Perspektif: Muliakanlah kerjaya seorang doktor

Surat terbuka untuk Miya Wong.

Assalamualaikum saudari, atau mungkin lebih tepat saya panggil dengan panggilan doktor. Sungguhpun begitu, awak nampak seolah-olah awak tak ingin dipanggil dengan gelaran itu.

Benci sungguh anda dengan profession seorang doktor bagaikan tiada yang mulia dengan pekerjaan ini. Anda perlihatkan segala pekung di dada yang kononnya beribu-ribu manusia menjadi doktor ini cuba menyembunyikan betapa hina, ego, gila seks, pentingkan diri dan amarahnya semua doktor di sekeliling anda. Tiada yang baik. Berjilid-jilid cerita anda tiada seorang pun doktor yang baik. Saya pun mengaku kalah, cuba saya ketengahkan cerita baiknya ramai doktor yang saya jumpa, tak ada 13000 orang nak baca? Kenapa? Kerana tiada sensasi dalam kebenaran, bukan begitu?

Izinkan saya perkenalkan diri saya. Nama saya Dr. Saiful Adni dan saya adalah seorang Pakar Perubatan. Saya telah melatih ramai Pegawai Perubatan Siswazah dan Pegawai Perubatan sepanjang tempoh perkhidmatan saya. Saya juga kenal dengan sebegitu ramai pakar perubatan yang seangkatan dengan saya yang menginginkan perubahan dalam tatakerja dan sistem latihan masa kini. Ramai yang saya kenal tak pernah meninggikan suara, tidak memberi komen berbaur seksual, menginginkan yang terbaik buat pesakit, dan tidak membuli junior. Malangnya kalau kita bercerita tentang ramainya manusia-manusia sebegini, sudah tentu tiada dramanya. Mengapa? Kerana tiada mangsa. Maka suara kami semua yang buat perkara dengan baik ini tenggelam dan cerita yang orang nak baca adalah betapa teruknya semua doktor senior sebagaimana anda hidangkan tanpa dilaporkan melalui saluran yang betul untuk tindakan sewajarmya.

Anda rasa apa yang anda lakukan sama dengan apa yang berlaku baru-baru ini di satu (saya ulang, satu) bahagian di Lembah Klang? Anda salah. Mereka laporkan pada pihak berwajib. Individu dikenal pasti dan siasatan dilakukan. Apa yang anda buat? Dengan tohmahan sebegitu, pandangan serong akan wujud dan untuk membetulkan persepsi ini akan jadi tugas semua orang. Apa dosa kami sebagai doktor-doktor yang tak pernah membuli, tak pernah mengganggu, lakukan tugas tak tidur malam tinggalkan keluarga demi pesakit tak pasal-pasal nak kena betulkan pandangan orang terhadap kami kerana awak buat keputusan untuk cari publisiti melalui facebook? Kami dah cukup banyak kerja adik. Awak dah pernah pindah 7 kali dalam masa 9 tahun? Awak pernah kena biarkan telefon on selama seminggu suntuk dan bersedia jawab panggilan bila-bila masa waima pukul 3 pagi dan masih perlu berfikiran terang lagi bersuluh setiap kali dihubungi untuk memberi “plan” supaya pesakit dapat yang terbaik? Awak rasa semua Pegawai Perubatan buat oncall lagi teruk dari Pegawai Perubatan Siswazah tanpa apa-apa tanggungjawab?

Saya dah baca bahagian kelima awak dan mengucap panjang. Selamat awak buat keputusan untuk padam. Tapi kenapa awak letakkan post itu pada asalnya? Tuduhan awak itu sangat-sangat berat. Tuduhan awak itu boleh mengheret awak ke mahkamah dunia (paling kurang) dan yang lebih hebat lagi mungkin ke neraca Tuhan di padang mahsyar nanti. Biarpun awak tak namakan siapa Dr.C itu, kalau awak tak mohon maaf atas perbuatan awak, saya risau awak tak akan dapat hidu bau syurga di kehidupan abadi nanti.

Saya yang sekali baca pun tahu mengapa keputusan klinikal adalah bukan untuk meletakkan tiub pernafasan atau menagih katil ICU untuk pesakit-pesakit sebegitu. Kerana orang macam anda, tugasan kami di Bahagian Rawatan Paliatif dipandang serong. Bukan semua jenis penyakit/masalah kesihatan mesti berakhir dengan tiub pernafasan, CPR, perubatan paling agresif. Ada banyak cabang perubatan masa kini, dan ada banyak yang boleh dilakukan walaupun jalan akhirnya bukan untuk memanjangkan nyawa seseorang.

Ingat atau tidak apa bahagian pertama sumpah kita semua sebagai doktor. “First, do no harm”. Sumpah kita bukan untuk memastikan segala jenis manusia yang ada di hadapan kita harus hidup! Kita harus tahu di mana limitasi kita sebagai doktor dan bagi setiap pesakit yang kita jumpa, sebelum sedikitpun perbincangan tentang cara ubatan dimulakan, kita harus lihat semua aspek etika perubatan. Saya risau dengan baca bahagian 5 anda yang anda tak faham langsung satu pun daripada etika tersebut. Sekiranya ada Pegawai Perubatan atau Pegawai Perubatan Siswazah saya tak dapat menerangkan 4 aspek etika perubatan dan terus berkhidmat, maka saya akan risau. Dengan kata lain, saya amat lega awak dah tak berkhidmat, terima kasih. Tapi jangan kelirukan umum yang tak mengerti aspek-aspek ini.

Maka bantu saya kawan-kawan. Bantu saya yakinkan semula masyarakat kita yang kita semua ingin membantu. Buat Saudari Miya Wong, saya nasihatkan awak mula tengok balik salah siapa sebenarnya awak berada di kedudukan awak sekarang. Sebanyak mana cerita buruk yang anda paparkan, budaya yang awak cuba sebarkan bukan penyelesaian, malah sebenarnya sebahagian daripada masalah yang kita ada. Sila rujuk post saya sebelum ini “A Story of a Specialist”. Semua menjawab kepada isu yang sama kepada doktor-doktor muda yang tak kenal erti tanggungjawab dan meraih simpati daripada umum.

Saya ingin katakan saya harap anda tidak tersinggung, tetapi saya jauh lebih tersinggung dengan setiap satu daripada post anda sebelum ini. Hina sungguh kami semua yang kekal jadi doktor. Hina sungguh kami yang cuba menerangkan tak semua pesakit wajar diberi tiub pernafasan dan CPR pada mata anda. Saya amat risau dengan kelompok ini yang menggelar diri mereka “doktor” tapi amat jelas, nyata dan terang melakukan semua ini untuk kepuasan peribadi dan tidak mengutamakan pesakit. Kami tak perlu sikap sebegini untuk terus menjadi doktor. Kejarlah cita-cita lain yang banyak awak canangkan itu. Henti salahkan orang lain atas keputusan-keputusan anda. Tindakan sebegitu hanya mempamerkan ketidakmatangan anda dalam menghadapi semua ini.

Sekian, wassalam.

*Artikel ini pertama kali diterbitkan di akaun Facebook Dr. Saiful Adni dan disiarkan semula atas kebenaran beliau. Segala pandangan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini adalah bersifat peribadi dan tidak semestinya mencerminkan polisi Hello Doktor. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Dr. Saiful Adni Abd Latif Penjagaan Palliatif
Dr. Saiful merupakan pakar perubatan  yang berkhidmat di hospital kerajaan Malaysia. Beliau mendapat kelulusan daripada University of Leicester dalam ...
Lihat Lebih Lagi
Dr. Saiful Adni Abd Latif Penjagaan Palliatif

Dr. Saiful merupakan pakar perubatan  yang berkhidmat di hospital kerajaan Malaysia. Beliau mendapat kelulusan daripada University of Leicester dalam bidang perubatan dan pembedahan. Beliau sangat berminat menulis mengenai kesihatan terutamanya dalam kesedaran dan promosi kesihatan dalam kalangan masyarakat. Beliau sering memberi syarahan untuk program pendidikan kesihatan, memberi pendedahan kepada masyarakat dan penyedia perkhidmatan kesihatan mengenai topik kesihatan dalaman orang dewasa. Beliau turut berminat mengenai penjagaan kesihatan paliatif dan sering terlibat dalam kajian bidang tersebut.

Lihat Lebih Lagi
Artikel Terkini