backup og meta

Radiasi Tahap Rendah, Rangsang Sel Kanser?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/06/2020

    Radiasi Tahap Rendah, Rangsang Sel Kanser?

    Jika dahulu radiasi dos rendah (tahap rendah), yang bersamaan dengan melakukan tiga kali imbasan CT (CT-Scan), adalah dianggap selamat. Namun kini, berdasarkan kajian untuk menguji kesan dos radiasi yang rendah dalam esofagus tikus yang dilakukan oleh saintis di Wellcome Sanger Institute dan University of Cambridge, menunjukkan ia memberikan rangsangan ke atas sel kanser untuk bersaing dengan sel normal dalam tisu yang sihat.  

    Melalui kajian ini mendapati bahawa dos radiasi yang rendah berkeupayaan untuk meningkatkan bilangan sel dengan mutasi di p53, perubahan genetik terkenal yang dikaitkan dengan kanser. Walau bagaimanapun, memberikan tikus dengan antioksidan sebelum radiasi dapat menggalakkan pertumbuhan sel sihat yang dapat melawan dan menggantikan sel mutan p53.

    Merebak dan Bersaing

    Hasil kajian yang diterbitkan dalam Cell Stem Cell, pada 18 Julai lalu, menunjukkan dos radiasi yang rendah menggalakkan penyebaran sel-sel yang mampu menyebabkan wujudnya kanser di dalam sel tisu yang sihat.

    Dalam penyelidikan sebelum ini, menunjukkan bahawa sel tisu biasa, seperti kulit, merupakan medan perang, iaitu sebagai tempat di mana sel mutan bersaing dengan sel-sel yang sihat untuk mendapatkan ruang. Secara umumnya, dalam badan kita semua sememangnya mempunyai sel mutan yang berkeupayaan merangsang kanser dalam sel-sel tisu yang sihat, termasuklah dengan sel mutasi p53, yang akan meningkat seiring dengan pertambahan usia. Akan tetapi, hanya sedikit sahaja sel yang akan berubah membentuk sel kanser.

    Manakala dalam kajian terbaharu ini, pengkaji dapat membuktikan bahawa radiasi walau hanya pada tahap yang rendah, mempunyai kemungkinan merangsang sel mutan di dalam esofagus. Penyelidik dari Sanger Institute bersama kolaborator (collaborator) memberikan tikus uji kaji sebanyak 50 miligram sinaran radiasi, yang bersamaan dengan 3 atau 4 imbasan CT (CT Scan). Hasil keputusan daripada ujian ini, menunjukkan sel-sel mutan p53 merebak dan bersaing dengan sel-sel sihat.

    Radiasi sebabkan Pertempuran antara Sel?

    laser

    Salah seorang pengkaji dan juga penulis pertama laporan Cell Stem Cell, Dr. David Fernandez-Antoran berkata, “Badan kita adalah seperti “Game of Clones”, di mana ia merupakan medan pertempuran ruang antara sel-sel normal dan sel-sel mutan. Hasil ujian memberikan keputusan bahawa dos radiasi yang rendah, seperti 3 imbasan CT, berisiko untuk mengembangkan dan merangsangkan sel mutan. Ini bermakna kami telah menemui risiko tambahan lain yang turut berpotensi untuk mewujudkan kanser.

    Dalam kajian seterusnya yang dijalankan, tikus yang diuji turut diberikan antioksida, N-Acetyl Cysteine (NAC) sebagai ubatan, sebelum didedahkan kepada tahap radiasi yang sama. Hasil keputusan menunjukkan ubatan antioksidan membantu merangsang sel normal untuk bersaing dan menyingkirkan sel mutan p53.

    Walau bagaimanapun, pemberian antioksidan sahaja tanpa pendedahan kepada radiasi tidak membantu sel untuk melawan sel mutan.

    Menurut seorang lagi penulis daripada Wellcome Sanger Institute, Dr. Kasumi Murai berkata, memberi tikus dengan ubatan antioksidan sebelum mendedahkan mereka kepada dos radiasi rendah dapat membantu merangsang sel-sel sihat untuk melawan sel mutan di esofagus, sekali gus menyingkirkannya dari badan. 

    Jelas Dr. Murai lagi, pengkaji masih tidak dapat memutuskan mengenai kesan terapi ini jika dilakukan pada tisu badan yang lain, di mana ia berkemungkinan boleh merangsang sel-sel kanser di bahagian lain untuk menjadi lebih kuat. Apa yang pasti, menurut kajian lain yang dilakukan, penggunaan jangka panjang antioksidan sahaja tidak berkesan untuk mencegah kanser kepada manusia. 

    Masih Sukar Difahami

    Setiap hari kita sebenarnya terdedah kepada pelbagai sumber radiasi pengionan (ionising radiation), termasuk daripada sumber semula jadi dari tanah dan batuan serta yang terhasil daripada prosedur perubatan seperti imbasan CT (CT Scan) dan x-ray. 

    Radiasi pada dos yang rendah, seperti pendedahan kepada proses pengimejan perubatan, pada ketika ini masih dianggap selamat kerana dikatakan kaedah ini hanya menyebabkan kerosakan DNA pada jumlah yang kecil dan memberikan impak yang minimum pada tahap kesihatan untuk tempoh jangka panjang. Sehingga kini kesan terdedah kepada radiasi pada tahap rendah masih lagi menjadi tanya tanya. Ini bermakna untuk memahami risiko sebenar yang berkaitan dengan dos radiasi yang rendah adalah sukar. 

    Walau bagaimanapun, pengkaji mencadangkan bahawa risiko yang wujud ini perlu dipertimbangkan dalam menilai tahap keselamatan bagi penggunaan radiasi. Kajian ini juga menyarankan kemungkinan langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengelakkan keadaan ini daripada berlaku adalah dengan mempertingkatkan sel-sel yang sihat untuk bersaing dan membasmi sel-sel yang berkeupayaan untuk merangsang kanser. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan