Kecederaan Serius Dalam Pengayuh Berusia Semakin Meningkat

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Satu kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat mendapati walaupun bilangan kecederaan akibat aktiviti berbasikal berada dalam jumlah yang terkawal dalam 10 tahun yang lalu, kecederaan serius dalam golongan berusia didapati semakin meningkat.

Jumlah kecederaan menyeluruh yang semakin berkurangan

Menurut pasukan pengkaji, walaupun terdapat peningkatan yang tinggi dalam bilangan pengayuh basikal di jalan raya, jumlah kecederaan dilaporkan stabil dan terkawal. Tempoh kajian telah bermula daripada tahun 2008 hingga tahun 2017 dan keputusannya telah diterbitkan dalam Journal of Oral and Maxillofacial Surgery. 

Menurut Corina Din-Lovinescu, salah seorang penulis untuk kajian ini, “Kestabilan jumlah kecederaan ini mungkin disebabkan oleh peningkatan kempen keselamatan awam, peruntukan daripada pihak kerajaan dan swasta dalam membangun infrastruktur untuk pengayuh basikal, dan juga peningkaran dalam kesedaran menyeluruh terhadap keselamatan jalan raya.”

Golongan berusia yang berbasikal berada pada risiko yang tinggi

Walau bagaimanapun, populariti aktiviti berbasikal telah menyebabkan peningkatan dalam bilangan kecederaan yang serius dalam kalangan pengayuh berusia 55 hingga 64 tahun. Pengayuh-pengayuh ini dirawat di jabatan kecemasan seluruh negara akibat daripada kecederaan traumatik otak (TBI) dan juga kecederaan tulang muka lebih 86,439 kali dari tahun 2008 hingga 2017.

Insiden kecederaan craniofacial adalah berbeza mengikut kumpulan umur. Walaupun insiden tertinggi dilihat dalam pengayuh berusia 18 hingga 24 tahun (mungkin disebabkan oleh populariti aktiviti berbasikal dalam kalangan belia), pengayuh berusia 55 hingga 64 tahun mengalami peningkatan dalam jumlah kecederaan, sebanyak 54% dalam tempoh 10 tahun yang lampau.

TBI adalah kecederaan yang paling kerap didiagnosis, mewakili 50% daripada keseluruhan kemasukan ke jabatan kecemasan. Mereka yang berumur 45 hingga 54 tahun adalah golongan yang paling cenderung untuk dimasukkan ke hospital akibat kecederaan tulang di bahagian muka. Dalam kumpulan kecederaan ini, kecederaan tulang hidung adalah yang paling lazim diikuti oleh keretakan tulang rahang.

TBI lazimnya terjadi apabila berlakunya hentakan, pukulan atau hayunan kepala secara mengejut dan agresif. Selepas hentakan, impak tersebut akan menyebabkan otak berlaga dengan dinding dalaman tengkorak, dari satu sisi ke sisi yang lain, persis hayunan pendulum. Bukan sahaja ini akan menyebabkan tisu otak tercedera, inersia yang mendorong hayunan otak secara berterusan ini juga akan menyebabkan koyakkan lapisan otak, salur darah dan juga saraf.

Menurut para pengkaji, kajian ini mencadangkan agar golongan berusia mempraktikan langkah keselamatan tambahan ketika berbasikal bagi mengurangkan risiko kecederaan. Tingkah laku pencegahan yang boleh diamalkan termasuklah:

  • Tidak mengambil alkohol sebelum mengayuh 
  • Memakai baju yang terang dan pantul cahaya
  • Menggunakan lampu ketika berbasikal di waktu malam
  • Memakai topi keledar

Kajian berkaitan kecederaan kepala dan muka dalam kalangan pengayuh basikal ini telah dilakukan oleh pengkaji daripada Rutgers New Jersey Medical School’s Department of Otolaryngology.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan