Nampak Makhluk Halus! Realiti, Ilusi Atau Halusinasi? (Bahagian 2)

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Jika dilihat pada konteks sains, tiada bukti yang kukuh menjadi pegangan para saintis bagi menerangkan fenomena paranormal dalam kalangan mereka yang mengalaminya. Namun, terdapat banyak teori dan kes yang seterusnya mendorong kepada penyelesaian terhadap fenomena tersebut seperti kes keracunan karbon monoksida pada artikel bahagian 1. Ikuti artikel ini untuk mengetahui penerangan lain berkenaan dengan kehadiran makhluk halus menurut sains.

Nota Penafian: Artikel ini adalah bertujuan untuk memberikan konteks penerangan dari sudut pandangan ahli sains yang terkemuka tentang kewujudan makhluk halus. Ia tidak semestinya mewakili kepercayaan penulis dan tidak bertujuan untuk menafikan mana-mana kepercayaan berkaitan dengan subjek yang diperbincangkan. 

Ditindih makhluk halus

Jam menunjukkan pukul 2 pagi. Ahmad terjaga daripada tidurnya namun kaki dan tangannya longlai. “Letih agaknya”, dia bermonolog sendirian. Namun beberapa saat kemudian, dadanya terasa sakit dan sesak, kelihatan lembaga yang menakutkan sedang merangkak ke arahnya dari paras pinggang menghimpit dada. Ahmad cuba menjerit namun suaranya tidak terkeluar. Lantas dipejamkan matanya kuat-kuat agar mimpi ngeri tersebut berakhir dengan cepat. Apabila matanya dibuka semula, tiada lembaga tersebut, kaki dan tangannya boleh bergerak semula dan dia duduk termenung memikirkan apa yang menimpanya sebentar tadi.

Ini merupakan contoh fenomena yang lebih dikenali sebagai “kena tindih”. Ia merupakan perkara paranormal yang sering berlaku dalam tempoh beberapa saat atau minit. Jika anda merupakan salah seorang individu yang pernah mengalami keadaan tersebut, usah risau, bilik anda tidak berhantu. Anda cuma mengalami kelumpuhan tidur. Ketika fasa tidur rapid eye movement (REM), otak merembeskan hormon glycine dan GABA menyebabkan otot menjadi lumpuh. Ini bagi mengelakkan anda daripada melakukan perkara yang dimimpikan. Namun bagi sesetengah individu, mereka terbangun sewaktu otak masih lagi merembeskan hormon ini. Kesannya, mereka akan menjadi panik dan otak mula memberikan bayangan makhluk halus bagi memberikan justifikasi terhadap keaktifan amigdala. Usah risau, ia akan kembali kepada normal dalam beberapa saat atau minit.

Kepercayaan dan kebolehsaranan (suggestibility)

Menurut Profesor Psikologi Universiti London, Christopher French, faktor psikologi terkuat dalam mempengaruhi kecenderungan individu untuk mengalami fenomena paranormal adalah konteks dan kepercayaan individu tersebut. Otak boleh dipengaruhi dengan saranan yang menjadi tunjang kepada kepercayaan individu. Jika itu yang mereka jangkakan, maka itulah yang akan mereka saksikan. Kajian telah menunjukkan mereka yang diberitahu bahawa sesuatu kawasan itu berhantu akan mengalami keadaan seperti seram sejuk, perubahan suhu di sekeliling dan rasa diperhatikan. Kumpulan yang tidak diberitahu perihal kawasan tersebut tidak mengalami perkara yang sama.

Faktor lain yang boleh mempengaruhi kebarangkalian untuk mengalami fenomena paranormal ialah kebolehsaranan. Pada tahun 2014, Goldsmiths telah menjalankan kajian menggunakan video psikik yang memaparkan aksi pembengkokan kunci besi menggunakan kuasa minda. Pada satu masa, seorang “peserta” yang sebenarnya pengkaji akan menyertai subjek lain dan dia akan memberitahu dengan kuat bahawa kunci itu menjadi bengkok. Subjek akan lebih cenderung untuk melaporkan bahawa kunci tersebut bengkok berbanding dengan subjek yang tidak dipasangkan dengan pengkaji. Kajian ini menunjukkan penglibatan idea individu lain boleh mempengaruhi memori atau penglihatan subjek. Jika mereka mengatakan bahawa mereka ternampak hantu, perkara itu boleh mempengaruhi individu lain untuk mengatakan bahawa mereka turut menyaksikan fenomena tersebut.

Konklusi

Fenomena paranormal dianggap sebagai perkara yang tidak diketahui puncanya dan tiada sebab yang definitif boleh diusulkan bagi menerangkan kecenderungan mengalami fenomena tersebut. Jika anda percaya kepada kewujudannya, anda akan terdorong untuk merasainya.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut