Movember: Apa Peranan Wanita Dalam Menyokong Pasangan?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

‘Grow a mo, save a bro’. Ini adalah tagline kepada kempen Movember yang kini sedang trending di seluruh dunia. Meskipun bulan ini adalah berkenaan dengan lelaki, ia tidak bermakna wanita tidak boleh terlibat. Tapi, masakan kaum hawa boleh tumbuh misai? Jadi, ada perkara lain yang boleh wanita lakukan untuk menyokong bulan ini. Jom baca lebih lanjut! 

wanita

Apa itu Movember?

Buat anda yang masih tertanya-tanya, Movember adalah satu kempen yang berlaku setahun sekali selama sebulan untuk meningkatkan kesedaran tentang isu kesihatan lelaki. Matlamat utama kempen ini dicipta adalah mengelakkan kaum adam mati terlalu muda. 

Kempen ini bermula pada tahun 2004 di Melbourne Australia dengan hanya 30 ahli yang kemudiannya menjadi tunjang utama dalam The Movember Foundation. Tahun demi tahun, ia semakin popular di seluruh dunia. Namun di Malaysia, ia masih dalam peringkat awal.

Untuk pengetahuan anda, perkataan Movember dicipta daripada gabungan 2 perkataan Inggeris iaitu ‘moustache’ dan ‘november’. Mengapa perkataan ini dipilih? Ini kerana gerakan ini akan berlangsung sepanjang bulan november dan ketika ini, lelaki akan menyimpan misai selama sebulan untuk menunjukkan sokongan mereka terhadap kempen ini.

Mereka yang bermisai ini akan digelar sebagai ‘Mo Bros’. Sebenarnya agak mudah untuk seorang lelaki turut serta dan menunjukkan sokongan terhadap kempen ini – hanya dengan menumbuhkan misai. Akan tetapi, bagaimana pula dengan wanita? Jangan risau, anda masih boleh menyokong pasangan anda tanpa menumbuhkan misai. 

wanita

Mo Sisters

Sebagai lelaki, anda boleh menggunakan peluang ini untuk menggayakan misai anda dengan pelbagai style. The Undercover Brother, The Trucker, Handlebar, Fu Manchu, Chevron, Rock Star, Pencil, The After Eight – kesemuanya boleh kaum adam gayakan.

Sebagai kaum hawa pula, gaya-gaya ini sudah pasti tidak boleh anda lakukan. Namun, anda masih boleh menyokong kempen ini dengan menjadi salah seorang daripada Mo Sisters. Jadi, apa yang boleh Mo Sisters ini lakukan untuk membuat perubahan?

Antara langkah yang boleh dilakukan adalah menyertai program untuk membantu meningkatkan dana kempen ini. Di kebanyakan negara, sudah ramai wanita menyertai program larian amal demi memperingati kematian lelaki akibat pelbagai jenis penyakit.

Bukan sahaja ia mampu menjana dan menambah dana kempen Movember, wanita yang menyertai apa-apa sahaja program sebagai seorang Mo Sisters ini sebenarnya secara tidak langsung sudah memberi sokongan dari aspek moral dan mental seorang lelaki.

Ya, memang isu kesihatan lelaki seperti kanser prostat dan kanser testis hanya akan berlaku kepada lelaki. Namun, ia juga akan menjejaskan kehidupan pasangannya. Oleh itu, bukan sahaja lelaki, wanita juga perlu berjuang bersama pasangannya!

Konklusi

Kesimpulannya, bukan sahaja lelaki yang memegang kunci kepada kesejahteraan dan kesihatan dirinya. Wanita juga perlu memainkan peranannya dalam menyokong pasangannya untuk sentiasa menjalani kehidupan yang berkualiti. Bermisai atau tidak, kempen Movember ini haruslah disambut dengan baik oleh setiap insan yang hidup di muka bumi ini!

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut