Nota Pengarang: Bumi Sihat + Masyarakat Sejahtera + Ekonomi Progresif = Formula Terbaik Dunia

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Bumi yang sihat bergerak seiring ekonomi yang progresif

Nota Pengarang kali ini hadir dengan pendekatan editorial yang berbeza, namun masih menyimpan roh dan semangat sama demi memastikan rakyat Malaysia mendapat capaian kepada informasi berkaitan kesihatan dan gaya hidup sihat agar negara kita menjadi sebuah watan yang sihat, sejahtera, bahagia dan produktif.

Bercakap mengenai produktiviti sudah semestinya ia berkait rapat dengan ekonomi. Bersempena Sidang Kemuncak Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia 2019, yang bakal berlangsung di kota ikonik, Davos pada 22 hingga 25 Januari ini, tumpuan nota kali ini adalah kepada bagaimana ekonomi di masa hadapan bukan sahaja memainkan peranan sebagai sistem nilai malah akan diukur bersama dengan petunjuk kelestarian alam sekitar yang sememangnya memberi lebih banyak manfaat kepada kemanusiaan seperti kesihatan, kebahagiaan, kesejahteraan dan kesaksamaan yang ketika ini masih belum dicerap dengan lebih tepat dalam model ekonomi yang hampir keseluruhannya berpaksikan komersial dan ‘nilai pasaran’ buat masa kini.

Kredit Imej: Forum Ekonomi Dunia

Kami menyifatkan bahawa kejayaan sesebuah ekonomi haruslah seiring dengan masyarakat yang bahagia dan sejahtera. Masyarakat yang bahagia dan sejahtera haruslah mempunyai tahap kesihatan yang baik, mempunyai status ekonomi yang mampu dimobilisasi berdasarkan usaha dan peluang mereka serta mendapat layanan yang saksama dalam peluang ekonomi, sosial, pendidikan, kepercayaan, politik dan banyak lagi. Mengapa kami memilih kelestarian alam sekitar sebagai ‘game changer’, ‘leap-frogging’  dan ‘the catalyst’ kerana alam sekitar atau bumi ini telah sekian lama di sini sebelum wujudnya sistem manusia, ketamadunan, era ekonomi, konflik, krisis, peperangan, keamanan dan banyak lagi catatan penting lipatan masa menjadi sejarah dan pedoman dunia.

Bumi kita menjadi saksi mata kepada semua ini. Selain itu, di sebalik perbezaan pendapat dan ideologi di antara masyarakat dunia, satu perkara yang menjadi persefahaman semua — kita tuai hasil bumi, kita kaut sumbernya yang terhad demi kelangsungan hidup atas nama ekonomi. Tidak kita sedari, selama ini, bumi kita telah menjadi kanvas putih untuk kita corakkan (catat) peristiwa penting dalam hidup kita; bumi telah menjadi gudang pengedaran bahan mentah dan komoditi untuk kita menjadi tuan atas tanah ini; dan kita lupa selama ini, bumi telah menjadi penghubung dan pengilham kepada kita untuk berfikir di luar kotak (kreatif dan inovatif). Sudah tiba masanya kita menjadikan bumi sebagai elemen penting dalam menentukan sistem nilai dan ekonomi kita kerana walau apa pun yang berlaku, bumi tetap di sini biar baik atau buruk ia dijaga dan kelak akan diwarisi oleh generasi akan datang dengan penuh pengharapan; masih adakah yang tersisa untuk diangkat sebagai wadah bagi meneruskan perjalanan kelangsungan umat manusia.

Kita harus bersedia dengan segala jawapan dengan pendekatan kebersamaan bagi menangani persoalan-persoalan yang timbul akibat konfrontasi dengan ketamadunan dunia yang kita miliki hari ini. Jika kita terus dahagakan pembangunan dan mengabaikan segala petanda yang semakin jelas kelihatan mengenai perubahan iklim, penyusutan alam sekitar dan kepupusan kepelbagaian biologi akan mengakibatkan ekonomi dunia akan hancur dengan sendirinya. Kita perlu menukar mentaliti ini — dengan menyelamatkan bumi, kita sedang merencatkan pembangunan? Itu pemikiran jumud dan tamak haloba sebenarnya.

Hakikatnya dengan terus melakukan kerosakan di atas muka bumi ini atas nama pembangunan bukan hanya membunuh ekonomi, malah mengancam kemandirian makhluk bernyawa dan umat manusia khususnya.

Penemuan saintifik mengenai kerosakan bumi diterima secara menyeluruh dan implikasi negatifnya ke atas ekonomi bagaikan tidak dapat disembunyikan lagi. Sebenarnya, sejarah sudah lama memberikan kita petanda mengenai apa yang berlaku hari ini. Semasa era Perang Dingin, apabila penasihat ekonomi memberitahu Presiden Eisenhower mengenai kebarangkalian kesan perang nuklear ke atas nilai dolar Amerika Syarikat, beliau secara ringkas berkata, “Jika perang nuklear berlaku, kita tiada masa untuk meningkatkan nilai dolar (bina semula ekonomi), kerana kita akan sibuk berebut sumber makanan.”

Walaupun perubahan iklim telah pun berlaku sedikit demi sedikit sekian lamanya, namun secara geografi, perubahan iklim bersifat kejam kerana kemusnahan yang berlaku adalah dalam sekelip mata. Sepertimana mustahaknya kemajuan ekonomi, realitinya menyakitkan sepertimana Eisenhower, jika kita tidak mempunyai pandangan ke hadapan mengenai krisis bakal berlaku, semestinya kelak kita tidak akan memikirkan mengenai ekonomi tapi hanya kelangsungan hidup.

Persoalan utama yang bermain di minda setiap daripada kita adalah bagaimana kita dapat menyelamatkan bumi dan ekonomi dunia dengan mengambilkira krisis di antara generasi yang panjang terdahulu sambil memikirkan semula (rethink) insentif institusi utama dunia yang bersifat jangka pendek atau sementara — di mana sektor korporat dan kerajaan kebanyakan berfungsi dengan bermatlamatkan keuntungan dari suku ke suku tahun dan dari keputusan menang pilihanraya ke pilihanraya berikutnya. Begitu juga keresahan rakyat mengenai kehidupan dan mata pencarian mereka yang selama ini sudah menjadi rutin biasa. Adakah dengan penerimaan model baru ekonomi akan membuatkan pemegang-pemegang taruh menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dan sekaligus berjaya memanfaatkan peluang-peluang dan insentif dalam model baru ekonomi.

Sejarah membuktikan betapa perkhidmatan bersifat konvensional seperti teksi dan kereta sewa menghadapi kesukaran untuk bersaing dalam era digital apabila trend segalanya mudah dan di hujung jari menjadi pilihan pengguna, maka tidak hairanlah syarikat-syarikat pemula atau ‘startups’ yang menjadi ‘disruptors’ ini mencatatkan pertumbuhan luar biasa kerana hakikatnya, model perniagaan dan ekonomi mereka adalah berdasarkan penyelesaian masalah pengguna dengan lebih efisien, mudah, selamat dan menjimatkan masa dan wang.

Bagaimana kita harus memberi insentif kepada kepimpinan untuk membuat keputusan jangka panjang yang memberikan manfaat kepada umat manusia sejagat? Bagaimana kita ingin mendidik dan menggerakkan masyarakat dunia untuk bersama dalam perjuangan ini? Dan bagaimana kita dapat memikirkan semula ekonomi dunia agar peluang ke arah kelestarian bukan hanya menjadi kenyataan malah bersifat adil, stabil dan menyeluruh kepada masyarakat dunia?

Kredit Imej: Forum Ekonomi Dunia 

Secara ringkasnya, bagaimana kita dapat menjamin masa depan kita dan bumi tercinta ini?

Tiga langkah utama ke arah matlamat tersebut:

1) Membangunkan petunjuk yang lebih bersifat holistik untuk kemajuan ekonomi dengan pemboleh ubah utamanya adalah kesejahteraan umat manusia dan kelestarian alam sekitar.

2) Memberi insentif kepada semua pemain ekonomi bagi mengolah arah inovasi dan memberi pendekatan arus perdana terhadap keperluan transisi alam sekitar yang sihat sebagai tunjang model perniagaan mereka.

3) Kepimpinan yang pintar dan cakna dengan berpandangan jauh mengenai kehidupan yang lebih harmoni berinspirasikan alam sekitar dan mengilhamkan komitmen bersama untuk mencapai matlamat di atas.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mempunyai keterbatasan dalam mengukur kesejahteraan umat manusia dan ini diperakui oleh para pemikir ekonomi dunia. Keterbatasan KDNK adalah berkait rapat dengan kurangnya petunjuk alam sekitar yang memberikan banyak manfaat kepada kesihatan manusia, keselamatan makanan dan sumber air bersih serta ekonomi secara keseluruhannya. Tambahan pula, ekosistem yang sihat dapat menjana perkhidmatan yang memberi nilai ekonomi yang sangat signifikan kepada segenap masyarakat.

Kredit Video: Forum Ekonomi Dunia

Sebagai contoh, lebih daripada tiga perempat pengeluar sumber makanan dunia bergantung kepada serangga dan haiwan bagi proses pendebungaan. Dianggarkan 5-8 peratus pengeluaran sumber makanan, dengan nilai pasaran tahunan di antara 235 dan 577 bilion dolar adalah disebabkan oleh proses pendebungaan secara semulajadi. Walau bagaimanapun, agen pendebungaan kini berada dalam ancaman akibat kemusnahan habitat atas nama pembangunan dan bakal memberi kesan langsung ke atas ekonomi dunia.

Selain itu, dalam sesetengah kes pembangunan ekonomi adalah dengan menebus guna aset semulajadi yang sememangnya membawa lebih banyak kesan negatif, namun seakan-akan dihalalkan oleh pihak berkuasa kerana melihatkan kepada potensi penciptaan aktiviti ekonomi yang sangat bernilai dan memberi peluang pekerjaan/perniagaan kepada rakyat. Contohnya, tebus guna hutan secara komersial dengan aktiviti pembalakan dan sekaligus pembersihan tanah untuk tanaman sumber makanan serta komoditi lain. 

Kredit Imej: Forum Ekonomi Dunia

Natijahnya, berdasarkan cerapan kemajuan ekonomi masa kini, dengan mengambil contoh aktiviti pembalakan, bukan sahaja bersifat tidak adil secara sosial, ketidak samarataan gender turut berlaku, malah memberi kesan buruk kepada orang asal dan masyarakat setempat. Bukan itu sahaja, malah memberikan kesan ilusi bahawa ekonomi semakin bagus, namun hakikatnya hutan semakin berkurangan kerana kita sibuk merobeknya demi sumber yang terhad.

Tambahan pula, saiz keseluruhan hutan sudah semakin berkurangan dan kritikal seperti lembangan Amazon, di mana ia memainkan peranan sebagai penyerap karbon dan paru-paru terbesar dunia dengan membekalkan oksigen kepada hampir separuh daripada muka bumi ini apabila lot-lot tanah ditukar status daripada tanah rizab semulajadi kepada tanah tebus guna pertanian yang bukan sahaja mengurangkan saiz hutan, malah turut mencemar alam sekitar dan sungai akibat baja dan racun serangga. Malah, telah mengancam habitat haiwan liar yang sedia ada semakin pupus.

Kita harus mengambilkira dan mengikitiraf potensi kemajuan ekonomi yang terhasil berdasarkan model eko-inovasi, malah terbukti keberkesanannya dalam memelihara alam sekitar dan menjaga kesejahteraan umat manusia.

Berdasarkan laporan oleh Suruhanjaya Perniagaan dan Pembangunan Mampan 2017, dengan mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) yang disasarkan oleh PBB, membuka peluang pasaran baru bernilai 12 trilion dolar dalam empat sektor ekonomi utama; makanan dan agrikultur, perbandaran, tenaga dan bahan pembuatan serta kesihatan dan gaya hidup sihat. Sektor-sektor tersebut mewakili lebih kurang 60 peratus daripada ekonomi sedia ada — sekaligus memberikan petunjuk mengenai peluang cerah dalam mencipta solusi dan perkhidmatan bersifat mesra alam sekitar, kreatif dan inovatif yang sudah pastinya akan menggalakkan eksplorasi teknologi baru seperti  kepintaran buatan (AI), penggunaan dataraya (big data), Internet-of-Things (IoT), kejituan perubatan (precision medicine) dan banyak lagi. 

Kredit Video: Forum Ekonomi Dunia

Namun begitu, arah yang ingin dituju ini sudah pasti tidak mudah dan ada kos yang perlu dibayar. Dengan merealisasikan perjanjian global baru mengenai kelestarian alam sekitar dan peralihan kepada ekonomi yang lebih mampan, memerlukan kita menukar strategi pembangunan sedia ada dengan idea-idea bernas yang akan menjadi asas pembangunan infrastruktur baru untuk masyarakat. Ini memerlukan kepimpinan berpandangan jauh, lebih banyak penciptaan inovasi mampan, mengimbangi implikasi jangka pendek terutamanya kepada mereka yang menerima manfaat terbesar dalam model ekonomi masa kini.

Kredit Imej: Forum Ekonomi Dunia

Walaupun begitu, peralihan ini akan berlaku dengan segalanya baru dan berbeza serta tidak pernah terbayangkan berbanding sebelum ini. Ini sepertimana ketika peralihan era pertanian ke era perindustrian atau dari era perindustrian ke era digital, ia menuntut perubahan besar-besaran dari segi pemikiran dan bina semula masyarakat agar dapat menyesuaikan diri di era baru. Semoga kita diberikan kekuatan dan petunjuk bagi menghadapi cabaran ini.

Selain daripada membiacarakan mengenai model ekonomi baru berdasarkan kelestarian alam sekitar, Forum Ekonomi Dunia kali ini di bawah tajuk utama perbincangan: Pandangan Strategik bagi Sektor Kesihatan turut membawa topik mengenai impak perubahan iklim terhadap kesihatan, keselamatan makanan sebagai keutamaan bagi sektor kesihatan awam dan tidak kurang juga topik mengenai ekonomi kesihatan turut bakal dibincangkan seperti adakah kawalan harga ubat-ubatan di Amerika Syarikat akan mempengaruhi pasaran dunia? Penyatuan bidang kepakaran dan pengabungan korporat industri perubatan dan farmaseutikal secara besar-besaran turut bakal dikupas dalam sidang panel industri, selain daripada perbincangan mengenai transformasi digital bagi sektor kesihatan awam, sejauh mana kemajuan sudah dicapai.

Menariknya, Duke of Cambridge, Putera William juga akan menyertai Davos 2019, di mana baginda akan bercakap mengenai Kesihatan Mental di Tempat Kerja, yang merupakan inisiatif baginda dalam meningkatkan tahap kesejahteraan mental dan emosi di tempat kerja. Menangani cabaran kesihatan mental, di mana impaknya memberi kesan signifikan ke atas kehidupan mereka yang terkesan, tidak kurang juga kesannya ke atas ekonomi, menjadi antara agenda penting pada perjumpaan kali ini.

Kami di Hello Doktor akan mengikuti secara rapat perbincangan terutama yang melibatkan sektor kesihatan awam dan memastikan sebarang diskusi, perdebatan dan buah fikiran bernas yang wajar mendapat perhatian dan liputan, agar bersama kita dapat meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan dan sekaligus menyumbang terhadap peningkatan kualiti kehidupan di seluruh dunia

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

~ Pengarang, Hello Doktor.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut