Obesiti: Adakah Kopi Berpotensi Mengurangkannya

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Adakah kopi benar-benar boleh melawan obesiti? Kumpulan saintis dari University of Nottingham telah mendapati bahawa dengan meminum secawan kopi boleh merangsang ‘brown fat’ atau lemak coklat, iaitu tisu adipose berwarna gelap dengan banyak saluran darah, yang terlibat dalam pengeluaran haba yang cepat dalam haiwan dan bayi yang sedang berhibernasi. Ia mungkin berpotensi menjadi kunci untuk menangani obesiti dan diabetes.

Kajian perintis, yang diterbitkan pada 24 Jun 2019 dalam jurnal Scientific Reports, merupakan salah satu yang pertama dilakukan pada manusia untuk mencari komponen yang boleh memberi kesan langsung pada fungsi ‘brown fat’, bahagian penting tubuh manusia yang memainkan peranan dalam seberapa cepat kita dapat membakar kalori untuk ditukarkan sebagai tenaga.

Fungsi lemak coklat

Tisu adiposa coklat (BAT), juga dikenali sebagai ‘brown fat’, adalah salah satu daripada dua jenis lemak yang terdapat pada manusia dan mamalia lain. Pada mulanya, lemak ini hanya dikaitkan dengan bayi dan mamalia yang berhibernasi. Namun sejak kebelakangan ini, turut ditemui bahawa individu dewasa juga boleh mempunyai lemak coklat. Fungsi utamanya adalah menjana haba badan dengan membakar kalori (berbanding dengan lemak putih, yang merupakan hasil penyimpanan kalori yang berlebihan). Individu dengan indeks jisim badan (BMI) yang rendah mempunyai jumlah lemak coklat yang lebih tinggi.

Profesor Michael Symonds, dari Sekolah Perubatan di University of Nottingham yang mengarahkan kajian itu, berkata lemak coklat berfungsi dengan cara yang berbeza berbanding dengan lemak lain dalam tubuh manusia. Lemak coklat menghasilkan haba dengan membakar gula dan lemak sebagai tindak balas kepada keadaan yang sejuk. Meningkatkan aktiviti lemak coklat akan turut meningkatkan kawalan gula darah serta meningkatkan tahap lipid darah. Selain itu, kalori tambahan yang dibakar oleh lemak coklat turut membantu menurunkan berat badan seseorang individu. Walau bagaimanapun, sehingga kini, tiada siapa yang telah menemui cara yang dapat diterima untuk merangsang aktiviti lemak coklat terhadap manusia.

Menurut beliau, ini adalah kajian pertama yang dijalankan terhadap manusia untuk menunjukkan bahawa sesuatu seperti secawan kopi boleh memberi kesan langsung kepada fungsi lemak coklat kita. Kesan yang berpotensi hasil daripada kajian tersebut adalah cukup besar, kerana obesiti merupakan kebimbangan kesihatan utama bagi masyarakat. Selain itu, kadar penyakit diabetes juga semakin meningkat dan lemak coklat berpotensi menjadi sebahagian daripada penyelesaian dalam menangani masalah-masalah penyakit ini.

Kaedah kajian lemak coklat terhadap obesiti dan diabetes

Pasukan penyelidikan ini bermula dengan satu siri kajian sel stem untuk melihat adakah kafein akan merangsang lemak coklat. Sebaik sahaja mereka mendapati dos yang betul, mereka kemudiannya melaksanakan kajian terhadap manusia untuk melihat sama ada hasilnya adalah sama.

Pasukan penyelidikan menggunakan teknik pengimejan termal, untuk mengesan rizab lemak coklat dalam tubuh manusia. Teknik yang tidak invasif ini membantu pasukan tersebut untuk mencari lemak coklat dan menilai kemampuannya untuk menghasilkan haba.

Menurut Profesor Symonds, hasil daripada kajian mereka sebelum ini, mereka mengetahui bahawa lemak coklat terletak dengan banyak di kawasan leher. Oleh itu, mereka berkemampuan untuk membuat pengesanan ke atas individu sebaik sahaja seseorang itu meminum sesuatu. Ini bagi melihat sekiranya lemak coklat tersebut menjadi semakin panas.

Hasil kajian tersebut adalah positif dan mereka perlu memastikan jika kafein sebagai salah satu bahan dalam kopi yang bertindak sebagai rangsangan atau jika ada komponen lain yang membantu pengaktifan lemak coklat. Pasukan kajian tersebut sedang mencari suplemen kafein untuk menguji sama ada kesannya adalah sama ataupun tidak.

Setelah pasukan penyelidikan tersebut mengesahkan komponen mana yang bertanggungjawab untuk pengaktifan lemak coklat tersebut, ia berpotensi digunakan sebagai sebahagian daripada kaedah pengurusan berat badan atau sebagai sebahagian daripada program kawalan glukosa untuk membantu mencegah diabetes.

Kajian ini masih berada di peringkat awal. Oleh itu, kawal pengambilan sumber kafein anda seperti teh dan kopi untuk memastikan kesejahteraan kesihatan anda. Pengambilan makanan atau minuman secara bersederhana adalah langkah terbaik untuk menjaga kesihatan manusia. Selain boleh mengurangkan kesan kafein, pengambilan kopi atau sumber makanan lain secara bersederhana turut membantu mengurangkan pengambilan gula dalam tubuh.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut