Tekanan Kerja, Tidur Terjejas Tingkatkan Risiko Kematian

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Tekanan kerja dan tidur yang terjejas dikaitkan dengan tiga kali lebih tinggi risiko kematian berkaitan kardiovaskular bagi pekerja yang mempunyi hipertensi. Penemuan tersebut berdasarkan penyelidikan yang diterbitkan pada 28 April 2019 dalam European Journal of Preventive Cardiology, sebuah jurnal terbitan European Society of Cardiology (ESC).

Penulis kajian iaitu Profesor Karl-Heinz Ladwig, dari German Research Centre for Environmental Health and the Medical Faculty, Technical University of Munich berkata, tidur harus menjadi masa untuk relaksasi, berehat, dan memulihkan tahap tenaga. Beliau turut mengatakan, sekiranya kita tekanan di tempat kerja, tidur membantu kita untuk pulih. Malangnya, tidur yang kurang baik dan tekanan kerja selalunya berkait rapat, dan apabila digabungkan dengan hipertensi, kesannya lebih berbahaya.

Satu pertiga daripada populasi pekerja mempunyai hipertensi (tekanan darah tinggi). Penyelidikan sebelum ini telah menunjukkan bahawa faktor psikososial mempunyai kesan buruk yang lebih kuat terhadap individu yang mempunyai risiko kardiovaskular yang sedia ada berbanding individu yang sihat. Ini adalah kajian pertama untuk mengkaji kesan gabungan tekanan kerja dan tidur yang terjejas terhadap kematian akibat penyakit kardiovaskular dalam kalangan pekerja yang mempunyai hipertensi.

Kaedah kajian tekanan kerja dan tidur yang terjejas

Kajian tersebut melibatkan 1,959 orang pekerja yang mempunyai hipertensi berumur 25 – 65 tahun, yang tidak mempunyai penyakit kardiovaskular atau diabetes. Jika dibandingkan dengan mereka yang tidak mempunyai tekanan kerja dan tidur yang baik, individu yang mempunyai kedua-dua faktor risiko tersebut mempunyai kemungkinan kematian sebanyak tiga kali lebih besar disebabkan oleh penyakit kardiovaskular. Individu yang mengalami tekanan kerja sahaja mempunyai risiko sebanyak 1.6 kali lebih tinggi, manakala mereka yang hanya mengalami tidur yang terjejas mempunyai risiko sebanyak 1.8 kali lebih tinggi.

Tekanan kerja dan tidur yang terjejas

Dalam kajian ini, tekanan kerja dimaksudkan sebagai pekerjaan dengan permintaan yang tinggi dan kawalan yang rendah – contohnya apabila majikan mahukan keputusan tetapi menafikan kuasa membuat keputusan. Menurut Profesor Ladwig, jika kita mempunyai permintaan yang tinggi seiring dengan kawalan yang tinggi, dalam erti kata lain, kita boleh membuat keputusan, ia mungkin bersifat positif untuk kesihatan kita. Tetapi apabila terperangkap dalam keadaan tertekan yang mana kita tidak mempunyai kuasa untuk mengubahnya adalah sangat berbahaya.

Tidur yang terjejas ditakrifkan sebagai kesukaran untuk tidur dan / atau mengekalkan tidur. Menurut Profesor Ladwig lagi, kesukaran mengekalkan tidur adalah masalah yang paling biasa bagi individu yang mempunyai pekerjaan yang tertekan. Individu-individu ini bangun pada jam 4 pagi untuk pergi ke tandas dan kembali ke tempat tidur dengan memikirkan tentang bagaimana untuk menangani masalah kerja.

Penemuan ini adalah satu amaran bagi doktor untuk bertanya kepada pesakit yang mempunyai tekanan darah tinggi tentang masalah tidur dan pekerjaan, kata Profesor Ladwig. Menurut beliau lagi, setiap keadaan adalah faktor risiko yang tersendiri dan terdapat hubungan silang di antara mereka, yang bermakna setiap satunya meningkatkan risiko yang lain. Aktiviti fizikal, makan secara sihat dan strategi relaksasi adalah penting, begitu juga dengan ubat-ubatan untuk menurunkan tekanan darah jika ianya diperlukan.

Majikan harus menyediakan pengurusan tekanan dan rawatan tidur di tempat kerja, terutama bagi kakitangan yang mempunyai keadaan kronik seperti hipertensi.

Komponen sesi berkumpulan bagi pengurusan tekanan:

  • Mulakan dengan 5 hingga 10 minit berehat.
  • Pendidikan tentang gaya hidup yang sihat.
  • Bantu dengan berhenti merokok, senaman fizikal, penurunan berat badan.
  • Teknik untuk mengatasi tekanan dan keresahan di rumah dan tempat kerja.
  • Bagaimana untuk memantau kemajuan dengan pengurusan tekanan.
  • Meningkatkan hubungan sosial dan sokongan sosial.

Rawatan tidur pula termasuklah:

  • Terapi kawalan rangsangan: latihan untuk mengaitkan tidur / bilik tidur dengan tidur dan menetapkan jadual tidur yang selesa.
  • Latihan relaksasi: relaksasi otot secara progresif boleh mengurangkan pemikiran yang mengganggu waktu tidur.
  • Terapi pembatasan tidur: mengurangkan tempoh berada di tempat tidur hingga ke waktu tidur, dengan itu mengurangkan tidur sekejap yang kemudiannya memanjangkan masa tidur pada waktu malam.
  • Terapi hasrat paradoks: kekal terjaga secara pasif dan elakkan sebarang usaha (iaitu niat) untuk tidur. Ia boleh menghapuskan kebimbangan atau keresahan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut