backup og meta

Kemurungan Tingkatkan Risiko Kematian Penghidap HIV

Fakta Disemak oleh Dr. Shelby


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 10/07/2020

    Kemurungan Tingkatkan Risiko Kematian Penghidap HIV

    Terdapat kepelbagaian faktor yang membentuk pengalaman kemurungan seseorang sama ada faktor individu, persekitaran, penerimaan sosial dan faktor-faktor berpengaruh yang lain. Bagi penghidap HIV pula, kemurungan mungkin disebabkan oleh tanggapan dan penerimaan masyarakat terhadap status mereka selain disebabkan oleh pemikiran overthinking bagi penyakit yang sedang dihidapi dan keadaan mereka pada masa hadapan. Satu kajian baharu bertajuk ‘Depression and All‐cause Mortality Risk in HIV‐infected and HIV‐uninfected US Veterans: A Cohort Study’ yang bertujuan menyiasat hubungan antara gangguan atau gejala kemurungan, status HIV dan kematian, para penyelidik melaporkan bahawa gejala kemurungan agak berkaitan dengan kematian dalam kalangan veteran tentera yang mempunyai HIV tetapi tidak berkaitan dalam kalangan mereka yang tidak mendapat jangkitan HIV.

    Kemurungan adalah keadaan kesihatan mental yang paling kerap dilaporkan dalam kalangan penduduk yang hidup dengan HIV di Amerika Syarikat, dengan kelaziman di antara 20 hingga 40 peratus. Gangguan kemurungan telah dikaitkan dengan peningkatan kematian dalam kalangan individu yang mempunyai penyakit kronik, termasuklah penyakit jantung, penyakit buah pinggang peringkat akhir dan diabetes. Beberapa kajian telah menerangkan perkaitan yang sama dalam konteks jangkitan HIV, walaupun ada data yang bertentangan.

    Menggunakan data daripada peserta Veteran’s Aging Cohort Study, para penyelidik dari Boston University School of Medicine (BUSM) membandingkan risiko kematian dalam kalangan veteran tentera Amerika Syarikat yang mengalami kemurungan dengan mereka yang tidak mengalami kemurungan. Mereka kemudiannya membandingkan hubungan antara kemurungan dan kematian dalam kalangan mereka yang mempunyai HIV dengan mereka yang tidak mempunyai HIV. Kemurungan diukur melalui dua cara, dengan cara kod-kod diagnostik klinikal dan soal selidik simptom-simptom kemurungan.

    Dalam kalangan mereka yang mempunyai jangkitan HIV, para penyelidik mendapati terdapat peningkatan risiko kematian sebanyak 23 peratus yang dikaitkan dengan gejala kemurungan yang tinggi, yang dipastikan melalui soal selidik tetapi tiada risiko mortaliti yang meningkat dengan ketara apabila kemurungan dipastikan melalui kod. Bagi individu yang tidak dijangkiti HIV, terdapat enam peratus peningkatan risiko kematian yang dikaitkan dengan gangguan kemurungan yang diukur oleh kod-kod tetapi tidak ada risiko kematian yang ketara untuk peningkatan simptom-simptom kemurungan yang dinilai melalui soal selidik.

    Menurut para penyelidik, adalah penting untuk menyaring dan merawat kemurungan terutamanya dalam kalangan mereka yang hidup dengan HIV sejak penemuan yang signifikan telah dibuat berkaitan jangka hayat melalui terapi antiretroviral yang menyelamatkan nyawa. Salah seorang penulis kajian, Kaku So-Armah, pensyarah perubatan di Boston University School of Medicine menyatakan bahawa penemuan kajian tersebut memperkuat keperluan untuk menilai dan merawat gejala kemurungan dan gangguan kemurungan utama pada pesakit yang mempunyai atau tidak mempunyai jangkitan HIV bertujuan mengurangkan risiko kematian.

    Masyarakat perlu menyokong mereka yang dinilai mempunyai simptom-simptom kemurungan terutamanya bagi mereka yang dijangkiti HIV, agar kadar kematian akibat kemurungan dapat dikurangkan atau dielakkan. Masyarakat perlu bertindak dan berperanan sebagai satu sistem sokongan sosial terhadap ahli masyarakat yang lain yang mengalami masalah kemurungan dan masalah-masalah lain yang berkaitan kesejahteraan mental.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Dr. Shelby


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 10/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan