Penyelidikan Baharu Mengubah Pemahaman Kita Berkenaan Aktiviti Otak Ketika Tidur

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Ketidakmampuan untuk tidur atau insomnia menjadi salah satu beban kepada seseorang apabila keadaan seperti susah untuk tertidur atau kerap terjaga pada waktu malam dan sukar untuk kembali tidur membawa kepada kehilangan motivasi dalam diri, perubahan mood dan kekurangan tenaga yang boleh mengakibatkan masalah jangka panjang yang lebih kronik seperti kebimbangan dan kemurungan. Walaubagaimanapun, masalah seperti mungkin akan dapat diatasi tidak lama lagi apabila satu kajian baharu telah mendedahkan corak dan jaringan otak skala besar di dalam otak yang mengawal tidur, menyediakan pengetahuan yang pada masa akan datang yang boleh membantu individu yang mengalami masalah tidur.

Satu kajian yang bertajuk ‘Discovery of Key Whole-brain Transitions and Dynamics During Human Wakefulness and Non-REM Sleep’ yang diketuai oleh kumpulan penyelidik daripada Center for Music in the Brain, Aarhus University, Denmark dan University of Oxford telah mendedahkan buat kali pertama, corak dan jaringan otak skala besar di alam otak yang berfungsi mengawal tidur. Kumpulan pengkaji terbabit telah menggunakan teknik yang dipanggil ‘functional magnetic resonance imaging (MRI)’ bersama-sama dengan algoritma yang boleh mengenalpasti corak aktiviti otak.

Salah seorang penyelidik yang terlibat, Angus Stevner menyatakan, kajian ini menyediakan pemahaman revolusi baharu dan berpotensi dalam memahami aktiviti otak semasa tidur yang boleh membawa kepada bentuk baharu rawatan masalah tidur yang telah mempengaruhi ramai individu. Beliau turut menambah bahawa, kajian tersebut boleh mengubah cara kita memahami tidur dan cara kita melihat masalah berkaitan tidur seperti insomnia. Pengkategorian tidur yang baharu dan lebih terperinci melalui hasil kajian tersebut diharap boleh digunakan untuk mengenalpasti perubahan dalam aktiviti otak bagi individu yang menderita penyakit tidur yang sukar difahami seperti dyssomnia dan insomnia. Kajian tersebut telah diterbitkan dalam jurnal Nature Communications pada 4 Mac 2019.

Para penyelidik turut menegaskan bahawa pada masa kini, kita tidak mempunyai pemahaman yang konsisten mengenai apa yang berlaku dalam otak seseorang yang menderita insomnia, selain peranan tidur terhadap gangguan mental, yang mana gangguan tidur adalah perkara yang sangat biasa berlaku. Beberapa tahun kebelakangan ini, kemajuan yang dibuat dalam teknik pengimbasan otak moden telah membawa kepada pemahaman yang jauh lebih bervariasi mengenai kerumitan otak, yang mana tidak mengambil kira peringkat tidur biasa. Hasil penyelidikan ini memberikan penerangan secara moden mengenai tidur manusia sebagai fungsi aktiviti rangkaian kompleks otak dan para penyelidik cuba untuk berpindah daripada gambaran yang agak mudah yang sejauh ini telah mencirikan pemahaman mereka mengenai aktiviti otak semasa tidur.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut