Kemaluan Lelaki Putus Akibat Curang Terhadap Isteri Sendiri

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Sebab curang, kemaluan hilang. Inilah ringkasan yang dapat penulis berikan apabila membaca kes yang terjadi di Peking, China. Seorang lelaki yang berumur 31 tahun telah dikejarkan untuk pembedahan kecemasan di hospital setelah kepala zakarnya hampir terputus akibat dipotong. Mengapa ia dipotong? Ini terjadi setelah isterinya mengetahui bahawa suaminya telah berlaku curang dengan mengadakan hubungan seks bersama wanita lain.  

Semasa lelaki ini sedang tidur, isterinya telah cuba melepaskan kemarahannya yang tidak terkawal dengan cara memotong kepala zakar lelaki tersebut dengan menggunakan gunting. Kepala zakarnya hampir terputus dan hanya bersambung sedikit melalui kulit yang masih tidak terputus. Lelaki tersebut mengalami pendarahan yang agak banyak dan doktor telah menjahit kembali kepala zakar miliknya. Walau bagaimanapun, lelaki tersebut mengalami ereksi yang menyakitkan selepas tiga hari ia dijahit. 

Prosedur rawatan

Sebelum dia dirawat melalui pembedahan di sebuah pusat urologi, dia terlebih dahulu telah dihantar ke dua pusat perubatan. Menurut Dr. Kunlin Yang yang berkhidmat di pusat urologi tersebut, zakar lelaki tersebut masih lagi dalam keadaan suam dan ‘hidup’ 6 jam selepas ia dipotong. Menurut Dr. Kunlin lagi, mereka telah menjalankan pembedahan kecemasan dengan menyusun kembali dua sisi zakar dan menjahit bersama saluran darah melalui prosedur pembedahan mikro. 

Setelah pembedahan tersebut selesai dilaksanakan, para doktor menggunakan satu kaedah blood-letting untuk membantunya kembali sembuh. Mereka mencucukkan jarum pada bahagian zakarnya untuk mengeluarkan darah yang terkumpul semasa kecederaan tersebut berlaku. 

Kembali ‘segar’

Setelah tiga hari menjalani prosedur pembedahan tersebut, lelaki tersebut berjaya mendapat kembali ‘morning wood’ untuk pertama kali setelah pembedahan. Walau bagaimanapun, ereksi yang dialaminya turut ditemani dengan rasa yang menyakitkan. Dia telah pulang ke rumah setelah 2 minggu berada di hospital dan terpaksa menggunakan catheter; iaitu sejenis alat yang dipasang pada pundi kencing untuk mengeluarkan air kencing. Dia menggunakan catheter tersebut selama sebulan setelah pembedahan.

Seks pertama setelah pembedahan

Tiga bulan kemudian, pesakit lelaki tersebut melaporkan bahawa dia telah berjaya melakukan hubungan seks dengan fungsi ereksi zakar yang berkesan. Dia juga menyatakan bahawa dia mempunyai corak kencing yang baik tetapi kepala zakarnya mempunyai sedikit rasa sensasi kesakitan. 

Bagi mereka di luar sana, jagalah kelakuan masing-masing terutamanya bagi mereka yang sudah berkahwin. Jangan cuba-cuba untuk menggoda pasangan orang lain walaupun mereka mungkin tidak memberikan respon menolak godaan anda. Tidak menolak tidak bermaksud mereka mahukan anda. Mungkin hanya kerana mereka ingin kekal menjaga hubungan yang baik sesama manusia. Satu lagi, penulis tidak mengkhususkan godaan yang sering berlaku disebabkan oleh tindakan lelaki semata-mata, kerana godaan daripada golongan wanita juga sama hebat. Istilah ‘lelaki gatal’ tidak lagi boleh digunapakai, kerana ada juga wanita yang jauh lebih gatal dalam menggoda orang lain. Jaga pasangan masing-masing yea kalau tidak mahu diserang atau ‘dipotong’ akibat curang.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut