Puasa dan Manfaat Kesihatannya Kepada Tubuh

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Penyelidikan lepas telah menunjukkan bahawa puasa mampu memperbaiki fungsi kognitif, merangsang pembelajaran dengan lebih pantas dan memperkuat memori. Saintis neuro telah mengaitkan aktiviti sinaptik aktif dengan penyakit neurodegenerative seperti penyakit Alzheimer, Huntington dan Parkinson. Oleh itu, berpuasa mampu menjadi satu langkah pencegahan terhadap kehadiran penyakit-penyakit tersebut.

Puasa dan kesannya kepada fungsi otak

Di samping itu, menurut kajian yang dijalankan oleh Mark Mattson, profesor neurosains di The Johns Hopkins University yang salah seorang penyelidik utama dalam bidang mekanisme selular dan molekul yang mendasari pelbagai penyakit neurodegeneratif, seperti penyakit Parkinson dan Alzheimer, berpuasa secara signifikannya dapat menurunkan risiko mendapat penyakit-penyakit kognitif. Kajian lepas menunjukkan, berpuasa boleh merangsang fungsi otak dengan meningkatkan tahap protein yang menggalakkan pertumbuhan neuron.

Puasa dan kesannya kepada mikrobiota usus

Selain itu, menurut Dr. Meltem Yalinay dari Gazi University, Turki, tahap glukosa darah dan kolesterol turut dipengaruhi dengan positif dalam tempoh berpuasa. Selain itu, menurut penyelidikan beliau, mikrobiota usus turut menyukai tempoh berpuasa. Bakteria yang baik untuk mikrobiota usus dan bakteria yang berkaitan dengan kenaikan metabolik dan metabolisme usus telah direkodkan meningkat semasa dalam tempoh berpuasa. Mikrobiota usus adalah komuniti mikroorganisma kompleks yang hidup di dalam saluran pencernaan kita dan ianya memainkan peranan yang penting dalam metabolisme dan kesihatan umum manusia.

Puasa dan kesannya kepada hati dan otot rangka

Selain itu, menurut kajian yang dijalankan oleh penyelidik daripada University of California – Irvine, mereka menemui bukti bahawa berpuasa boleh memberi kesan kepada circadian clocks di dalam hati dan otot rangka, yang menyebabkan keduanya membuat semula metabolisme mereka, yang pada akhirnya boleh membawa kepada peningkatan tahap kesihatan yang lebih baik dan perlindungan terhadap penyakit yang berkaitan dengan penuaan. Penyelidikan mereka tersebut telah diterbitkan pada awal tahun 2019 dalam jurnal Cell Report.

Puasa dan manfaatnya yang pelbagai

Menurut penyelidikan saintis dari Okinawa Institute of Science and Technology Graduate University (OIST) dan Kyoto University pula, terdapat kira-kira 30 bahan yang tidak dilaporkan sebelumnya yang mana kuantitinya meningkat semasa berpuasa dan menunjukkan pelbagai manfaat kesihatan. Antara manfaat tersebut adalah dapat meningkatkan aktiviti metabolik manusia, menghasilkan antioksidan, dan membantu mengurangkan kesan penuaan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut