backup og meta

Penularan Pergerakan Anti Vaksin di Malaysia: Sebab dan Akibat

Fakta Disemak oleh Dr. Shelby


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 09/07/2020

    Penularan Pergerakan Anti Vaksin di Malaysia: Sebab dan Akibat

    Gempar seantero dunia apabila WHO (World Health Organization) mengeluarkan kenyataan yang menyatakan jumlah kes penyakit demam campak telah meningkat sebanyak 50% pada tahun sebelumnya. Menurut WHO lagi, ia mungkin disebabkan oleh penularan pergerakan anti vaksin yang semakin aktif dan berani menyebarkan fahaman mereka mengenai vaksin.

    Menurut Katherine O’Brien yang merupakan pengarah imunisasi dan vaksin WHO, peningkatan kes demam campak ini berlaku di setiap pelusuk benua dunia dengan mendadak. Lebih membimbangkan, jumlah kes demam campak ini menunjukkan pola yang menaik dan tidak menunjukkan sebarang tanda ia akan menurun seiring dengan pergerakan tahun.

    Agensi kesihatan UN (United Nation) juga ada menyatakan bahawa penularan pergerakan anti vaksin ini berlaku pada peringkat global termasuklah negara kaya yang sepatutnya lebih daripada mampu untuk membiayai kos vaksinasi seluruh rakyat mereka. Paling membimbangkan, pergerakan anti vaksin ini juga sudah menular di negara kita, Malaysia.

    Penularan pergerakan anti vaksin di Malaysia

    Baru-baru ini, sebuah rancangan bual bicara televisyen iatu ‘Analisis’ yang diterbitkan oleh TV AlHijrah ada membicarakan tentang perihal vaksinasi di negara kita. Program bual bicara yang bertajuk ‘Vaksin: Perlindungan Atau Kemudaratan? ini menampilkan dua pakar perubatan yang mempunyai perbezaan pendapat dan ideologi mengenai vaksinasi.

    Rancangan berdurasi 1 jam ini menjemput seorang pakar pediatrik yang terkemuka di negara kita iaitu Datuk Dr. Musa Mohd Nordin dan seorang lagi doktor sambilan iaitu Dr. Nurulhuda Muhammed Zabedi. Pelbagai hujah menarik dilontarkan berkenaan vaksinasi sepanjang rancangan ini berlangsung dan ia wajar dipertimbangkan dengan baik oleh para penonton.

    Bagi yang belum berpeluang menontonnya, boleh klik pada pautan youtube yang berikut:

    Apakah puncanya?

    Sebenarnya, pergerakan anti vaksin di Malaysia sudah lama wujud di Malaysia. Disebabkan kita kini berada dalam era teknologi dan maklumat, pergerakan ini semakin berani menyebarkan ideologi mereka melalui laman sesawang terutamanya media sosial yang sangat mudah diakses oleh pelbagai golongan tidak kira tua atau muda.

    Menurut Datuk Dr. Musa Mohd Nordin yang merupakan Perunding Pediatrik dan Neonatologi di KPJ Damansara Specialist, kumpulan pergerakan anti vaksin ini adalah satu gerakan oleh mereka yang tidak arif mengenai hal perubatan. Menurut beliau lagi, jika pencarian mengenai vaksin dibuat, 80 peratus laman sesawang berkenaan anti vaksin akan timbul. Laman sesawang ini bukan sahaja akan memberi fahaman palsu malahan turut mengambil kesempatan untuk menjual produk.

    Pada hemat beliau, vaksinasi dari dahulu lagi telah banyak menimbulkan persoalan dan tentangan. Namun begitu, ia semakin teruk apabila seorang pelakon wanita Amerika, Jenny McCarthy mendakwa vaksinasi merupakan punca anaknya menghidap autisme. Gara-gara kenyataan ini dan tanpa selidikan terperinci terlebih dahulu, fahaman anti vaksin mula menular di segenap pelusuk dunia melalui internet.

    Ini adalah sangat tidak wajar kerana ia merupakan satu kenyataan yang dibuat tanpa persetujuan mana-mana pakar perubatan. Walhal di Denmark, 2 juta kanak-kanak telahpun dikaji untuk melihat sama ada autisme boleh terjadi kepada kanak-kanak yang divaksin ataupun tidak. Hasilnya, kajian ini menunjukkan vaksin bukanlah penyebabnya dan risiko autisme boleh terjadi kepada kanak-kanak tanpa mengira mereka telah divaksin ataupun tidak.

    Selain itu, ketua pengarah kesihatan iaitu Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah ada menyatakan bahawa gerakan kumpulan anti vaksin ini adalah sesuatu yang serius serta perlu ditangani dengan bijaksana oleh ahli-ahli perubatan negara kita. Beliau juga bersetuju bahawa media sosial adalah medium utama yang digunakan untuk menyebarkan fahaman gerakan penolakan vaksin di negara kita.

    Menurut beliau lagi, isu ini sebenarnya tidak perlu ditimbulkan kerana sudah banyak kajian yang membuktikan vaksinasi digunakan untuk meningkatkan imunisasi dalam tubuh badan sejak dahulu lagi malahan telah terbukti berkesan secara klinikal.

    Beliau dan beberapa pakar perubatan lain termasuklah Dr. Nur Asyikin Mohd Yunus merupakan antara 30 ahli perubatan dan pakar dalam pelbagai bidang kesihatan seperti ortopedik, anaesthesiologi, oftalmologi dan farmasi yang membentuk komuniti Medical Mythbusters Malaysia (M3). Tujuan komuniti ini ditubuhkan tidak lain tidak bukan adalah menangkis maklumat perubatan palsu serta memperbetulkan mitos atau fitnah dalam bidang perubatan yang disebarkan menerusi media sosial. Paling penting, komuniti ini juga turut memperjuangkan isu pergerakan anti vaksin yang kian membimbangkan di negara kita.

    Ternyatalah sebenarnya media sosial merupakan punca utama berlakunya penularan fahaman atau gerakan anti vaksin di negara kita. Masyarakat sewajarnya mempunyai ilmu yang mencukupi tentang vaksinasi sebelum mula menyebarkan apa-apa maklumat berkenaan vaksin sebelum pengesahan terhadapnya dibuat oleh ahli perubatan.

    Apakah kesannya?

    Kesannya, masyarakat akan mulai takut dan bimbang akan kepentingan vaksinasi. Ada juga golongan ibu bapa terutamanya yang terpedaya dengan pergerakan anti vaksin di negara kita lalu berkeras tidak mahu memberikan suntikan vaksin kepada anak kecil mereka.

    Baru-baru ini, gempar satu Malaysia apabila bekas penyanyi kumpulan nasyid In-Team, Mohd Suhaimi Bin Saad mendedahkan bahawa beliau tidak percaya akan kepentingan vaksinasi menerusi laman media sosial beliau. Kenyataan ini mengundang pelbagai reaksi yang kebanyakannya negatif daripada netizen. Beliau merupakan antara selebriti terawal di Malaysia yang berani menyuarakan pendapat beliau berkenaan vaksinasi ini.

    Menurut pakar pediatrik terkemuka iaitu Datuk Dr. Musa Mohd Nordin, kanak-kanak yang tidak mengambil vaksin akan membawa risiko bukan sahaja kepada diri sendiri malahan kepada kanak-kanak lain yang belum divaksinasi ataupun yang tidak boleh divaksinasi. Antara golongan kanak-kanak yang tidak boleh divaksinasi adalah kanak-kanak yang mengalami leukimia dan barah, kanak-kanak yang berada di bawah pengambilan steroid dan ubat kanser serta kanak-kanak yang menghadapi HIV atau AIDS. Menurutnya lagi, tidak mengambil vaksin akan menambahkan risiko kewujudan semula penyakit yang sudah hilang dalam tubuh badan seorang kanak-kanak.

    Disebabkan oleh pengaruh media sosial yang kuat dalam penularan pergerakan anti vaksin di negara kita, ramai individu terutamanya ibu bapa telah terpengaruh dan cenderung ke arah fahaman anti vaksin. Ini bakal mendatangkan kesan yang sangat teruk terhadap kesihatan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak. Masyarakat sewajarnya tidak mudah terpedaya dengan fahaman gerakan ini dengan menyiapkan diri dengan ilmu mengenai vaksinasi.

    Konklusinya, media sosial haruslah digunakan untuk tujuan yang baik seperti menyebarkan fakta atau maklumat yang telah diperakui. Media sosial bukanlah satu medium yang boleh digunakan untuk menyebarkan sesuatu fahaman yang bakal memberi implikasi buruk terhadap masyarakat kelak seperti fahaman anti vaksin. Akhir sekali, semua lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa perlu mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk memahami kepentingan vaksinasi terhadap anak agar hidup mereka lebih terjamin sihat dan sejahtera.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Dr. Shelby


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 09/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan