backup og meta

Neuron Otak yang Mengawal Selera Makan Secara Semula Jadi

Fakta Disemak oleh Dr. Shelby


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 10/07/2020

    Neuron Otak yang Mengawal Selera Makan Secara Semula Jadi

    Fungsi makanan bukan sahaja untuk menghilangkan rasa lapar, bahkan ia diperlukan untuk sumber survival kehidupan. Pemakanan dengan jumlah yang disarankan bukan sahaja memberi kesan yang baik terhadap kesihatan, malah mencegah daripada sebarang komplikasi kesihatan serius akibat daripada tabiat pemakanan yang buruk. Berdasarkan penemuan kajian yang baharu, pengambilan jumlah makanan mengikut keperluan boleh diusahakan berpandukan rangsangan neuron dalam otak. Satu kajian yang dijalankan ke atas tikus menunjukkan kewujudan sel-sel otak yang menghalang dorongan atau impuls haiwan untuk makan. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Neuron menunjukkan sel-sel ini memainkan peranan dalam mengawal selia memori, selain menjadi sebahagian litar bahagian otak yang lebih besar yang menggalakkan pemakanan secara seimbang.

    Sebelum ini, para penyelidik berfikir bahawa makan sebagai satu proses yang bersifat refleks dan automatik. Haiwan menghidu atau melihat snek yang menarik dan tanpa ragu-ragu, memakan snek tersebut. Walau bagaimanapun, gambaran yang semakin terperinci kini muncul di mana proses mental memaklumkan keputusan haiwan untuk sama ada mengambil atau menolak makanan tersebut. Bagi seseorang manusia, kemungkinan mereka boleh menangguhkan selera makan berpandukan pemikiran, niat atau monolog dalaman sendiri yang boleh dikawal. Walaupun mamalia lain mungkin tidak mempunyai monolog dalaman yang sama, terdapat sebab untuk mengesyaki bahawa tabiat makan mereka turut melibatkan kognisi yang kompleks. Sebagai contoh, penyelidikan telah menunjukkan bahawa kecacatan yang berlaku pada hippocampus – kawasan otak yang terlibat dalam ingatan – dapat mengubah tingkah laku makan, menunjukkan bahawa pengalaman masa lalu mempengaruhi tarikan haiwan terhadap makanan.

    Berdasarkan kajian lepas tersebut, seorang penyelidik, Estefania Azevedo bersama-sama dengan rakan penyelidik yang lain telah mengenal pasti sekumpulan sel hippocampal yang dikenali sebagai neuron hD2R yang menjadi aktif apabila tikus diberi makan. Pasukan penyelidik juga menemui bahawa apabila neuron ini dirangsang, tikus makan dengan jumlah yang lebih sedikit; dan apabila neuron tersebut dihentikan, tikus makan dengan lebih banyak. Secara ringkasnya, neuron hD2R memberi respon terhadap kehadiran makanan dengan mencegah haiwan daripada memakan makanan tersebut.

    Azevedo menyatakan, walaupun haiwan biasanya mendapat manfaat daripada makan snek yang berada di hadapan mereka, dalam beberapa keadaan, ia berguna untuk mengekalkan kekangan dan halangan makan. Sebagai contoh, sekiranya haiwan baru sahaja habis makan, mencari sumber makanan lain adalah berisiko dan tidak perlu kepada mereka, kerana kelakuan mencari makanan akan mendedahkan mereka kepada pemangsa. Neuron yang baru ditemui ini dilihat membantu haiwan untuk berhenti mencari makanan apabila ianya tidak lagi menjadi kewajipan terhadap mereka. Kata Azevedo lagi, sel-sel ini mengekalkan haiwan daripada terlebih makan dan memperlihatkan bahawa makan dengan banyak akan kurang memberi manfaat kepada mereka, justeru menyesuaikan hubungan haiwan dengan makanan.

    Eksperimen selanjutnya menunjukkan bahawa neuron hD2R menerima input dari korteks entorhinal, yang memproses maklumat deria, dan menghantar output ke septum, yang terlibat dalam pemberian makanan. Cara pertama untuk mengenal pasti litar otak ini, para penyelidik menyimpulkan bahawa neuron berfungsi sebagai pusat pemeriksaan di antara penginderaan makanan dan kelakuan makan makanan tersebut. Bersama dengan analisis litar neural lain, kajian ini menunjukkan bahawa otak mempunyai mekanisme yang rumit untuk penyesuaian selera makan yang baik. Manakala, beberapa sistem membantu haiwan untuk mengingat dan mencari makanan, yang lain pula menghalang pengambilan makanan.

    Menurut Azevedo lagi, kajian mereka tersebut menunjukkan bahagian otak terlibat dalam pemprosesan kognitif dan pembentukan memori memberi kesan terhadap kelakuan pemakanan.  Oleh itu, adalah tidak mustahil jika manusia mampu mempelajari untuk mengubah hubungan mereka terhadap makanan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Dr. Shelby


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 10/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan