakan jalan lain yang disahkan selamat.
    2. Sediakan kit keselamatan/bajir yang mudah dicapai dalam kenderaan anda. Pastikan bekalannya cukup untuk bertahan selama beberapa jam atau hari. Antara perkara yang boleh disediakan adalah kit first aid, baju hujan/baju kering, snek dan minuman, dan juga bateri simpanan.
    3. Elakkan daripada memarkir kenderaan anda berdekatan kawasan pembinaan. Kawasan pembinaan cukup terkenal sebagai kawasan yang berisiko tinggi untuk berlakunya banjir. Air boleh naik dengan cepat di sekitar kawasan ini ketika hujan lebat. 

    Semasa banjir

    1. Jika anda sudah terperangkap dalam kesesakan jalan raya dan air sudah mula naik, pastikan anda meninggalkan kenderaan tersebut dan bergerak ke kawasan tinggi.
    2. Jika sudah terlalu lambat untuk membuka pintu, turunkan tingkap dan naik ke atas bumbung. Peluang anda untuk terselamat lebih tinggi jika anda berada di atas kenderaan berbanding di dalam kenderaan ketika banjir.
    3. Jika anda berjaya untuk berpaut dan duduk pada apa-apa struktur tinggi seperti pokok atau tiang lampu, terus kekal pada struktur tersebut dan jangan masuk semula ke dalam air banjir.

    Tuntasnya, perkara terbaik untuk dilakukan berkaitan dengan banjir kilat adalah untuk menjauhkan diri anda daripadanya sedaya mungkin. Ini kerana selain faktor lemas, penyakit bawaan banjir dan pergerakan air yang laju, terdapat juga pelbagai objek di dalam air banjir yang mampu menjadi ancaman kepada anda. 

    Air sentiasa nampak sama di bahagian permukaan namun tiada siapa yang dapat menjangka apa yang berada di bawahnya. Selain itu, ia juga mungkin telah dicas oleh kabel elektrik yang terputus. Oleh itu, apabila lapisan air sudah mula memenuhi permukaan jalan, bersedialah untuk bertindak. Kalau air tenang pun disuruh berhati-hati, apatah lagi air yang deras.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 23/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan