backup og meta

Hubungan Tekanan Ibu Bapa semasa Pranatal dan Tingkah Laku Kanak-kanak

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Farah Aziz · Disemak pada 01/07/2020

    Hubungan Tekanan Ibu Bapa semasa Pranatal dan Tingkah Laku Kanak-kanak

    Ibu bapa selalunya mempunyai kesukaran dalam membezakan tingkah laku kanak-kanak sama ada ia normal atau bermasalah. Memahami perkembangan unik anak anda adalah perlu untuk mentafsir, menerima atau menyesuaikan kelakuannya (dan juga anda sendiri). Ingat, kanak-kanak mempunyai variasi individu yang hebat dalam perangai, perkembangan dan tingkah laku. 

    Bagaimanapun, berdasarkan penyelidikan terkini, golongan ibu bapa yang bergelut dengan emosi semasa tempoh kehamilan dijangka akan melahirkan anak yang mengalami masalah emosi dan tingkah laku semasa usianya 2 tahun. Kajian yang sama juga mendedahkan bahawa untuk pertama kalinya, konflik bagi pasangan dapat menjelaskan mengapa berlakunya masalah emosi bagi kanak-kanak di awal usia. 

    Pengaruh Kesejahteraan Ibu Bapa Terhadap Kanak-kanak

    Pasukan penyelidik dari Universiti Cambridge, Birmingham, New York dan Leiden mengatakan bahawa penemuan mereka menunjukkan betapa pentingnya keperluan sokongan bagi sesebuah pasangan sebelum dan semasa hamil, serta selepas bersalin dalam mempengaruhi kemenjadian kanak-kanak. Kajian ini adalah yang pertama untuk mengkaji pengaruh kedua-dua kesejahteraan ibu dan bapa sebelum dan selepas lahir pada perkembangan kanak-kanak di umur 14 dan 24 bulan.

    Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam Development & Psychopathology, ia menggambarkan pengalaman yang membabitkan 438 ibu dan bapa pertama kali, kemudian diikuti 4, 14 dan 24 bulan selepas lahir.

    Para penyelidik mendapati bahawa kesejahteraan pranatal bagi ibu kali pertama mempunyai kesan langsung kepada tingkah laku kanak-kanak semasa mereka berusia dua tahun. Ibu yang mengalami tekanan dan kebimbangan dalam tempoh pranatal lebih cenderung melihat masalah tingkah laku kanak-kanak seperti perasaan marah, kegelisahan dan hasad dengki (spitefulness).

    Malah, penyelidik juga mendapati bahawa kekurangan kebahagiaan dalam perhubungan dan wujudnya konflik lain menyebabkan kanak-kanak yang berusia dua tahun lebih cenderung menunjukkan masalah emosi termasuk kebimbangan, tidak berpuas hati dan menangis, mudah takut atau sentiasa dekat (clingy) apabila dalam situasi yang baru, jika ibu bapa mengalami masalah perhubungan semasa postnatal awal.

    Kesihatan Mental Ibu Bapa dan Tingkah Laku Kanak-kanak

    Menurut penulis bersama Dr Rory Devine, yang juga ahli psikologi perkembangan di Universiti Birmingham, data mereka menunjukkan bahawa masalah kesihatan mental semasa hamil mempunyai kesan yang unik terhadap masalah tingkah laku kanak-kanak.

    Para penyelidik juga mengakui bahawa faktor genetik mungkin memainkan peranan tetapi ia menyumbang masalah kesihatan mental ibu bapa sebelum kehamilan pertama dan selepas kelahiran anak mereka. 

    Penulis utama, Profesor Claire Hughes dari Pusat Penyelidikan Keluarga Cambridge, berkata, terdapat anggapan bahawa sukar untuk mendapatkan penglibatan bapa dalam penyelidikan seperti ini, tetapi kajian mereka mengambil sampel yang agak besar dan unik kerana kedua ibu bapa menjawab soalan yang sama di setiap peringkat, yang membolehkan mereka membuat perbandingan secara langsung.

    Dengan menggunakan soal selidik dan wawancara secara individu, ibu dan bapa yang mengambil bahagian melaporkan simptom kegelisahan dan kemurungan pada trimester kehamilan ketiga dan apabila anak mereka berusia 4, 14 dan 24 bulan. Pada setiap lawatan ini, ibu bapa juga menyelesaikan soal selidik kualiti hubungan pasangan dan emosi dan tingkah anak.

    Keperluan Sokongan Kepada Bakal Ibu dan Bapa

    Menurut Hughes, mereka telah berkongsi dapatan kajian dengan NCT (National Childbirth Trust) dan menggalakkan NHS serta organisasi lain untuk menilai semula sokongan yang ditawarkan. Ini kerana kesulitan dalam hubungan awal kanak-kanak dengan ibu bapa boleh menyebabkan kesan jangka panjang. 

    Penulis bersama, Dr Sarah Foley, juga dari Pusat Penyelidikan Keluarga Cambridge berkata, jika ibu mempunyai kelahiran yang sukar, ini boleh menjadi pengalaman yang berpotensi traumatik untuk bapa.

    Hughes berkata, penemuan mereka menyerlahkan keperluan sokongan lebih awal dan lebih berkesan bagi pasangan mempersiapkan diri mereka dengan lebih baik untuk peralihan kepada menjadi ibu bapa.

    Hubungan antara kemenjadian kanak-kanak dan kesejahteraan ibu bapa telah ditunjukkan dalam kajian-kajian lain, tetapi ini adalah yang pertama melibatkan pasangan, mengamati kesejahteraan kedua ibu bapa dalam tempoh masa yang panjang, dan memberi tumpuan kepada tingkah laku kanak-kanak dalam dua tahun pertama kehidupan. 

    Gangguan Tingkah Laku Paling Umum pada Kanak-kanak

    Membesarkan kanak-kanak adalah sukar dan boleh mengganggu kehidupan. Adalah jarang sekali kanak-kanak di bawah umur 5 tahun menerima diagnosis gangguan tingkah laku yang serius. Walau bagaimanapun, mereka mungkin mula menunjukkan simptom gangguan yang boleh didiagnosis kemudian pada zaman kanak-kanak. Ini termasuk:

  • Gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD)
  • Oppositional defiant disorder (ODD)
  • Gangguan spektrum autisme (ASD)
  • Gangguan kegelisahan
  • Depresi
  • Gangguan bipolar
  • Gangguan pembelajaran
  • Gangguan kelakuan
  • Mungkin kebanyakan daripada senarai gangguan yang disenaraikan biasa didengar, namun terdapat juga keadaan yang jarang digunakan dalam perbincangan mengenai psikologi kanak-kanak. 

    Contohnya, ODD termasuk ledakan kemarahan, biasanya ditujukan kepada orang yang berkuasa. Tetapi diagnosis bergantung kepada tingkah laku yang berterusan selama lebih dari enam bulan dan mengganggu fungsi kanak-kanak. Gangguan ini adalah diagnosis yang jauh lebih serius dan melibatkan tingkah laku seseorang akan dianggap kejam, kepada orang lain dan juga kepada haiwan. Ini boleh merangkumi keganasan fizikal dan juga kegiatan jenayah tingkah laku yang sangat jarang berlaku pada kanak-kanak prasekolah.

    Sementara autisme sebenarnya adalah pelbagai gangguan yang boleh memberi kesan kepada kanak-kanak dalam pelbagai cara, termasuk tingkah laku, sosial, dan kognitif. Ia dianggap gangguan neurologi dan tidak seperti gangguan tingkah laku yang lain, simptomnya boleh bermula seawal usia bayi.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Farah Aziz · Disemak pada 01/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan