backup og meta

Hati-Hati Kalau Kerap Sakit Belakang, Jangan Selalu Ambil Painkiller, Ambil Tahu Risiko Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/09/2021

    Hati-Hati Kalau Kerap Sakit Belakang, Jangan Selalu Ambil Painkiller, Ambil Tahu Risiko Ini

    Sakit di bahagian belakang badan yang anda alami bukanlah satu keadaan kesihatan yang boleh dipandang sebelah mata. Apatah lagi jika ia berlaku secara berterusan dalam tempoh yang agak lama, sekurang-kurangnya 2 minggu. Mengapa? 

    Ini kerana anda berkemungkinan sedang mengalami kesakitan kronik yang mungkin tidak anda sedari.

    Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh American Academy of Pain Medicine, lebih daripada 1.5 bilion individu di seluruh dunia sedang mengalami kesakitan kronik dan ia merupakan penyebab paling biasa bagi ketidakupayaan jangka panjang di Amerika Syarikat yang menjejaskan 100 juta penduduk di sana.

    Jangan terkejut jika anda mungkin merupakan salah seorang individu daripada 1.5 bilion penghidap kesakitan kronik tersebut. Oleh itu, apa yang perlu anda lakukan sekarang? 

    Baca lebih lanjut tentang Tulang / Otot di sini.

    Sakit belakang – Painkiller bukan solusi

    mengenai kesakitan

    Sebelum penyakit ini mula menjadi “teman sejati” hidup anda, adalah elok untuk anda mula bertindak dengan mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Ini tidak cukup dengan sekadar mengambil ubat penahan sakit atau painkiller seperti paracetamol bagi melegakan kesakitan.

    Menurut Dr. C H Tan, timbalan presiden Society of Sports and Exercise Medicine Malaysia (SSEMM), individu yang mengalami kesakitan kronik perlu mengelakkan daripada mengambil terlalu banyak painkiller memandangkan ia pasti mempunyai kesan sampingan terhadap seseorang individu tersebut.

    Menurut beliau, sebarang pengambilan painkiller perlulah diambil dalam tempoh yang pendek dengan dos yang sedikit.

    Jika seseorang individu tersebut memerlukan pengambilan ubat-ubatan seperti painkiller melebihi tempoh tiga bulan, beliau menyarankan agar individu terbabit untuk mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan berkenaan keadaan kesihatan yang mereka alami. 

    Fisioterapi terbukti berkesan mengurangkan kesakitan kronik

    Dr. Chua Siew Kuan yang merupakan seorang ahli fisioterapi mencadangkan agar individu yang mengalami kesakitan kronik untuk menjalani senaman atau terapi fisio di bawah seliaan ahli fisioterapi.

    Ini kerana, sesetengah individu tidak mengetahui bahagian tubuh yang terjejas akibat kesakitan kronik dan melakukan senaman secara salah dengan memberikan penumpuan pada bahagian otot lain yang tidak mengalami kesakitan.

    Melalui bantuan ahli fisioterapi, ia boleh membantu seseorang individu untuk menguatkan otot tertentu yang telah dikenal pasti dengan kaedah senaman yang lebih tepat dan berkesan.

    Ini juga bertepatan dengan hasil kajian meta analisis yang diterbitkan pada bulan Julai 2019 yang menyatakan bahawa, terapi senaman amat disarankan sebagai kaedah rawatan utama bagi pemulihan kesakitan belakang badan yang kronik (chronic lower back pain).

    Kaedah alternatif melalui terapi gabungan

    ubat

    Tidak kesemua kesakitan yang berlaku memerlukan pembedahan sebagai kaedah rawatan pemulihan. Kaedah pemulihan kesakitan kronik lebih mengutamakan prosedur bukan invasif (non-invasive treatment) dan ini boleh dilaksanakan melalui kaedah perubatan Cina yang turut menggabungkan kepakaran daripada ahli fisioterapi.

    Berdasarkan data daripada Yap Chan Kor Pain Integrative Centre, kaedah integratif ini telah berkesan menurunkan kadar kesakitan belakang badan pesakit sebanyak 83% dalam 89 kes. Ia turut menunjukkan kesan positif dalam menurunkan kadar kesakitan di bahagian bahu sebanyak 85%, selain 79% pengurangan kesakitan di bahagian lutut. 

    Kesakitan kronik telah menjadi salah satu isu kesihatan utama global yang turut menjadi kekhuatiran di Malaysia. Ini kerana populasi penduduk semakin menua dan kelaziman keadaan yang berkaitan seperti ketidakmampuan untuk bergerak, gangguan tidur dan keresahan akan terus meningkat. Keadaan-keadaan seperti ini jelas akan meningkatkan beban penjagaan kesihatan awam pada akhirnya. 

    Walau bagaimanapun, isu yang paling penting berkenaan kesakitan kronik adalah, kesannya yang boleh mengehadkan pergerakan dan mengurangkan fleksibiliti, kekuatan dan ketahanan tubuh anda dalam melakukan sesuatu terutamanya tugas-tugas harian anda.

    Ini bukan sahaja menyukarkan aktiviti harian anda malah mungkin akan menyebabkan kesukaran kepada ahli keluarga yang lain untuk membantu dalam pengurusan harian diri anda.

    Oleh itu, dapatkan rawatan sewajarnya dan jangan hanya berdiam diri menahan kesakitan yang mungkin tidak berpenghujung.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan