Wahai Wanita, Periksa Sendiri Payudara Bagi Langkah Awal Mengesan & Merawat Kanser

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia, kira-kira 27 wanita daripada setiap 100,000 penduduk di negara kita menghidap kanser payudara. 

Selain itu, kanser payudara turut dilaporkan menjadi faktor utama penyebab kematian akibat kanser dalam kalangan kaum hawa. Ini menunjukkan bahawa ada sesuatu yang perlu dilakukan oleh wanita itu sendiri sebagai langkah awal mengesan dan merawat. Jadi buat wanita di luar sana, apakah yang perlu dilakukan sebelum ia memudaratkan kesihatan?

Pemeriksaan sendiri payudara

Sebenarnya, ia adalah agak mudah dan tidak mengeluarkan sebarang kos iaitu dengan memeriksa sendiri payudara anda. 

Ada beberapa perkara yang anda perlu perhatikan semasa pemeriksaan payudara, iaitu:

  • Rasa sakit pada payudara apabila dipicit
  • Terdapat ketulan atau benjolan pada payudara
  • Perubahan pada saiz atau bentuk payudara secara tiba-tiba
  • Kulit payudara berubah warna seakan merah pucat
  • Kulit payudara seperti bersisik
  • Puting mengeluarkan darah
  • Puting kelihatan masuk ke dalam
  • Bawah lengan membengkak dan tumbuh ketulan atau benjolan

Dalam pada itu, ada waktu yang paling sesuai untuk anda lakukan pemeriksaan payudara, iaitu:

  • 7 hingga 10 hari selepas hari pertama datang haid
  • Jika anda tidak lagi datang haid atau mengalami haid tidak menentu, pilih satu hari sebagai penentu contohnya hari pertama setiap bulan
  • Periksa jika terdapat perubahan pada payudara sebulan sekali
  • Berjumpa doktor untuk pemeriksaan payudara setahun sekali

Diagnosis klinikal payudara

Selain daripada memeriksa sendiri payudara, anda wajar mendapatkan diagnosis secara klinikal daripada doktor. Ada 2 metode diagnosis yang boleh dilakukan, iaitu:

Mammogram

Ia adalah metode diagnosis yang berupaya memaparkan imej di dalam permukaan payudara anda. Kebanyakan wanita berusia 40 tahun ke atas perlu menjalankan metode ini secara tahunan untuk memeriksa sel kanser yang mungkin wujud pada payudara. 

Ultrabunyi

Ia adalah metode diagnosis yang berupaya memaparkan imej tisu di dalam payudara anda menggunakan gelombang bunyi. Sama juga seperti mammogram, ia boleh membantu doktor untuk mengesan jika terdapat sebarang tumor atau sista pada payudara.

Wahai wanita, adakah anda mahu kanser ini merebak sehingga anda berisiko kehilangan payudara atau nyawa anda? Jika tidak, sila periksa sendiri payudara bagi langkah awal mengesan dan merawatnya sebelum parah.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut