backup og meta

Minuman Tenaga Tinggi Kafein, Bukan untuk Remaja

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 30/06/2020

    Minuman Tenaga Tinggi Kafein, Bukan untuk Remaja

    Laporan pada tahun 2018 mendapati bahawa lebih daripada 40 peratus remaja Amerika Syarikat telah mengambil minuman tenaga dalam tempoh tiga bulan lepas. Kaji selidik yang lain pula menemui bahawa 28 peratus remaja di Kesatuan Eropah telah mengambil minuman jenis ini dalam 3 hari sebelumnya.

    Populariti pengambilan minuman ini sangat berbeza dengan cadangan dan saranan kumpulan seperti American Academy of Pediatrics dan American College of Sports Medicine, yang mengatakan bahawa kumpulan remaja atau belia harus mengelakkan pengambilan produk ini secara sepenuhnya. Cadangan ini berdasarkan kebimbangan mengenai masalah kesihatan yang boleh berlaku selepas pengambilan minuman jenis ini, termasuk kekejangan, kecelaruan, kenaikan denyutan jantung, strok, dan juga kematian secara tiba-tiba walaupun ianya jarang berlaku. Laporan oleh kerajaan Amerika Syarikat mendapati bahawa bermula daripada tahun  2007 hingga 2011, jumlah individu yang dimasukkan ke jabatan kecemasan yang melibatkan air tenaga adalah lebih dari dua kali ganda, yang melibatkan hampir 21, 000 individu.

    Kebelakangan ini, negara-negara seperti United Kingdom dan Norway telah mempertimbangkan untuk melarang jualan air tenaga kepada golongan muda, sementara Lithuania dan Latvia mempunyai larangan aktif bagi penjualannya. Di Amerika Syarikat, penggubal undang-undang di Maryland, Illinois, dan Indiana selain Connecticut telah memperkenalkan rang undang-undang, walaupun tidak ada yang ditandatangani. Rang undang-undang South Carolina untuk mengharamkan penjualan minuman tenaga kepada kanak-kanak di bawah usia 18 tahun dan untuk mendenda mereka yang ditangkap menjual minuman tenaga kepada kanak-kanak bawah umur, kini sedang menunggu sebelum diluluskan oleh jawatankuasa urusan perubatan penuh di negeri itu. Rang undang-undang tersebut turut disokong oleh ibu bapa kepada seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang meninggal dunia akibat serangan jantung yang disebabkan pengambilan kafein berlebihan.

    Faktor kepopularan minuman tenaga

    Sementara status pengawalseliaan minuman tenaga terus diperdebatkan, semakin banyak pengguna dan penyokong kesihatan awam yang bertanyakan mengapa dan bagaimana produk yang dipenuhi dengan kafein dan bahan perangsang lain menjadi sangat popular dalam kalangan remaja. Alasannya adalah kerana campuran peraturan yang lemah, penggunaan kafein sebagai peningkat prestasi sukan dalam kalangan orang dewasa, dan sedikit ketidakpastian dalam pembuktian saintifik. Menurut ahli kardiologi sukan, John Higgins, seorang profesor di Sekolah Perubatan McGovern di UTHealth di Houston, terdapat juga faktor lain iaitu pengiklanan air tenaga yang sangat pintar.

    Seawal tahun 2009, pertubuhan-pertubuhan sukan dan perubatan mula mengeluarkan kenyataan menyatakan pendirian mereka dengan tidak menggalakkkan penggunaan minuman tenaga oleh remaja atau belia. Pada tahun 2011, American Academy of Pediatrics menyimpulkan bahawa minuman tenaga adalah tidak sesuai untuk kanak-kanak dan remaja, dan langsung tidak digalakkan untuk diminum. Tambahan lagi, kumpulan tersebut memberi amaran bahawa remaja mungkin akan menyalahgunakan pengambilan air tenaga, berbanding daripada pengambilan minuman sukan seperti Gatorade, untuk dehidrasi semasa terlibat dengan aktiviti fizikal.

    Menurut Jennifer L.Harris, penyelidik di Rudd Center for Food Policy and Obesity, University of Connecticut, syarikat-syarikat air tenaga telah menjadi perintis dalam menggunakan media sosial untuk memasarkan produk mereka. Pada waktu kajian yang dijalankan olehnya dan rakan sepasukannya, Red Bull dan Monster Energy adalah jenama kelima dan ke-12 paling popular dan di laman Facebook; satu platform yang pada ketika itu, sangat popular dalam kalangan pelajar kolej dan remaja. Menurut beliau lagi, jenama minuman tenaga sering mempromosikan atlet remaja dan pemuzik selain menaja acara tempatan, di mana mereka menyediakan sampel percuma untuk diberikan kepada semua termasuklah kepada kanak-kanak bawah umur.

    Sebagai ibu bapa, anda perlulah memainkan peranan dalam mengawal pengambilan minuman tenaga oleh anak anda. Elakkan pengambilan air tenaga kerana ia bukan sahaja tinggi dengan kandungan kafein, malah tinggi dengan kandungan gula. 

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 30/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan