Kenali Bahagian Otak Anda Yang Membentuk Memori

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Keupayaan untuk mempelajari dan mengingati sesuatu dengan baik adalah keupayaan yang ingin dimiliki oleh setiap individu. Walaupun otak yang kuat dan effisyen sering dikatakan sebagai asas kepada pembentukan keupayaan ini, tidak ramai yang tahu bahagian otak yang manakah yang memainkan peranan untuk ingatan jangka panjang dan pembelajaran.

Kenali Hippocampus

Untuk tujuan itu, ayuh kita berkenalan dengan sepasang struktur di dalam otak kita yang diberi nama Hippocampus. Perkataan ‘Hippocampus’ berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud kuda laut. Ini kerana bentuk struktur Hippocampus mirip bentuk binatang kuda laut. Sepasang struktur ini diberi nama Hippocampus manakala satu struktur sahaja digelar sebagai Hippocampi. Hippocampus terletak pada bahagian tengah dalam otak dan pembahagiannya adalah satu Hippocampi untuk setiap hemisfera otak.

Struktur dan peranan dalam pembentukan memori

Hippocampus merupakan salah satu daripada 4 struktur dalam sistem limbic, sistem yang bertanggungjawab dalam kawalan emosi. Hippocampus sendirinya, bertanggungjawab dalam menukarkan ingatan jangka pendek kepada ingatan jangka panjang dan dalam sistem limbic, Hippocampus memainkan peranan untuk memproses ingatan yang berkait rapat dengan emosi berdasarkan rangsangan daripada struktur amygdala.

Pemahaman bahawa Hippocampus memainkan peranan dalam pembentukan memori ini mula mendapat tempat dalam kalangan pengkaji perubatan apabila William Beecher Scoville dan Brenda Milner melaporkan tentang pembedahan yang mereka lakukan ke atas seorang pesakit yang mengalami epilepsi teruk bernama Henry Molaison pada tahun 1953. Menurut laporan tersebut, pembedahan yang dilakukan ke atas Henry membabitkan penghapusan Hippocampus secara pembedahan untuk menghentikan serangan sawan yang kerap Henry alami. Walaupun pembedahan tersebut berjaya, pasca-pembedahan menyaksikan Henry mengalami masalah untuk membentuk memori baru dan juga memori sekitar pembedahan tersebut.

Dalam tahun mendatang, lebih banyak laporan yang memperincikan kesan kerosakan kepada Hippocampus dalam kalangan pesakit (Melalui kemalangan atau penyakit) ke atas keupayaan untuk membentuk memori. Namun yang demikian, memori lampau yang bertahun lamanya masih boleh diingati oleh pesakit, mencadangkan bahawa Hippocampus memainkan peranan untuk pembentukan memori tetapi bukan untuk penyimpanannya. Tambahan lagi, memori yang berkait dengan tabit dan bersifat implisit tidak terjejas dengan kecederaan pada Hippocampus seperti keupayaan untuk bermain alat muzik atau menyelesaikan puzzle.

Kini, terdapat dua lagi fungsi lain yang dikaitkan dengan Hippocampus iaitu memori berkaitan dengan ruang dan navigasi dan juga pemprosesan keputusan berkaitan konflik hadap-atau-elak.

Penyakit yang berkait rapat dengan Hippocampus

Terdapat beberapa proses dan penyakit yang berkait rapat dengan Hippocampus antaranya:

Penyakit Alzheimer – Dalam penyakit ini, kecederaan otak berlaku beransur-ansur sehingga berlakunya naynyuk (Dementia) dan struktur awal yang terjejas dalam penyakit ini tidak lain tidak bukan, Hippocampus. Justeru, kesan kepada keupayaan untuk mengingati dan membentuk memori akan terjejas akibat kesan penyakit terhapda struktur otak.

Stres berpanjangan – Stres berpanjangan memberi kesan yang buruk terhadap struktur Hippocampus kerana ianya mempunyai banyak reseptor untuk hormon glucocorticoid yang banyak. Apabila seseorang berada dalam keadaan stres, beberapa hormon akan dihasilkan antaranya adalah glucocorticoid. Dalam pesakit Post-Traumatic Stress Disorderimbasan dan kajian menunjukkan mereka mengalami pengecilan saiz Hippocampus mereka sebanyak 20% berbanding orang biasa dan dalam mereka yang mengalami penyakit yang menyebabkan rembesan hormon glucocorticoid yang banyak dan kronik (seperti sindrom Cushing), struktur Hippocampus mereka mengalami proses atropi/kemerosotan teruk berbanding struktur otak yang lain.

enEnglish

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut