Nota Pengarang: Inilah Masanya Hentikan TB!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Awal Februari lalu, ketika masyarakat Tionghua di negara ini sedang membuat persiapan bagi menyambut perayaan Tahun Baru Cina, saya telah mendapat satu panggilan telefon daripada adik yang berada di Melaka memberitahu mengenai keadaan kesihatan abah yang semakin menggusarkan dan harus dimasukkan ke dalam wad serta-merta. Puncanya adalah Tuberkulosis atau TB.

[BACA: Fakta Mengenai Tuberkulosis]

Saya sebenarnya berasa hairan kerana abah merupakan kakitangan kerajaan yang berkhidmat dengan Kementerian Pertahanan, maka ruang kehidupan dan kerjaya beliau adalah dalam sekitar Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka. Rutin perjalanan harian beliau adalah dari rumah ke pejabat, pejabat ke rumah. Paling tidak pun, 2 hari sekali beliau akan bertemu rakan-rakan askar ‘pencen’ di restoran mamak yang berada hanya sekangkang kera dari luar pintu gerbang utama Kem Terendak dan hanya mengambil masa 10 minit perjalanan berkereta.

Maka persoalan berlegar di benak fikiran saya ketika mendapat tahu yang abah didiagnosis dengan jangkitan TB, meronta-ronta saya ingin bertanya pada orang tua saya, “Macam mana boleh dapat TB? Tak pasti pula ada ‘contact’ dengan mereka yang berasal dari tempat berisiko (luar negara) dan agen pembawa, kalau setakat berulang-alik kerja!”

[BACA: Tuberkulosis: Siapakah yang Berisiko?]

TB ibarat ‘virus zombie’ yang ‘makan’ dari dalam

Tapi melihatkan pipinya yang cengkung, duduknya sedikit membongkok ‘udang’, ketika itu berat badannya hanyalah 35 kilogram, sebak di dada, tidak sampai hati untuk bertanya.

Namun begitu, nasib baik Doktor yang mengendalikan kes abah saya menerangkan bahawa abah mendapat jangkitan TB yang dibawa melalui udara dan sebenarnya sudah bertahun berada dalam badannya, cuma baru kini menunjukkan simptom-simptom kerana abah sudah menjengah usia, sistem pertahanan badan juga sudah semakin defisit.

Setelah dikuarantin 2 minggu di hospital, abah dibenarkan pulang, dan perlu hadir ke hospital mengikut jadual yang ditetapkan setiap minggu bagi mereka memantau keadaan kesihatan abah secara keseluruhannya. Kini, abah sudah semakin sihat, dengan berat badannya bertambah hampir 20kg kepada 55kg. Selera makannya bertambah kerana di samping ubat yang diberi preskripsi oleh pakar perubatan, kami juga memberi supplemen, vitamin dan mineral yang sewajarnya bagi meningkatkan sistem pertahanan badannya.

[BACA: Tuberkulosis: Apakah Rawatannya?]

Jangan tunggu sakit, baru hendak jalani ujian itu-ini!

Apa yang boleh dipelajari menerusi kes abah saya ini adalah, kita harus menjalani ujian kesihatan secara berkala bagi pakar perubatan mengenalpasti kebarangkalian dan simptom-simptom bukan sahaja penyakit TB, malah penyakit lain yang lebih kronik seperti kanser. Jika dikesan dengan lebih awal, ini bermakna  anda akan mempunyai lebih banyak pilihan rawatan mengikut kesesuaian pada tubuh badan sepertimana yang disyorkan oleh pakar perubatan. Malah, peluang anda untuk sembuh adalah lebih cerah serta kos rawatan juga tidak melambung kelangit.

[BACA: Vaksin BCG sebagai Langkah Pencegahan]

Mengapa perlunya sambutan Hari TB Dunia kekal relevan dalam kalendar kesihatan global?

Bercerita mengenai penyakit TB, setiap tahun pada 24 Mac, Hari TB Dunia disambut oleh komuniti kesihatan global bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesan langsung penyakit ini kepada kesihatan, sosial dan ekonomi serta memperkukuhkan usaha bagi memerangi epidemik TB global. Pertama kali diraikan pada tahun 1882, apabila Dr. Robert Koch mengumumkan mengenai penemuan bakteria yang menyebabkan TB, di mana ia merintis jalan untuk diagnosis dan penyembuhan penyakit tersebut.

TB kekal sebagai penyakit berjangkit paling merbahaya dalam dunia sehingga ke hari ini. Setiap hari, lebih kurang 4500 orang kehilangan nyawa dan hampir 30 ribu lagi menderita akibat penyakit ini yang sebenarnya boleh dicegah dan disembuhkan.

[BACA: Mengapa TB masih jadi masalah kesihatan utama global?]

Usaha global dalam memerangi TB telah menyelamatkan lebih kurang 54 juta nyawa semenjak tahun 2000 dengan kadar mortaliti 42 peratus. Bertujuan mempercepatkan respons setiap negara bagi mencapai sasaran berikutnya – Para pemimpin dunia telah berkumpul dan menyatakan komitmen bersama, bagi mengakhiri TB ketika Sidang Mesyuarat Peringkat Tertinggi PBB pada September 2018.

[BACA: Ujian Baru TB Boleh Menyelamatkan Beratus Ribu Kanak-kanak]


Di Malaysia, 26,168 kes baharu dilaporkan pada tahun 2017, meningkat 8 peratus berbanding 24,220 kes pada tahun2015. Manakala kadar kematian TB pada tahun 2015 adalah 6 orang setiap 100 ribu penduduk, yakni meningkat kepada 7 orang bagi 100 ribu penduduk pada tahun 2017.

Berdasarkan Pelan Strategik Kawalan TB Kebangsaan (2016-2020), negara menyasarkan penurunan sebanyak 25 peratua kematian akibat TB menjelang tahun 2020, yang memerlukan perhatian semua pihak untuk menjayakannya.

Pengesanan dan rawatan awal penyakit TB sangat penting bagi mengawal penularan penyakit ini dalam kalangan masyarakat. Pesakit yang memulakan rawatan perlu menghabiskan rawatan sekurang-kurangnya 6 bulan. Pesakit terhenti rawatan boleh merebakkan semula kuman dan pada tahun 2016, terdapat 1,226 kes berulang pesakit yang terhenti rawatan.

Bagi mereka yang mempunyai simptom-simptom seperti batuk berpanjangan melebihi 2 minggu, demam, berpeluh pada waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah adalah diseru menjalani pemeriksaan dengan kadar segera.

Inilah masanya untuk kita bertindak!

Tema Hari TB Dunia 2019 – ‘It’s time / Inilah masanya’ – memberikan isyarat mengenai peri penting untuk kita bertanggungjawab dalam kebersamaan dan bertindak segera sepertimana yang telah dinyatakan oleh para pemimpin global bagi:

  • menambah lebih banyak capaian kepada instrumen pencegahan dan rawatan;
  • membina ketelusan dalam perkongsian data dan kepakaran;
  • memastikan pembiayaan mencukupi dan mampan termasuk bagi tujuan penyelidikan;
  • promosi bagi mengakhiri stigma dan diskriminasi, dan
  • promosi hak sama rata mengikut ekuiti, respons terhadap TB yang lebih mengutamakan hak-hak asasi pesakit.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah melancarkan inisiatif bersama, “Find. Treat. All. #EndTB” dengan Tabung Pembiayaan Global bagi Kerjasama Menghentikan TB, yang bermatlamat merancakkan lagi respons terhadap TB dan memastikan capaian kepada penjagaan kesihatan (untuk rawatan TB) adalah bertepatan dengan objektif keseluruhan WHO iaitu Liputan Kesihatan Universal (untuk semua). Selain itu, objektif tersebut juga menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang dirintis dan dikawalselia oleh PBB.

Tahun ini, WHO menyeru kerajaan, komuniti yang terkesan, organisasi masyarakat sivil, penyedia penjagaan kesihatan dan rakan kerjasama di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa untuk bersatu di bawah slogan “Find. Treat. All. #EndTB” atau “Kenalpasti. Rawat. Semua. #HentikanTB” bagi memastikan tiada siapa yang keciciran dalam agenda penting kesihatan global ini.

Ayuh, inilah masanya untuk bertindak! Inilah masanya bagi mengakhiri TB.

*Maklumat lanjut mengenai Hari TB Dunia 2019

~ Pengarang, Hello Doktor

——

BONUS: 15 Fakta Penting Global Mengenai TB

  • 54 juta nyawa telah diselamatkan di antara tahun 2000-2017. Kematian akibat TB juga merudum sebanyak 33 peratus dalam tempoh sama
  • TB kekal sebagai penyakit berjangkit pembunuh utama dunia dengan kadar kematian tinggi dalam kalangan penghidap HIV dan kematian berkaitan rintangan mikrob
  • Jurang sebanyak 3.5 bilion dolar dengan kekurangan dana sebanyak 1.3 bilion dolar sepatutnya diperuntukkan bagi tujuan kajian TB
  • Lapan negara menjadi penyumbang 66 peratus kepada kes TB global iaitu India, China, Indonesia, Filipina, Pakistan, Nigeria, Bangladesh dan Afrika Selatan. Kadar mortaliti akibat TB juga jatuh pada kadar 42 peratus.
  • Di peringkat global, kejayaan rawatan bagi pesakit yang baru didiagnosis menghidap TB adalah pada kadar 82 peratus pada tahun 2016.
  • Pada tahun 2017, 558 ribu pesakit TB menunjukkan kerintangan terhadap rifampicin (RR-TB), ubat utama yang efektif menentang TB, daripada jumlah tersebut, 82 peratus menunjukkan kerintangan terhadap kepelbagaian ubat TB (MDR-TB)
  • Kejayaan rawatan bagi pesakit TB dengan kerintangan terhadap ubat adalah sangat rendah pada kadar 55 peratus
  • Pada tahun 2017, terdapat 465 ribu kes TB dalam kalangan penghidap HIV, di mana 84 peratus daripadanya menjalani terapi antiretoviral
  • Ubat generasi baru: pada hujung tahun 2017, 68 negara dilapor mula menggunakan bedaquiline dan 42 negara menggunakan delamanid
  • Penyelidikan penawar baru: terdapat 20 jenis ubat, beberapa regim rawatan dan 12 vaksin kini dalam peringkat percubaan klinikal
  • Pembiayaan bagi R&D TB mencapai kemuncak sebanyak 724 juta dolar pada tahun 2016. Ini hanya sekadar 36 peratus daripada sasaran keperluan iaitu 2 bilion dolar setahun
  • Pembiayaan keseluruhan yang diperlukan bagi respons lengkap global terhadap TB bagi negara-negara dengan sumber terhad (LMICs) dianggarkan berjumlah 10.4 bilion dolar pada tahun 2018, tidak termasuk R&D
  • Hanya terdapat 6.9 bilion dolar bagi pencegahan, diagnosis dan rawatan TB pada tahun 2018, dengan jurang pembiayaan sebanyak 3.5 bilion dolar
  • Liputan Kesihatan Universal: terdapat 30 negara disenaraikan berisiko tinggi perlu meningkatkan liputan perkhidmatan kesihatan dan mengurangkan kadar perbelanjaan kemudaratan, sejajar dengan objektif Liputan Kesihatan Universal WHO, di mana ketika ini pesakit TB dan waris mereka menanggung beban tinggi
  • Banyak kes baru TB dilaporkan adalah berkaitan kekurangan zat dan nutrien, jangkitan HIV, merokok, diabetes dan penggunaan alkohol

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut