Betul Ke Minum Susu Boleh Menyebabkan Kanser Prostat?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan pakar di Klinik Mayo telah mendapati bahawa mereka yang kerap mengambil makanan tenusu berisiko untuk mendapat kanser prostat. Hah, betul ke? Ikuti artikel ini untuk penerangan selanjutnya.

Peningkatan kalsium punca kepada kanser prostat

Baru-baru ini, penelitian terhadap 47 kajian terdahulu berkaitan dengan hubungan di antara corak pemakanan dan kanser prostat telah dijalankan oleh sekumpulan pakar di Klinik Mayo. Menurut mereka, melalui dapatan kajian ini, mereka yang mengambil makanan atau minuman tenusu secara kerap boleh menyebabkan peningkatan faktor tumbesaran insulin (IGF). Ini akan mendorong terjadinya rantaian reaksi kesan daripada interaksi hormon tersebut dengan sel, mengakibatkan peningkatan jumlah kalsium di dalam badan. 

Rekomendasi terkini adalah untuk setiap individu mendapatkan sekurang-kurangnya 700 mg kalsium (3 gelas susu) bagi menggalakkan perkembangan tulang yang sihat. Namun, menurut kajian yang dijalankan oleh Skinner dan Schwartz pada tahun 2008, lelaki yang mempunyai kadar kepekatan kalsium yang tinggi (melebihi kadar normal) berisiko untuk mendapat kanser prostat fatal. Ini merupakan dapatan kajian yang dapat membantu mengenal pasti risiko individu terhadap diagnosis kanser tersebut. Ia bertujuan untuk menggalakkan rawatan awal seperti perubahan gaya hidup dan rawatan farmakologikal sebelum keadaan tersebut menjadi lebih parah. 

Hasil daripada penelitian oleh pakar-pakar tersebut, mereka berpendapat bahawa lelaki yang mengambil makanan tenusu secara kerap mempunyai risiko setinggi 76% untuk mendapat kanser prostat.

Kelemahan dapatan kajian 

Meskipun data yang diberikan oleh kajian berkenaan dengan kadar pengambilan makanan tenusu dan prostat kanser ini kelihatan seperti boleh dipercayai, ia mempunyai beberapa kelemahan. Menurut Tom Sanders, Profesor Emeritus Diet dan Nutrisi, insiden kejadian kanser prostat kian meningkat di Asia Timur dan Asia Tenggara. Dua benua tersebut mempunyai kadar pengambilan bahan tenusu yang rendah. Ini menunjukkan bahawa faktor utama kepada peningkatan jumlah kes kanser prostat adalah faktor gaya hidup. 

Tambahan pula, kajian ini melihat kepada dapatan kajian-kajian yang dibuat pada tahun sebelumnya yang lebih tertumpu kepada kesan makanan tertentu terhadap risiko kanser prostat. Mereka tidak mengambil kira faktor lain yang berkemungkinan boleh memberi impak kepada dapatan kajian. Terdapat juga kajian-kajian lain yang merumuskan bahawa tiada hubungan atau hubungan di sebaliknya berkaitan dengan kecenderungan seseorang untuk mengambil makanan tenusu dan risiko untuk mendapat kanser prostat.

Jadi, buat para pembaca, anda tidak digalakkan untuk mengubah corak pengambilan makanan berkalsium hanya kerana kajian ini menyatakan sedemikian. Kalsium adalah merupakan mikronutrien yang penting dalam memastikan proses fisiologikal badan yang optimum.

Konklusi

Kajian lanjut perlu dibuat bagi memastikan kesahihan kajian-kajian yang telah dijalankan berkaitan dengan topik ini. Kanser prostat adalah merupakan kanser kedua tertinggi dalam kalangan lelaki dan ia boleh menyebabkan penurunan tahap kualiti hidup. Ia dipengaruhi oleh pelbagai jenis faktor, maka sukar untuk kita mengetahui punca sebenar mengapa ia terjadi.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut