backup og meta

Teh & Buah Epal Dipercayai Bantu Mencegah Sakit Jantung Dan Kanser, Ini Penjelasannya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 07/10/2022

    Teh & Buah Epal Dipercayai Bantu Mencegah Sakit Jantung Dan Kanser, Ini Penjelasannya!

    Penyakit jantung dan kanser merupakan antara sakit kronik yang menjadi igauan setiap individu. Mengamalkan diet pemakanan yang sihat dan seimbang dipercayai dapat mengurangkan risiko kecenderungan untuk menghidapi kedua-dua penyakit ini. 

    Berdasarkan satu penyelidikan baru yang dijalankan oleh Edith Cowan University (ECU) mengatakan pengambilan makanan yang kaya dan tinggi kandungan flavanoid seperti epal dan teh dipercayai dapat membantu melindungi diri daripada penyakit jantung dan kanser. 

    Baca lebih lanjut tentang Sakit Jantung di sini.

    Kesan Flavanoid Kepada Penyakit Jantung dan Kanser

    Melalui perolehan data daripada Danish Diet, Cancer and Health ini telah melibatkan sejumlah 53,048 individu masyarakat Denmark yang dianalisis oleh ECU’s School of Medical and Health Sciences selama 23 tahun. 

    Hasil analisa kajian yang diterbitkan dalam Nature Communications  mendapati bahawa individu dengan diet pemakanan yang mengandungi kandungan flavanoid berasaskan tumbuhan akan kurang berdepan dengan kecenderungan risiko mati yang berpunca daripada penyakit jantung atau kanser. 

    penyakit jantung

    Menurut Ketua Penyelidikan, Dr Nicola Bondonno, kajian menunjukkan risiko kematian adalah lebih rendah bagi individu yang mengambil makanan tinggi flavanoid.

    Apa yang lebih menarik, penyelidik mendapati kesan perlindungan adalah lebih kuat bagi individu yang mempunyai risiko tinggi untuk menghidapi penyakit kronik akibat tabiat merokok dan pengambilan minuman alkohol dalam kuantiti melebihi dua minuman standard sehari. 

    Jelas beliau lagi, hasil penemuan ini adalah penting kerana ia meningkatkan potensi untuk mencegah kanser dan penyakit jantung dengan menggalakkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan flavanoid, khususnya kepada individu yang mempunyai kecenderungan untuk menghidapi penyakit kronik ini. 

    Perubahan Tabiat Secara Beransur-ansur

    Walau bagaimanapun, Dr Nicola memberitahu pengambilan dan pengharapan kepada flavanoid semata-mata tidak akan dapat menangkis sebarang peningkatan risiko kematian yang berpunca dari tabiat merokok dan penggunaan alkohol dalam jumlah yang tinggi.

    Kaedah yang paling terbaik adalah dengan menghentikan terus tabiat merokok dan cuba mengurangkan pengambilan alkohol.

    Sememangnya diakui untuk melakukan perubahan gaya hidup boleh mendatangkan cabaran yang hebat.

    Jadi menerusi penyelidikan ini, individu dengan tabiat yang tidak sihat boleh cuba mengurangkan kecenderungan tersebut dengan  mengambil makanan yang tinggi flavanoid.

    Tetapi dalam masa yang sama mempunyai usaha untuk mengurangkan pengambilan alkohol dan menghentikan tabiat merokok

    Jumlah Pengambilan Flavanoid

    penyakit jantung

    Kajian yang telah dilakukan oleh ECU dengan kerjasama penyelidik dari Herlev & Gentofte University Hospital, Aarhus University, bersama Danish Cancer Society Research Centre, Aalborg University Hospital serta Universities of Western Australia dan International Agency for Research on Cancer ini mencadangkan pengambilan sekurang-kurangnya 500 miligram (mg) jumlah flavanoid setiap hari.

    Ini kerana mengambil makanan yang mengandungi sebatian flavanoid menerusi  diet pemakanan harian bagi seseorang individu dapat bantu mengurangkan risiko kematian disebabkan kanser dan sakit jantung. 

    Bagi salah seorang penyelidik dalam kajian ini, Dr Bondonno menyatakan, adalah amat penting untuk memastikan terdapat sebatian flavanoid dari pelbagai sumber makanan dan minuman yang berasaskan tumbuhan berlainan. 

    Diet pemakanan seperti itu boleh didapati melalui pengambilan seperti satu cawan teh, epal, buah oren, sejumlah 100 gram beri biru bersama 100 gram brokoli yang akan memberikan pelbagai sebatian flavanoid dan ia melebihi daripada 500 miligram jumlah flavanoid yang diperlukan oleh individu setiap hari. 

    Namun, jelas Dr Bondonno lagi, walaupun terdapat hubung kait antara pengambilan makanan tinggi flavanoid dengan risiko kematian yang lebih rendah, tetapi kesan perlindungan semula jadi masih tidak begitu jelas dan dipercayai mempunyai pendekatan yang pelbagai. 

    Penggunaan alkohol dan tabiat merokok secara umumnya akan meningkatkan risiko keradangan dan kerosakan saluran darah yang mengakibatkan risiko untuk mengalami pelbagai jenis penyakit.

    Di sini, flavanoid terbukti berperanan sebagai antikeradangan dan dapat membantu pertingkatkan fungsi saluran darah. Ini mungkin antara penyebab mengapa flavanoid dikaitkan dengan risiko kematian yang lebih rendah untuk penyakit jantung dan kanser. 

    Menurut Dr Bondonno lagi, kajian seterusnya yang perlu dilakukan adalah untuk melihat dengan lebih dekat jenis penyakit jantung dan kanser yang dilindungi oleh kesan flavanoid ini. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 07/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan