Melihat Kembali Perkembangan HIV: Sejauh Mana Telah Kita Capai?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Sempena Hari AIDS Dunia 2018 yang jatuh pada 1 Disember, mari kita melihat kembali perkembangan jangkitan HIV/AIDS sejak ia mula menyerang dunia dan sejauh mana pencapaian dunia dalam memerangi penyakit ini.

Sehingga kini, 70 juta individu telah dijangkiti dan sekitar 35 juta dari mereka berakhir dengan kematian. Hari ini, 37 juta individu di seluruh dunia hidup dengan jangkitan HIV di mana 22 juta dari mereka sedang menerima rawatan.

Perkembangan HIV – sejauh mana kita telah capai?

1980-an ialah permulaan kepada epidemik HIV di rantau Afrika Tengah dan Barat. Epidemik tersebut telah meragut banyak nyawa seawal beberapa minggu atau bulan selepas diagnosis. Sesetengah dari mereka malah pergi dahulu sebelum diagnosis sempat dibuat.

Dengan ketiadaan rawatan efektif pada masa itu, harapan adalah sangat tipis. Pesakit terpaksa menghadapi penyakit tersebut dan meninggal dunia dalam tempoh hanya beberapa tahun selepas diagnosis.

1983 – Kali pertama virus HIV dapat diasingkan oleh Dr François Barré-Sinoussi dan Dr Luc Montagnier di Institut Pasteur, Perancis.

Pada tahun yang sama, fakta bahawa virus ini juga boleh tersebar melalui hubungan seks antara lelaki dan perempuan, pemindahan darah, dan dari ibu ke ke bayi dalam kandungan baru dikenal pasti. Sebelumnya, ia dipercayai hanya tersebar dalam kalangan kumpulan tertentu seperti lelaki homoseksual dan penagih dadah.

1985 – Ujian mengesan virus HIV kali pertama diluluskan. Dalam tahun yang sama, Persidangan AIDS Antarabangsa pertama telah diadakan di Atlanta. Selain itu, percubaan klinikal bagi rawatan antiretroviral (ARV) turut dimulakan.

1987 – ARV pertama lulus untuk digunakan. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memperkenalkan program khas untuk AIDS yang dinamakan Global Programme on AIDS (GPA).

1988 – Hari AIDS Dunia pertama, 2018 ialah ulang tahun ke-30.

1991 – Gerakan HIV dijenamakan dengan ikon reben merah. Warna tersebut dipilih sebagai simbolik darah (medium virus tersebar) dan semangat (kemarahan dan cinta).

1995 – ARV mula dipreskrip dengan pelbagai kombinasi ubat-ubatan berbeza dan hasilnya memberangsangkan. Namun, tidak semua individu mendapat manfaat daripadanya disebabkan kos yang tinggi terutamanya dalam kalangan negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Tuntutan ke atas ubat-ubatan yang lebih murah dan mampu beli semakin meningkat.

2001 – Penghasilan ubat generik ARV secara besar-besaran bermula dengan harga yang lebih murah. Banyak negara mendapat manfaat terutamanya di rantau Afrika Sub-Sahara.

2005 – WHO memperkenalkan inisiatif “3 by 5” dengan matlamat menyediakan rawatan HIV kepada 3 juta individu di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

2014 – Matlamat “90-90-90” diperkenalkan bagi menggalakkan langkah susulan.

2016 – WHO melancarkan panduan rawatan HIV untuk semua individu termasuk ubat pencegahan dan ujian virus kendiri (self test).

2018 – Cakupan ujian saringan virus mencecah 75% dan hampir 80% pesakit menerima rawatan.

Melihat kepada perkembangan sejak 1980-an, banyak kejayaan yang berjaya dicapai oleh dunia.

Langkah seterusnya ialah untuk menghapuskan HIV/AIDS menjelang tahun 2030 mengikut matlamat yang diletakkan oleh WHO. Dengan berbaki 25% pesakit tidak didiagnosis dan 20% tidak menerima rawatan, adakah kita mampu mencapai sasaran tersebut?

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut