Sekitar 30 Juta Bayi Pramatang dan Sakit Memerlukan Rawatan Setiap Tahun

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kira-kira 30 juta bayi dilahirkan terlalu awal, kecil atau dalam keadaan sakit setiap tahun dan memerlukan penjagaan khusus untuk hidup, menurut laporan oleh satu pakatan global termasuk Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF).

“Apabila bercakap tentang bayi dan ibu, penjagaan yang betul pada masa yang tepat di tempat sepatutnya boleh membawa perubahan yang besar,” kata Omar Abdi, Timbalan Pengarah Eksekutif UNICEF. “Namun, jutaan bayi yang terlalu kecil dan sakit serta ibu meninggal dunia setiap tahun hanya kerana mereka tidak menerima penjagaan kesihatan berkualiti yang merupakan hak mereka dan tanggungjawab kita bersama.”

Laporan tersebut, Survive and Thrive: Transforming care for every small and sick newborn, menemui bahawa bayi yang paling berisiko mengalami kematian ialah mereka yang mempunyai komplikasi disebabkan kelahiran bayi pramatang, kecederaan otak semasa proses kelahiran, jangkitan bakteria atau jaundis yang serius, dan dilahirkan dalam keadaan cacat. Tambahan pula, situasi ekonomi dan psikologi keluarga boleh memberikan kesan besar terhadap perkembangan kognitif, bahasa, dan emosi mereka.

“Bagi setiap ibu dan anak, permulaan yang sihat bermula dari awal proses kehamilan, bersalin, dan bulan-bulan pertama adalah sangat penting,” kata Dr Soumya Swaminathan, Timbalan Ketua Pengarah Program di WHO. “Liputan kesihatan sejagat dapat menjamin setiap individu termasuk bayi baru lahir mendapat akses kepada khidmat kesihatan yang mereka perlukan tanpa perlu menghadapi masalah kewangan. Peningkatan pada tahap penjagaan kesihatan bayi baru lahir ialah satu situasi menang-menang. Ia menyelamatkan nyawa dan sangat penting untuk perkembangan awal bayi, seterusnya memberi impak terhadap keluarga, masyarakat, dan generasi akan datang.”

Menurut laporan tersebut, ramai bayi baru lahir yang berisiko tidak mampu meneruskan kehidupan dalam bulan pertama selepas lahir tanpa rawatan yang khusus. Pada tahun 2017, sekitar 2.5 juta bayi baru lahir meninggal dunia, kebanyakannya disebabkan oleh punca yang boleh dicegah. Hampir 2 per 3 dari mereka merupakan bayi pramatang dan walaupun bayi ini dapat meneruskan kehidupan, mereka perlu menghadapi penyakit kronik dan kelewatan pada tahap pembesaran. Selain itu, kira-kira 1 juta bayi sakit dan terlalu kecil hidup dengan kecacatan jangka masa panjang.

Dengan penjagaan yang betul, bayi ini mampu hidup tanpa komplikasi serius. Laporan tersebut menunjukkan bahawa menjelang tahun 2030, di 81 buah negara, sebanyak 2.9 juta nyawa wanita dan bayi baru lahir boleh diselamatkan dengan strategi yang lebih berkesan. Contohnya, jika pasukan perubatan yang sama menjaga kedua-dua ibu dan anak semasa proses bersalin dan selepasnya, mereka boleh mengenal pasti masalah yang ada lebih awal.

Tambahan pula, hampir 68% kematian bayi baru lahir boleh dielakkan menjelang tahun 2030 dengan langkah mudah seperti menyusu badan eksklusif (tanpa makanan lain dalam 6 bulan pertama), sentuhan kulit ke kulit antara ibu (atau ayah) dan anak, ubat-ubatan dan peralatan berkaitan, akses kepada fasiliti kesihatan yang bersih dan lengkap, serta staf kesihatan yang berkemahiran. Langkah lain seperti memberikan rawatan terhadap bayi yang tidak bernafas dengan baik, memberikan suntikan kepada ibu untuk mengelakkan pendarahan, dan melewatkan pemotongan tali pusat juga boleh menyelamatkan jutaan nyawa.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut