Padah Hidu Bau Stoking Busuk, Paru-paru Lelaki Dijangkiti Kulat!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Di New Delhi, pernah berlaku satu rusuhan di dalam bas yang berpunca daripada sepasang sarung kaki busuk milik seorang lelaki!

Kisahnya, lelaki terbabit membuka stoking miliknya ketika sedang duduk di dalam sebuah bas. Gara-gara baunya yang ‘semerbak harum’, para penumpang lain meminta dia untuk membuang sarung kaki itu ke luar. Namun, dia tidak mengendahkannya. Disebabkan itu, para penumpang mula merusuh dan pihak polis terpaksa campur tangan.

Dahsyat sungguh penangan bau stoking ini, ya? Pun begitu, ada satu cerita lain yang sangat jauh berbeza dengan kisah lelaki ini. Jom baca artikel untuk tahu lebih lanjut!

Ketagih dengan bau sarung kaki sendiri

Di Beijing, seorang lelaki mempunyai tabiat yang sangat pelik iaitu dia akan menghidu stoking miliknya setiap kali dia pulang ke rumah dari pejabat. Menurut laporan media Mirror Online, lelaki terbabit akan menghidu sarung kakinya itu setiap kali selepas menukar pakaian sebelum masuk ke bilik mandi.

Tabiat anehnya ini telah menyebabkan paru-parunya dijangkiti kulat yang terdapat pada stoking miliknya itu. Kulat yang terdapat pada sarung kakinya ini adalah berpunca daripada kakinya yang berpeluh. Ia adalah perkara biasa yang akan dialami jika seseorang itu memakai sarung kaki dalam tempoh yang sangat lama.

Sebagai contoh, pekerja pejabat adalah golongan yang selalu mengalami masalah kaki berpeluh. Apa yang mungkin kita belum tahu adalah masalah ini akan menyebabkan pembentukan kulat padanya. Disebabkan lelaki dari China ini mempunyai tabiat pelik menghidu sarung kakinya yang penuh dengan kulat, paru-parunya mula menerima kesannya. 

Akibat daripada tabiat yang pelik

Pada awalnya, lelaki berkenaan tidak mengalami apa-apa efek yang menyebabkan dia meneruskan tabiat anehnya ini. Pun begitu, lama-kelamaan dia mula mengalami batuk teruk dan sukar untuk bernafas sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

Hasil imbasan X-ray, doktor mengesahkan bahawa lelaki terbabit telah mengalami jangkitan teruk pada paru-parunya. Lanjutan itu, doktor turut mengesahkan bahawa jangkitan itu adalah berpunca daripada tabiat menghidu sarung kaki setiap hari.

Dia terpaksa ditahan di hospital untuk menerima rawatan lanjutan. Kes seperti ini bukan yang pertama pernah dilaporkan di media. Jadi, ia merupakan tabiat pelik yang sepatutnya kita semua hindari sebelum menerima padah.

Konklusi

Kesimpulannya, bau stoking yang busuk adalah normal bagi kebanyakan orang. Jangan pula kita menghidunya hanya semata-mata untuk memenuhi hasrat tabiat yang pelik. Sebaliknya, terus masukkan sarung kaki anda yang semerbak harum itu ke bakul kain kotor atau terus mencucinya dengan mesin basuh sebelum anda terfikir untuk menghidunya!

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut