Kesihatan Awam: Kurangnya Akses Terhadap Antibiotik

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Rintangan antibiotik adalah ancaman kesihatan awam global yang didorong oleh penggunaan secara berlebihan dan penyalahgunaan antibiotik. Walaupun penggunaan antibiotik secara “berlebihan” diterima secara meluas sebagai cabaran kesihatan utama, ia kurang diketahui bahawa ramai individu di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana terus mempunyai risiko kematian akibat kekurangan akses kepada antibiotik. Kebanyakan kematian tahunan dunia (5.7 juta kematian) yang boleh dirawat melalui antibiotik berlaku di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana di mana beban kematian akibat jangkitan bakteria yang boleh dirawat, jauh melebihi 700,000 kematian tahunan akibat daripada jangkitan rintangan antibiotik.

Laporan yang bertajuk ‘Access Barriers to Antibiotics’ yang dijalankan oleh pasukan penyelidik di Center for Disease Dynamics, Economics & Policy (CDDEP) telah menjalankan temubual bersama pihak berkepentingan di Uganda, India, dan Jerman, dan tinjauan literatur untuk mengenal pasti halangan akses utama kepada antibiotik dalam kalangan negara-negara berpendapatan rendah, tinggi dan sederhana. Laporan kajian tersebut membuat beberapa cadangan dengan mencadangkan tindakan penyelidikan dan pembangunan iaitu R&D (antibiotik baru dan ujian diagnostik pantas), menguatkan kapasiti pengawalseliaan, menggalakkan pembangunan dan kepelbagaian pembuatan tempatan yang berkualiti, meneroka pembiayaan inovatif, garis panduan rawatan yang lebih baik, dan peningkatan kesedaran.

Salah seorang penyelidik, Dr. Ramanan Laxminarayan yang juga pengarah CDDEP berkata, kekurangan akses kepada antibiotik membunuh lebih ramai indidvidu berbanding rintangan antibiotik, tetapi mereka tidak memahami mengapa halangan ini dibuat. Penemuan laporan tersebut menunjukkan bahawa walaupun selepas penemuan antibiotik baru, rintangan peraturan dan kemudahan kesihatan yang tidak menentu, atau kesemuanya telah menghalang kemasukan pasaran dan ketersediaan ubat secara meluas. Menurut beliau lagi, kajian mereka menunjukkan bahawa sebanyak 21 antibiotik baru telah memasuki pasaran antara tahun 1999 dan 2014, tetapi kurang daripada lima telah didaftarkan di kebanyakan negara di sub-Sahara Afrika. Walaupun dengan kewujudan antibiotik yang berkesan, tidak bermakna antibiotik tersebut boleh didapati di negara-negara di mana ia sangat diperlukan.

Kesihatan awam dan akses ubat-ubatan di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana

Kemudahan kesihatan di kebanyakan negara berpendapatan rendah dan sederhana adalah kurang baik dan terdapat kekurangan kakitangan yang dilatih dengan betul dalam mengendalikan antibiotik. Di Uganda, 10 hingga 54 peratus jawatan kakitangan kesihatan tidak dipenuhi disebabkan oleh kadar gaji yang sedikit, tekanan tinggi, kekurangan sumber dan pengurusan yang lemah. Kakitangan di wad-wad tidak mencukupi untuk memberi ubat, pesakit ketinggalan dos antibiotik, dan jururawat awam kadangkala meminta pampasan untuk ubat-ubatan. Di India, terdapat satu doktor kerajaan untuk setiap 10,189 orang (Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan nisbah 1: 1,000) atau defisit 600,000 orang doktor, dan nisbah bagi jururawat: pesakit adalah 1: 483, menunjukkan kekurangan 2 juta orang jururawat.

Di negara berpendapatan rendah dan sederhana, rantaian bekalan ubat yang lemah gagal membuatkan ketersediaan antibiotik secara konsisten. Di Uganda, para penyelidik mendapati bahawa banyak produk-produk disimpan dan diangkut dari jarak yang jauh tanpa kawalan suhu sejuk, dan hanya 47 peratus ubat-ubatan pada Senarai Ubat-Ubatan Penting WHO telah diperolehi melalui pihak berkuasa berpusat, yang menyebabkan kekurangan ubatan yang kronik. Lebih-lebih lagi, sistem penyampaian bekalan awam-swasta tidak dimanfaatkan untuk meningkatkan ketersediaan ubatan di luar program tertentu.

Kekurangan pengawasan dan pengawalseliaan dalam pembuatan ubatan dan rantaian bekalan menyebabkan pengeluaran kualiti ubatan yang rendah dan ubat-ubatan yang dipalsukan; 17 peratus daripada ubat-ubatan yang bermutu rendah atau palsu yang dilaporkan kepada WHO adalah antibiotik, dan setiap tahun, lebih daripada 169,000 kematian awal akibat radang paru-paru disebabkan oleh antibiotik yang dipalsukan.

Walaupun antibiotik boleh didapati, pesakit seringkali tidak dapat membelinya. Kos perubatan yang terlalu tinggi untuk pesakit disebabkan oleh perbelanjaan kerajaan yang terhad untuk sektor perkhidmatan kesihatan. Di Uganda, di mana hanya 8.9 peratus belanjawan negara disalurkan ke sektor perkhidmatan kesihatan, 41 peratus daripada perbelanjaan kesihatan perlu dibayar sendiri, dan 23 peratus isi rumah membelanjakan lebih daripada 10 peratus daripada pendapatan mereka dalam penjagaan kesihatan. Selain itu, perbelanjaan kerajaan yang terhad menyebabkan kekurangan ubatan di fasiliti-fasiliti kesihatan awam yang memaksa pesakit untuk pergi ke farmasi swasta atau kedai ubat untuk membeli ubat-ubatan yang sepatutnya diberikan secara percuma. Di India, 65 peratus perbelanjaan kesihatan perlu dibeli sendiri, berbanding 13 peratus di Jerman, dan di India sahaja, perbelanjaan sedemikian meningkatkan kira-kira 57 juta orang ke arah kemiskinan setiap tahun.

Cadangan penambahbaikan bagi pihak-pihak berkepentingan

Kerajaan, penggubal dasar, syarikat-syarikat farmaseutikal, institusi penjagaan kesihatan awam dan swasta, dan badan kesihatan awam antarabangsa kesemuanya berperanan dalam meningkatkan akses kepada antibiotik di seluruh dunia. Walaupun campur tangan untuk meningkatkan akses mesti mengambil kira perbezaan di antara negara-negara, para penyelidik menyediakan saranan berikut untuk menangani halangan utama dan meningkatkan akses kepada antibiotik:

  • Menggalakkan penyelidikan dan pembangunan antibiotik baharu, atau ujian diagnostik, vaksin, dan alternatif kepada antibiotik untuk jangkitan bakteria,
  • Menyokong pendaftaran antibiotik di lebih banyak negara mengikut keperluan klinikal,
  • Membangun dan melaksanakan garis panduan rawatan kebangsaan untuk penggunaan antimikrob,
  • Meneroka pembiayaan inovatif bagi antibiotik yang penting,
  • Memastikan kualiti antibiotik dan mengukuhkan kapasiti pengawalseliaan farmaseutikal, dan
  • Menggalakkan pengilangan tempatan bagi pengeluaran antibiotik yang bersesuaian dengan kos pengeluaran.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut