Minuman Bergula dan Potensi Kaitannya dengan Kanser

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Satu penyelidikan yang telah diterbitkan oleh The British Medical Journal pada 10 Julai 2019 melaporkan, kemungkinan terdapat hubungan antara pengambilan minuman bergula yang lebih tinggi dengan peningkatan risiko untuk mendapat kanser.

Walaupun tafsiran secara berhati-hati diperlukan, penemuan penyelidikan tersebut telah menambahkan bukti sedia ada yang menunjukkan bahawa dengan mengehadkan penggunaan air manis, bersama-sama dengan kaedah percukaian dan sekatan pemasaran, mungkin boleh menyumbang kepada pengurangan kes-kes kanser.

Penggunaan minuman bergula telah meningkat di seluruh dunia dalam beberapa dekad yang lalu dan ia amat berkaitan dengan risiko obesiti. Obesiti telah diketahui menjadi sebagai antara faktor risiko yang kuat bagi kebanyakan jenis kanser. Tetapi penyelidikan mengenai air bergula dan risiko kanser adalah masih terhad.

Oleh itu, satu kumpulan penyelidik yang berpangkalan di Perancis telah bertindak untuk menilai perkaitan antara pengambilan minuman bergula (minuman yang dimaniskan dengan penggunaan gula dan pati jus buah), minuman yang dimaniskan dengan pemanis tiruan (diet) dengan risiko kanser keseluruhan termasuklah kanser payudara, prostat, dan usus (kolorektal).

Penemuan mereka berdasarkan 101,257 individu dewasa Perancis yang sihat (21% lelaki; 79% wanita) dengan purata umur 42 tahun pada masa kemasukan daripada kajian kohort NutriNet-Santé.

Para peserta telah menyelesaikan sekurang-kurangnya dua soal selidik diet online 24-jam yang telah disahkan, yang direka untuk mengukur pengambilan biasa sebanyak 3,300 makanan dan minuman yang berbeza. Kajian ini dipantau dalam tempoh maksimum selama 9 tahun yang bermula daripada tahun 2009 hingga 2018.

Pengambilan harian air bergula (minuman yang dimaniskan dengan gula dan jus buah 100%) dan minuman yang dimaniskan dengan pemanis tiruan (diet) telah dikira dan kes pertama kanser yang dilaporkan oleh peserta disahkan oleh rekod perubatan dan dikaitkan dengan pangkalan data kebangsaan insurans kesihatan. Beberapa faktor risiko yang terkenal untuk kanser, seperti umur, jantina, tahap pendidikan, sejarah kanser keluarga, status merokok dan tahap aktiviti fizikal, juga telah diambil kira.

Purata pengambilan harian minuman bergula dalam kalangan lelaki adalah lebih tinggi berbanding wanita (90.3 ml v 74.6 ml). Semasa pemantauan susulan, sebanyak 2,193 kes pertama kanser telah didiagnosis dan disahkan (iaitu sebanyak 693 kanser payudara, 291 kanser prostat, dan 166 kanser kolorektal). Umur purata semasa didiagnosis dengan kanser adalah 59 tahun.

Hasil kajian menunjukkan bahawa kenaikan 100 ml setiap hari dalam penggunaan minuman bergula dikaitkan dengan peningkatan risiko keseluruhan kanser sebanyak 18% dan peningkatan risiko kanser payudara sebanyak 22%. Apabila kumpulan minuman bergula ini dipecahkan kepada kumpulan jus buah-buahan dan minuman manis yang lain, pengambilan kedua-dua jenis minuman tersebut dikaitkan dengan risiko kanser keseluruhan yang lebih tinggi. Tiada perkaitan yang ditemui untuk kanser prostat dan kolorektal memandangkan bilangan kes adalah lebih terhad untuk jenis-jenis kanser ini.

Sebaliknya, penggunaan minuman yang dimaniskan dengan pemanis tiruan (diet) tidak dikaitkan dengan risiko kanser. Walau bagaimanapun, penyelidik memberi amaran agar perhatian perlu diberikan dalam menafsirkan penemuan ini disebabkan oleh tahap penggunaannya yang agak rendah dalam sampel ini.

Penjelasan yang mungkin untuk hasil kajian ini termasuklah kesan gula yang terkandung dalam air manis pada lemak visceral (lemak yang disimpan di sekitar organ penting seperti hati dan pankreas), paras gula dalam darah, dan penanda keradangan, yang mana kesemuanya dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser. Penyelidik turut menyatakan bahawa, sebatian kimia lain, seperti bahan tambahan dalam sesetengah soda mungkin juga memainkan peranan.

Ini adalah satu kajian pemerhatian, jadi ia tidak dapat menyatakan sebabnya. Para penyelidik turut menyatakan bahawa mereka tidak dapat menolak beberapa kesilapan dalam pengkelasan minuman atau pengesanan jaminan setiap kes kanser yang baharu.

Walau bagaimanapun, sampel kajian adalah besar dan ianya dapat disesuaikan dengan pelbagai faktor berpengaruh yang berpotensi. Tambahan lagi, sebahagian besar hasil kajian tersebut tidak berubah selepas ujian lanjutan diadakan, yang menunjukkan bahawa penemuan tersebut boleh berhadapan dengan pemerhatian yang bersifat lebih kritikal.

Menurut para penyelidik lagi, data ini menyokong kaitan cadangan pemakanan yang sedia ada untuk mengehadkan pengambilan air manis, termasuklah pati jus buah, serta tindakan dasar atau polisi, seperti percukaian dan sekatan pemasaran yang memfokuskan air manis. Tindakan ini dilakukan memandangkan ia mungkin berpotensi menyumbang kepada pengurangan kejadian kanser.

Mengurangkan pengambilan air manis atau bergula bukan sahaja mengurangkan faktor risiko untuk mendapat kanser, malah ia turut mengurangkan kadar gula dalam darah selain membantu mengurangkan berat badan seseorang individu. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga;

Tarikh Reviu: Julai 17, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 3, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut