Peningkatan Kes-kes Baharu Asma Kanak-kanak Akibat Pencemaran Lalu Lintas

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Dianggarkan seramai 4 juta kanak-kanak di seluruh dunia mendapat asma setiap tahun kerana menghidu udara yang tercemar dengan nitrogen dioksida, menurut sebuah penyelidikan yang dijalankan oleh penyelidik-penyelidik di Milken Institute School of Public Health (Milken Institute SPH), George Washington University. Kajian tersebut berdasarkan data bermula daripada tahun 2010 hingga 2015, menganggarkan bahawa 64 peratus daripada kes-kes baharu ini berlaku di kawasan bandar.

Kajian itu adalah yang pertama untuk mengukur beban di seluruh dunia berkenaan kes-kes asma kanak-kanak baharu yang dikaitkan dengan nitrogen dioksida, yang berkaitan dengan lalu lintas dengan menggunakan kaedah yang mengambil kira pendedahan yang tinggi terhadap pencemar ini yang berlaku berhampiran jalan raya yang sibuk, kata Susan C. Anenberg, yang merupakan pengarang kanan kajian dan seorang profesor kesihatan alam sekitar dan pekerjaan di Milken Institute SPH.

Menurut beliau lagi, penemuan penyelidikan tersebut menunjukkan bahawa berjuta-juta kes baharu asma pediatrik dapat dicegah di bandar-bandar di seluruh dunia dengan mengurangkan pencemaran udara. Beliau turut menambah bahawa, meningkatkan akses kepada bentuk pengangkutan yang lebih bersih, seperti pengangkutan awam yang berkuasa elektrik dan pergerakan yang aktif dengan berbasikal dan berjalan, bukan sahaja akan menurunkan tahap NO2 tetapi juga mengurangkan kes-kes asma, meningkatkan kecergasan fizikal, dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Penemuan utama dari kajian yang diterbitkan dalam The Lancet Planetary Health:

  • Dianggarkan 4 juta kanak-kanak mengalami asma setiap tahun dari 2010 hingga 2015 kerana pendedahan kepada pencemaran NO2, yang berpunca daripada ekzos kenderaan motor.
  • Dianggarkan 13 peratus daripada kejadian asma pediatrik tahunan di seluruh dunia dikaitkan dengan pencemaran NO2.
  • Di antara 125 buah bandar, NO2 menyumbang 6 peratus (Orlu, Nigeria) kepada 48 peratus (Shanghai, China) daripada kejadian asma kanak-kanak. Sumbangan NO2 melebihi 20 peratus di 92 bandar yang terletak di kedua-dua negara berekonomi maju dan yang sedang pesat membangun.
  • 10 sumbangan teratas NO2 dianggarkan untuk lapan bandar di China (37 hingga 48 peratus daripada asma kanak-kanak) dan untuk Moscow, Rusia dan Seoul, Korea Selatan pada 40 peratus.
  • Masalah ini turut memberi kesan kepada bandar-bandar di Amerika Syarikat: Los Angeles, New York, Chicago, Las Vegas dan Milwaukee adalah lima bandar teratas di A.S. dengan peratusan tertinggi kes-kes asma pediatrik yang dikaitkan dengan udara tercemar.
  • Secara nasional, beban terbesar yang berkaitan dengan pencemaran udara ditemui di China dengan 760,000 kes asma setahun, diikuti oleh India dengan 350,000 kes dan Amerika Syarikat dengan 240,000 kes

Asma adalah penyakit kronik yang menjadikan penghidapnya sukar untuk bernafas dan diakibatkan oleh saluran pernafasan yang meradang. Dianggarkan 235 juta orang di seluruh dunia pada masa ini mempunyai asma, yang boleh menyebabkan berdehit dan juga mengancam nyawa.

Para penyelidik mendapati bahawa secara umumnya, bandar-bandar yang mempunyai kepekatan NO2 yang tinggi juga mempunyai tahap pelepasan gas rumah hijau yang tinggi. Banyak penyelesaian yang bertujuan membersihkan udara tidak hanya akan menghalang kes-kes asma baharu dan masalah kesihatan lain yang serius tetapi ia juga akan mengurangkan pemanasan global.

Para penyelidik menyatakan, penyelidikan tambahan perlu dilakukan untuk mengenal pasti agen penyebab yang lebih rumit dalam pelepasan trafik yang kompleks. Usaha ini, bersama dengan lebih banyak pemantauan pencemaran udara dan kajian epidemiologi yang dijalankan di negara-negara yang mempunyai data yang terhad, akan membantu untuk memperbaiki anggaran kes-kes asma baharu yang berkaitan dengan pelepasan NO2 daripada lalu lintas.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut