Nampak Makhluk Halus! Realiti, Ilusi Atau Halusinasi? (Bahagian 1)

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Ini adalah merupakan kategori hangat dalam industri perfileman tempatan dan antarabangsa. Setiap bangsa mempunyai penerangan berbeza berkenaan dengan rupa dan karakter makhluk halus mengikut kepercayaan masing-masing. Namun, adakah ia benar-benar wujud atau pun cuma sekadar ilusi atau halusinasi? Ikuti artikel ini untuk penerangan selanjutnya.

Nota Penafian: Artikel ini adalah bertujuan untuk memberikan konteks penerangan dari sudut pandangan ahli sains yang terkemuka tentang kewujudan makhluk halus. Ia tidak semestinya mewakili kepercayaan penulis dan tidak bertujuan untuk menafikan mana-mana kepercayaan berkaitan dengan subjek yang diperbincangkan. 

Gelombang elektromagnet yang luar biasa

Michael Persinger adalah merupakan ahli sains neurologi yang sangat popular dalam menerangkan teori saintifik di sebalik kewujudan makhluk halus. Beliau telah mencipta peranti yang dipanggil sebagai Koren Helmet bagi mengkaji kesan rangsangan elektromagnet terhadap penampakannya. Helmet ini akan mengeluarkan gelombang elektromagnetik yang lemah bagi merangsang lobus temporal otak subjek kajian. Hasilnya? Subjek yang memakai helmet tersebut mula merasai kehadiran entiti lain di dalam bilik yang mereka duduki selari dengan aktiviti lobus temporal mereka yang kelihatan tidak normal. Melalui dapatan itu, Persinger telah membuat spekulasi bahawa gangguan aktiviti pada lobus tersebut boleh menyebabkan individu mengalami halusinasi visual, justeru penampakan makhluk halus.

Protokol kajian yang telah dijalankan oleh Persinger telah mendapat kritikan hangat oleh ahli akademik yang lain. Mereka menganggap bahawa kecenderungan untuk seseorang individu mengesan kehadiran makhluk halus bergantung kepada kebolehsaranan (suggestibility). Namun begitu, kajian yang dijalankan pada tahun 2002 yang melibatkan 678 individu di Hampton Court Palace telah membuktikan kesahihan spekulasi Persinger. Kawasan yang sering dikaitkan dengan aktiviti paranormal tersebut mempunyai gelombang elektromagnetik yang luar biasa. Persoalannya di sini, adakah kawasan tersebut memang pada asalnya memiliki gelombang elektromagnetik yang luar biasa menyebabkan penampakan makhluk halus? Ataupun kehadiran makhluk halus yang menyebabkan kewujudan gangguan gelombang tersebut?

Keracunan karbon monoksida

Pada tahun 1921, Dr W.H. Wilmer telah menerbitkan jurnal berkenaan dengan sebuah keluarga yang melalui peristiwa paranormal selepas mereka berpindah masuk ke dalam rumah yang baru dibeli oleh mereka. Menurut keluarga tersebut, pada waktu siang mereka sering terdengar bunyi seakan-akan perabot mereka bergerak sendiri. Pada waktu malam pula, mereka merasa seperti diperhatikan oleh entiti yang tidak diketahui. Kadang kala mereka mengalami keadaan seperti ditindih ketika tidur oleh sesuatu yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Akibatnya mereka tidak mendapat rehat yang cukup dan tidur mereka sering terganggu dek fenomena aneh tersebut.

Pemeriksaan yang dilakukan terhadap rumah mereka telah mendapati bahawa tanur (ketuhar berukuran besar) di dalam rumah tersebut telah rosak dan mengeluarkan gas karbon monoksida. Gas tersebut memenuhi ruang-ruang di dalam rumah menyebabkan seluruh keluarga mengalami simptom halusinasi aural dan visual! Selepas mereka dirawat dan tanur tersebut telah diperbaiki, mereka hidup di dalam rumah tersebut dengan aman tanpa sebarang gangguan. 

Perkara yang sama berlaku pada tahun 2005 apabila seorang wanita panik kerana ternampak makhluk halus sewaktu dia sedang mandi. Apabila diperiksa dengan teliti, rupa-rupanya pemanas air mandi tersebut tidak dipasang dengan betul menyebabkan rumahnya dipenuhi dengan gas karbon monoksida. Melalui dua kes tersebut, jelas menunjukkan bahawa keracunan gas karbon monoksida boleh mempengaruhi kecenderungan seseorang untuk mendapat halusinasi. Pemeriksaan secara teliti boleh menyelamatkan nyawa, kerana lambat-laun, kesan daripada keracunan gas tersebut boleh membawa maut.

Infrabunyi

Pada tahun 1998, Vic Tandy, seorang jurutera yang diupah oleh syarikat pembekalan peralatan perubatan sedang bekerja bersama dengan tiga orang rakannya yang lain. Tempat mereka bekerja mempunyai reputasi sebagai salah satu hotspot aktiviti paranormal namun Vic tidak mempedulikan gosip itu. Sedang mereka bekerja, Vic merasakan sesuatu yang tidak kena pada makmal tersebut. Kadang kala dia berasa murung, resah, sejuk dan pada satu masanya, rakannya merasakan kehadiran Vic di sebelahnya walaupun ketika itu, Vic berada jauh daripadanya. Namun, disebabkan sibuk bekerja, mereka tidak mempedulikan perasaan tersebut.

Pada satu malam, Vic kerja bersendirian. Dia merasakan kesejukan yang amat walaupun pada saat tersebut, dia berpeluh-peluh. Jantungnya berdebar-debar tatkala terlihat seseorang sedang memerhatikannya dengan menggunakan penglihatan periferal. Namun apabila ditoleh, tiada siapa di situ. Vic merasa kelesuan lalu dia beransur pulang. Pada keesokan harinya, Vic dan rakan-rakannya mula sedar bahawa mereka terdedah kepada gelombang infrabunyi yang dikeluarkan oleh kipas yang terdapat pada bilik tersebut.

Tiada siapa yang menyangka bahawa halusinasi atau ilusi boleh disebabkan oleh gelombang infrabunyi. Ia merupakan keadaan di mana gelombang bunyi berada pada kadar kekerapan di bawah 20 Hz. Pada tahun 1995, Institut Perubatan Persekitaran telah mengeluarkan penyataan berkenaan dengan fenomena halusinasi kesan daripada gelombang infrabunyi. Apa-apa peranti yang mengeluarkan kadar kekerapan getaran yang rendah boleh menyebabkan kesan fisiologi dan psikologi yang negatif seperti serangan panik, jantung laju, darah tinggi dan halusinasi. 

Konklusi

Terdapat banyak lagi punca dari sudut pandang perubatan berkenaan dengan mengapa anda mengalami situasi paranormal. Faktor-faktor lain akan dihuraikan pada artikel yang seterusnya. Buat masa sekarang, jika anda ternampak makhluk halus, pergilah berjumpa dengan doktor kerana dikhuatiri masalah tersebut bersifat organik. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut