Kesihatan Jantung, Isu Kesihatan yang Tidak Boleh Diabaikan

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Kita pernah mendengar kisah pendermaan organ seperti buah pinggang dan sebagainya. Tetapi pernah tak anda mendengar kisah individu dengan rela hati menderma jantung demi menyelamatkan nyawa insan lain? Sukar untuk berlaku. Apa kaitan kesihatan jantung dengan kegagalan jantung? 

Masalah berkaitan kesihatan jantung

Kegagalan jantung merupakan satu masalah berkaitan kesihatan jantung yang sering diabaikan. Bagaimanapun terdapat kajian yang mengatakan risiko pesakit mengalami kegagalan jantung adalah lebih tinggi daripada kematian yang disebabkan penyakit kanser. 

Menurut Profesor Perubatan dan Kardiologi, Universiti Malaya dan Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia (NHAM), Profesor Dato’ Dr Wan Azman Wan Ahmad berkata, “Dalam persekitaran klinikal, kami dapat melihat kesan kegagalan jantung, dengan lebih ramai pesakit dimasukkan ke hospital akibat kerumitan yang disebabkan oleh isu kesihatan ini setiap hari.”

Kesihatan Jantung, Isu Kesihatan yang Tidak Boleh Diabaikan

Terdapat lebih 26 juta individu mengalami masalah kegagalan jantung di seluruh dunia dan penyakit ini menunjukkan tahap morbiditi dan kematian yang tinggi. Masalah ini merupakan ketidakupayaan jantung untuk mengepam bekalan darah yang secukupnya kepada badan, dan boleh dialami oleh sesiapa sahaja pada sebarang peringkat usia.

Ketua Kardiologi & Pusat Kajian Klinikal, Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu, Dr Liew Houng Bang memberitahu, “Kami telah melihat sendiri kesan buruk akibat masalah berkaitan jantung ini dan sedar bahawa kami perlu mengubah cara kami merawat pesakit. Ia memerlukan perubahan daripada segenap aspek.”

Kesihatan Jantung, Isu Kesihatan yang Tidak Boleh Diabaikan (2)

Di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, kegagalan jantung berlaku pada usia yang lebih muda berbanding dengan negara-negara Barat dan memperlihatkan ciri-ciri klinikal yang lebih teruk, dengan faktor risiko vaskular seperti hipertensi (penyakit darah tinggi), obesiti (kegemukan) dan diabetes (penyakit kencing manis).

Di Malaysia, kegagalan jantung adalah salah satu punca umum kemasukan hospital dan membentuk 6-10 peratus daripada semua kemasukan perubatan. Ia juga mengakibatkan kematian 1 daripada 10 orang pesakit yang dimasukkan ke hospital.

Komitmen profesional

Untuk menangani masalah ini, panel yang terdiri daripada pakar-pakar terkemuka dalam bidang Kardiologi dan NHAM baru-baru ini menerbitkan Edisi Ke-4 Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan Kegagalan Jantung 2019.

CPG ini merupakan panduan komprehensif dan piawai bagi doktor-doktor di seluruh Malaysia untuk merawat pesakit yang mengalami kegagalan jantung. Ia bagi menunjukkan komitmen profesional penjagaan kesihatan terkemuka dalam menyediakan rawatan terkini, dengan membawakan kaedah perubatan dan intervensi lain bagi pesakit kegagalan jantung di Malaysia.

Ketahui kiraan kadar jantung sasaran anda di Kalkulator Kadar Jantung Sasaran kami.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut