Kini Terdapat Pil Mengandungi Ubat yang Boleh Dikawal Melalui Telefon

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Penyelidik di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Draper, dan Bringham and Women’s Hospital mencipta sebuah pil mengandungi ubat yang boleh ditelan dan dikawal menggunakan teknologi Bluetooth tanpa wayar. Pil tersebut juga boleh mengesan keadaan sekitar dan boleh berada di dalam perut selama sekurang-kurangnya sebulan. Dengan menggunakan telefon pintar, fungsi pil tersebut boleh dikawal mengikut maklumat yang diperoleh dari alat pengesan padanya.

Pil ini dihasilkan menggunakan teknologi cetakan 3D. Ia boleh digunakan untuk melepaskan ubat-ubatan bagi merawat pelbagai penyakit, terutamanya yang memerlukan rawatan dalam tempoh lama. Ia juga boleh mengesan jangkitan, alahan, atau keadaan lain dan melepaskan ubat sebagai respon.

Ia juga boleh dihubungkan dengan alat perubatan lain (sama ada dipakai atau diimplan) untuk memberikan maklumat kepada pesakit atau doktor melalui telefon pintar.

Pil ini telah dicipta dengan pelbagai reka bentuk. Pada tahun 2016, kumpulan penyelidik yang sama mencipta pil berbentuk bintang 6 bucu yang dilipat di dalam  kapsul dengan permukaan licin. Selepas ditelan, kapsul tersebut larut dan melepaskan pil di dalamnya. Reka bentuk terbaru ialah berbentuk Y yang juga dilipat di dalam kapsul sebelum dilepaskan di dalam perut.

Reka bentuk terbaru. Imej ihsan MIT News

Salah satu dari lengan pil ini mengandungi 4 ruang kecil yang boleh diisi dengan ubat-ubatan berbeza. Ubat-ubatan ini boleh dibungkus di dalam polimer untuk membolehkan ia dilepaskan secara beransur-ansur dalam tempoh beberapa hari. Pengkaji juga mendakwa bahawa ruang tersebut boleh dibuka dengan kawalan teknologi Bluetooth tanpa wayar.

Teknologi membantu memberikan rawatan lebih tepat dan pantas

Dengan bantuan alat pengesan pada pil tersebut yang dihubungkan dengan telefon pintar doktor, sebarang perubahan keadaan pesakit dapat dikesan awal dan doktor boleh terus mengubah suai dos ubat.

Teknologi ini selari dengan konsep rawatan peribadi atau personalised treatment yang menekankan kepentingan memberikan rawatan khusus mengikut keadaan pesakit. Setiap individu adalah berbeza dan memerlukan rawatan berbeza. Dengan adanya teknologi seperti ini, hasil dari rawatan dapat diperbaiki.

Antara kedaan yang boleh mendapat manfaat dari teknologi ini ialah pesakit dengan sistem imun lemah seperti menjalani kemoterapi atau mengambil ubat penindas imun (immunosuppressive drugs). Sistem imun yang rendah membuatkan mereka lebih tertedah kepada jangkitan. Dengan adanya alat pengesan pada pil yang ditelan, antibiotik boleh dilepaskan dengan lebih awal. Begitu juga dalam kes alahan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut